Jangan gagalkan generasi hadapan Tan Sri Muhammad Ali Hashim 5 - TopicsExpress



          

Jangan gagalkan generasi hadapan Tan Sri Muhammad Ali Hashim 5 Ogos 2013 * MINGGU lalu saya menyampaikan ceramah pada majlis iftar Persatuan Alumni Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dihadiri lebih 120 ahli di Putrajaya di bawah pimpinan presiden pertamanya, Haji Mohammad Sahar Mat Din. Majlis dirasmikan Naib Canselor UniSZA, Profesor Dr Yayaha Ibrahim dan turut disertai barisan kepimpinan akademik serta pengurusan UniSZA. Ceramah bertajuk “Transformasi wakaf - Membela generasi masa depan” fokus kepada konsep dan amalan Waqaf Korporat serta potensinya melindungi kepentingan generasi masa depan. Model terbaik Waqaf Korporat sejauh ini terdapat pada Waqaf An Nur Corporation Bhd yang berjaya melipatgandakan nilai aset wakafnya daripada RM250 juta sewaktu diwakafkan oleh Johor Corporation pada 2006-07 kepada RM575.9 juta (nilai saham di pasaran) pada akhir 2012. Justeru, Waqaf Korporat satu pembaharuan institusi wakaf berpotensi menyumbang kepada pembangunan masa depan negara. Paling menarik, institusi ini mengintegrasikan nilai Islam dan institusi wakaf Islam langsung ke dalam kerangka transformasi ekonomi negara. Wajib berjihad Saya mengupas tajuk ceramah dalam konteks cabaran dihadapi bangsa Melayu dan umat Islam yang semakin meruncing. Rendahnya keupayaan bisnes milik Melayu menjana ekonomi menggelapkan prospek masa depan seluruh generasi baru Melayu-Muslim. Tanpa pembaharuan bermula hari ini, mereka pasti dipinggir dan hanyut masa depan, menjadi seumpama buih-buih terapung tanpa arah dan tujuan, akhirnya diketepikan kederasan arus utama bisnes berkeupayaan tinggi milik orang lain. Keadaan ini sangat membimbangkan bangsa Melayu. Diperhatikan, perasaan tertekan dan vulnerable semakin mewarnai sentimen politik dan sosial negara. Bahayanya ia berpotensi membuat segelintir Melayu hilang akal pertimbangan hingga sanggup mengamuk memusnah. Justeru ketidakadilan dan kezaliman perosak kehidupan wajib segera ditangani. Fokus utama ialah terhadap membina ekonomi menjana harta kekayaan Melayu berpanjangan dan mempertahankan hak milik. Kelemahan Melayu menjana harta, ditambah kegagalan melindungi harta daripada terlepas tangan sebenarnya bertentangan matlamat maqasid al-syariah yang menjadikan harta kekayaan salah satu tunggak hidup sebagai Muslim. Apabila harta kekayaan merosot nilai atau langsung terlepas tangan, semua tunggak kejayaan hidup lain yang diutamakan maqasid al-syariah termasuk agama dan iman, ilmu dan intelek, pengertian dan kesempurnaan hidup serta keturunan dan generasi masa depan pasti turut terjejas dan terancam. Inilah realiti yang dihadapi bangsa Melayu dan umat Islam hari ini. Kelemahan ekonomi yang semakin meminggir dan mengancam survival mewajibkan bangsa Melayu dan umat Islam menerapkan semangat “jihad” ke dalam ekonomi dan bisnes, iaitu berjuang dengan gigih dan gagah menjana harta kekayaan menerusi kaedah yang diredai ALLAH SWT tanpa mengenal penat lelah, juga tanpa mengalah atau mudah putus asas sekali pun diancam kegagalan. Sesungguhnya menjadi tanggungjawab dan kewajipan asasi ahli bisnes Melayu-Muslim menjayakan “Jihad Bisnes” untuk menyempurnakan matlamat maqasid. Ulama kontemporari terkenal, Dr Yusof al-Qaradhawi dalam karya besar beliau berjudul “Fiqih Jihad” menegaskan: “Adapun hukum jihad adalah wajib bagi setiap Muslim dan Muslimah, baik dengan jiwanya, hartanya, lidahnya atau hatinya. …berjihad dengan hati adalah yang paling lemah. …Keimanan seorang Muslim belum sempurna kecuali dengan jihad.” Kelebihan Waqaf Korporat Selanjutnya, belum sempurna Jihad Bisnes selagi umat Islam tidak berupaya mempertahankan harta kekayaan, berkekalan melindungi kepentingan ekonomi generasi masa depan. Strategi perlu disusun bertujuan mengatasi kebocoran dan ketirisan hak milik ekonomi Melayu-Muslim yang berleluasa, terutama selepas pelancaran Dasar Penswastaan. Perisai terbaik melindungi harta kekayaan ialah institusi wakaf kurniaan Islam, iaitu menerusi kaedah Waqaf Korporat. Kelebihan terbesar wakaf terdapat pada keupayaannya mengekalkan hak milik berpanjangan. Satu lagi kelebihan besar Waqaf Korporat terdapat pada sifat asasinya berlandaskan amanah, apabila saham dan ekuiti diserah milik mengikut hukum syarak kepada ALLAH SWT bertujuan hasilnya digunakan untuk manfaat berpanjangan turun temurun. Perlindungan agama menjamin saham dan bisnes yang diwakaf kekal dalam pegangan milik umat Islam sekali pun kuasa politik bertukar tangan atau terjejas dilanda tsunami perkauman. Cerahkan generasi masa depan Pada akhirnya, kejayaan Waqaf Korporat mencerahkan prospek ekonomi generasi masa depan menghasilkan reaksi positif seluruh masyarakat Melayu-Muslim. Ia memudahkan proses merapat dan menyatupadukan semula bangsa Melayu dan umat Islam yang berpecah dan berkonflik politik setelah banyak dirosakkan pengaruh budaya individualistik dan nafsu-nafsi. Justeru, Waqaf Korporat wajar segera dipercambah. Untuk itu, pihak berkuasa agama perlu membuka luas pintu wakaf, menggalak dan memudahkan organisasi berwibawa seperti GLC, universiti, koperasi dan korporat swasta berjaya milik Melayu-Muslim menubuh dan mengurus Waqaf Korporat menepati lapan ciri utama berikut:- 1. Entiti Waqaf Korporat mesti berteraskan syarikat. (Model Waqaf An Nur Corporation Bhd membabitkan syarikat awam dengan jaminan Johor Corporation boleh dicontohi); 2. Bertaraf wakaf dan diberi kuasa mutawalli (atau Nazir Khas) oleh Majlis Agama Islam; 3. Fokus kepada wakaf saham dan sekuriti serta hartanah korporat milik pewakaf; 4. Beroperasi bisnes Islamik di samping bersifat entrepreneur: Dinamik, kreatif dan inovatif menambah nilai aset dan bisnes secara lestari (sustainable); 5. Tidak membayar dividen. Bahagian terbesar kelebihan pendapatan atau keuntungan (70 peratus dalam kes WANCorp) dilabur semula bertujuan mengembangkan keupayaan korporat, dan 30 peratus diagihkan menerusi program fisabilillah atau kebajikan; 6. Syarikat Waqaf Korporat berautonomi penuh tanpa campur tangan kerajaan atau pihak berkuasa agama, dan diurus secara profesional seumpama korporat swasta berjaya; 7. Membuka luas keahlian syarikat kepada awam menjadi ahli Waqaf Korporat (tanpa saham, dengan mewakafkan yuran keahlian); dan 8. Mengamalkan kaedah terbaik korporat (highest corporate governance standards), menjamin pertanggungjawaban profesionalisme tertinggi dengan mengutamakan nilai amanah, ketulusan dan ketelusan operasi bisnes bertujuan memupuk keyakinan awam. Kesimpulannya, tidak sempurna Jihad Bisnes dan tidak menepati aspirasi Islam selagi hasil bisnes Waqaf Korporat dan impak daripadanya tidak digunakan untuk memperkasa generasi masa depan. Waqaf Korporat memangkinkan kuasa hak milik dimanfaatkan seperti berikut:- - Menjana peluang kerja berkualiti dan menjamin kesinambungan peluang meningkatkan pendapatan generasi masa depan menerusi percambahan bisnes di bawah teraju saf Waqaf Korporat sebagai organisasi bisnes induk penjana utama ekonomi bangsa. - Mempercambah peluang ekonomi dan membuka luas akses bisnes kepada seramai mungkin generasi muda Melayu-Muslim semua jurusan (termasuk berkelulusan agama) yang berminat menjadi ahli bisnes, usahawan berjaya, CEO atau eksekutif pengurusan. - Mengguna sepenuhnya kelebihan wakaf menghimpun sumbangan modal awam tanpa riba’ atau faedah; juga sebagai sumber modal tanpa bayaran dividen untuk menambah-beranikan Waqaf Korporat mengambil risiko besar hingga berjaya menerajui pasaran - Menentang amalan bisnes eksklusif perkauman. Waqaf Korporat berpotensi membuka ruang dan peluang luas kepada golongan muda tanpa modal dan akses jaringan bisnes menjadi ahli bisnes berjaya, sekali gus menghapuskan halangan mobiliti ekonomi. - Memanfaatkan sepenuhnya barakah kekuatan bisnes berorganisasi, menepati ajaran Islam seperti maksud ayat al-Quran (Surah As-Saf, 61:4): “Sesungguhnya ALLAH TAALA amat menyukai orang yang berjihad pada jalannya dalam barisan yang teratur seolah-olah mereka seperti satu binaan yang tersusun kukuh”. * Tan Sri Muhammad Ali Hashim Presiden, Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) ali.bizjihad@yahoo S.H
Posted on: Mon, 05 Aug 2013 15:10:42 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015