Ikrar majukan rakyat 2013/09/17 Kerajaan Persekutuan akan - TopicsExpress



          

Ikrar majukan rakyat 2013/09/17 Kerajaan Persekutuan akan pastikan Sarawak, Sabah membangun lebih pesat seiring negeri lain di Semenanjung Kuching: Pembentukan Persekutuan Malaysia bersama Sabah dan Sarawak 50 tahun lalu adalah keputusan paling tepat generasi pemimpin terdahulu dalam memacu kemajuan negara seperti yang dikecapi hari ini. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata penyertaan kedua-dua negeri itu sekali gus mewujudkan satu landasan paling kukuh dalam melaksanakan agenda transformasi sosio ekonomi di seluruh negara, dengan implikasi positifnya turut dinikmati segenap lapisan rakyat. Membangun dan maju Justeru, beliau berikrar kerajaan Persekutuan akan memastikan kedua-dua negeri itu membangun dan maju dengan lebih pesat seiring pembangunan negeri lain di Semenanjung. “Rakyat Sarawak dan Sabah membuat keputusan paling tepat apabila memutuskan menyertai Malaysia pada 16 September 1963, sekali gus menyaksikan pelbagai transformasi dari segi pembangunan dan ekonomi bermula dari tarikh keramat itu hingga kini. “Apa yang dinikmati kita sepanjang 50 tahun lalu bukanlah suatu perkara mudah. Yang pasti kejayaan yang dinikmati hari ini jelas menggambarkan semangat kerjasama dan perkongsian yang diterapkan melalui Persekutuan Malaysia,” katanya pada Istiadat Perbarisan dan Rapat Raksasa Sambutan Hari Malaysia Ke-50 di sini, semalam. Berlangsung di Padang Merdeka, di sini acara itu yang dianjurkan bersempena Sambutan Jubli Emas 50 Tahun Sarawak Merdeka Dalam Malaysia turut disaksikan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah dan Yang di-Pertua Negeri, Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng. Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar. Mengenai pencapaian Sarawak sepanjang 50 tahun lalu, beliau berkata, negeri itu mencatatkan prestasi membanggakan, khususnya transformasi pembangunan infrastruktur dan pertumbuhan ekonomi sehingga muncul negeri paling membangun di Malaysia. Malah, Najib menyatakan keyakinan bagi tempoh 50 tahun ke hadapan, Bumi Kenyalang akan lebih gemilang, termasuk muncul sebagai negeri termaju hasil perancangan bijak kerajaan Barisan Nasional (BN). Ikrar kerja lebih kuat Di Kota Kinabalu, Najib berikrar kerajaan akan bekerja lebih kuat untuk memastikan Sabah dan rakyatnya terus maju dalam Malaysia, sekali gus mencapai taraf negeri maju pada 2020, seiring kemajuan negara. Perdana Menteri berkata, berdasarkan pembangunan ketara Sabah, beliau yakin kemajuan negeri itu akan lebih pantas untuk tempoh 50 tahun akan datang. “Saya tidak ragu-ragu mengatakan, kita berjaya membawa Sabah maju selepas 50 tahun pada hari ini, (kini) kita berazam 50 tahun akan datang (kemajuan Sabah) lebih hebat lagi, inilah janji kita pada malam bersejarah ini. “Kita berikrar 50 tahun lagi Sabah akan bertukar wajah (maju dengan lebih pesat), tujuh tahun lagi Malaysia akan menjadi negara maju... pada masa itu harapan kita ialah untuk melihat Sabah juga menjadi negeri maju,” katanya katanya ketika merasmikan Sambutan 50 Tahun Sabah Maju Jaya Dalam Malaysia di Taman Prince Philip, Tanjung Aru, malam tadi. Perdana Menteri berkata, selepas 50 tahun bersama dalam Malaysia, antara pengukur yang membuktikan pemimpin Sabah terdahulu membuat keputusan tepat menyertai Malaysia bersama Sarawak dan Persekutuan Tanah Melayu ialah setiap rakyat negeri ini merasakan mereka sebahagian keluarga besar Malaysia walaupun dipisahkan Laut China Selatan. Najib berkata, di sebalik kemakmuran Sabah dalam tempoh 50 tahun lalu, tidak semua orang senang hati melihatnya sehingga ada yang sanggup melakukan apa saja untuk mengganggu-gugat kedaulatan negeri ini seperti apa yang berlaku di Lahad Datu, pada Mac lalu. “Tetapi bila kita bersatu sebagai rakyat Malaysia, tiada kuasa luar boleh mengganggu-gugat kemerdekaan Sabah. Bumi Sabah ini akan kita pertahankan, kalau kita bersama dalam satu keluarga, Insya-Allah mereka yang ada niat jahat tidak mungkin berjaya,” katanya.BH
Posted on: Tue, 17 Sep 2013 02:24:07 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015