Jawatankuasa Pemantauan GST beri penerangan kepada rakyat, kata - TopicsExpress



          

Jawatankuasa Pemantauan GST beri penerangan kepada rakyat, kata Ahmad Husni ** Jawatankuasa Pemantauan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang dijangka ditubuhkan akhir tahun ini akan memantau secara menyeluruh dan menerangkan kepada rakyat di peringkat akar umbi berhubung pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST). Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah , berkata selain penerangan di peringkat kementerian, agensi pusat dan negeri serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO), penjelasan berhubung pelaksanaan GST akan dipanjangkan sehingga ke peringkat Parlimen. Kita merangka selepas sidang Parlimen kali ini selesai, kita akan terus turun ke bawah sehingga ke kawasan Parlimen supaya dapat difahami oleh rakyat sepenuhnya mengenai GST, katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Deepavali Parlimen Tambun di Ipoh, hari ini. Beliau yakin selepas penerangan itu, sebahagian besar rakyat negara ini akan faham mengenai GST menjelang pelaksanaannya pada 1 April 2015. Sebenarnya kita boleh dianggap bertuah kerana kita melaksanakan GST selepas 160 buah negara melaksanakannya, jadi kita belajar pengalaman negara itu dan kita tahu apa permasalahan yang berlaku di negara berkenaan, katanya. Ahmad Husni berkata, Rang Undang-undang GST dijangka dibentangkan di Parlimen pada awal tahun depan. GST ialah komponen penting pakej pembaharuan fiskal yang strategik bagi memenuhi proses evolusi struktur jangka panjang ekonomi negara. Diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa membentangkan Bajet 2014 bulan lalu, cukai tunggal GST ini yang akan menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan sedia ada, dan akan dikuatkuasakan pada 1 April, 2015, pada kadar enam peratus. GST kini dilaksanakan di lebih daripada 160 negara, termasuk negara kurang maju, pada kadar lima hingga 27 peratus. Semua negara di Asean sudah melaksanakan GST, kecuali Brunei, Myanmar dan Malaysia. - Bernama, 17 November, 2013. MTI YN
Posted on: Sun, 17 Nov 2013 10:48:34 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015