Harga minyak Indonesia naik...................... Jakarta: Pihak - TopicsExpress



          

Harga minyak Indonesia naik...................... Jakarta: Pihak berkuasa Indonesia tidak mempedulikan kemarahan rakyat apabila mengambil keputusan untuk menaikkan harga minyak, yang pertama sejak 2008. Keputusan dibuat sehari selepas polis bertempur dengan ribuan penunjuk perasaan di luar Parlimen. Polis terpaksa melepaskan gas pemedih mata dan meriam air untuk menyuraikan penunjuk perasaan yang bersenjatakan bom api lewat kelmarin ketika anggota Parlimen meluluskan langkah itu, sekali gus membuka jalan kepada pengurangan subsidi minyak. Ketika polis bersiap menghadapi ratusan penduduk yang merancang berhimpun di Parlimen buat hari kedua bagi membantah kenaikan sebanyak 30 peratus harga minyak itu, anggota Kabinet berkata, kerajaan tidak akan menarik balik keputusan berkenaan. “Harga minyak akan naik. Langkah itu amat penting kerana ketidaktentuan ekonomi global,” kata Menteri Kewangan, Chatib Basri. Menurutnya, kerajaan kini dalam peringkat terakhir kajian sebelum membuat pengumuman, yang dijangka dilakukan dalam masa beberapa hari lagi. Naib Presiden, Boediono menggesa orang ramai bertenang dan tidak menyorok bahan itu ekoran laporan penduduk mula menyimpan minyak bersubsidi sebelum harganya melambung. Polis di Jawa Barat dan Lampung merampas ribuan liter minyak yang didakwa dibeli sebagai menghadapi kenaikan harga dan menahan beberapa orang. Sementara itu, syarikat minyak Indonesia, Pertamina berkata, jualan meningkat tiga hingga empat peratus sejak beberapa hari lalu. Harga bahan itu dijangka meningkat 33 peratus dengan petrol naik daripada 4,500 rupiah (RM1.44) seliter kepada 6,500 rupiah (RM2.07) sementara diesel daripada 4,500 rupiah (RM1.44) kepada 5,500 rupiah (RM2.77) seliter. Anggota Parlimen yang bersidang kelmarin turut bersetuju mengkaji bajet yang termasuk beberapa langkah untuk membantu jutaan penduduk miskin yang akan teruk terjejas dengan kenaikan harga minyak itu. Keluarga miskin akan menerima bantuan RM45 sebulan selama empat bulan akan datang bagi mengimbangi kenaikan harga minyak yang dijangka menyebabkan semua barangan keperluan harian turut naik kerana kos pengangkutan yang lebih mahal. Presiden Susilo Bambang Yudhoyono mencadangkan langkah itu sebelum harga minyak dinaikkan. - AFP
Posted on: Tue, 18 Jun 2013 23:49:41 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015