Kenyataan media Pakatan Rakyat Johor tentang projek Kompleks - TopicsExpress



          

Kenyataan media Pakatan Rakyat Johor tentang projek Kompleks Bersepadu Petroleum Pengerang (PIPC) pada 19 Januari 2014 di Sungai Rengit, Pengerang. Pakatan Rakyat Johor sentiasa prihatin terhadap kesan pelaksanaan projek Kompleks Bersepadu Petroleum Pengerang (PIPC) terhadap kehidupan harian penduduk Pengerang. Antara isu yang dibangkitkan adalah kehilangan mata pencarian penduduk setempat terutamanya para nelayan, penempatan semula penduduk sehingga mereka kehilangan kampung halaman yang didiami sejak turun-temurun, risiko kesihatan yang bakal dihadapi penduduk sekitar, kemusnahan alam semulajadi dan kemusnahan warisan budaya dan sosial yang tidak ternilai. Kami mencadangkan supaya Kerajaan Negeri Johor dan Kerajaan Persekutuan mengkaji semula rancangan tersebut dan seterusnya memberhentikan atau mengecilkan skala projek PIPC ini. Isu yang bangkit baru-baru ini adalah pemindahan lima tapak perkuburan bukan Islam yang membabitkan lebih daripada tiga ribu buah kubur. Tindakan seperti ini telah menyebabkan kerugian yang besar dari segi nilai sejarah dan budaya. Hasil kajian yang dijalankan secara usahasama antara Gabungan NGO Pengerang dan Pakatan Rakyat mulai pertengahan tahun 2012 menunjukkan bahawa terdapat sejumlah kubur di tapak tersebut yang mempunyai sejarah lebih daripada 400 tahun. Penemuan tersebut menjadi bukti sejarah kedatangan nenek moyang penduduk setempat ke Semenanjung Tanah Melayu. Pemindahan tapak perkuburan ini akan sekaligus memusnahkan warisan budaya dan sejarah yang sangat berharga. Walaupun terdapat suara bantahan daripada penduduk setempat dan NGO, pemindahan tapak perkuburan orang Islam tetap berlangsung sejak akhir bulan Disember 2012. Menurut sumber lisan seorang penduduk setempat, terdapat sebuah kubur yang dikatakan merupakan makam kerabat diraja Brunei yang belum dikenalpasti kesahihan ceritanya sewaktu pemindahan kubur tersebut. Pemindahan kubur tersebut akan merugikan sejarah dan memberi kesan kepada keunikan tempatan. Kerajaan telah sekali lagi bertindak gopoh dan tidak menghormati hasrat penduduk setempat. Menurut bancian yang dijalankan oleh NGO, 90 peratus waris membantah cadangan untuk memindahkan tapak perkuburan tersebut ke satu tapak yang baru. Bagaimanapun, bantahan mereka tidak langsung dipedulikan oleh pihak kerajaan. Dengan ini Pakatan Rakyat Johor mengesyorkan supaya pihak kerajaan 1. Mengkaji semula keperluan projek PIPC ini berdasarkan pertimbangan dari segi pulangan ekonomi secara keseluruhan, contohnya sosio-ekonomi setempat, sosio-budaya, kesihatan penduduk, keselamatan, implikasi alam semula jadi dan sebagainya. 2. Melaksanakan dasar pembangunan yang mampan berdasarkan keunikan tempatan tanpa mengorbankan keindahan warisan budaya dan alam semulajadi. 3. Menghormati dan mementingkan pendapat dan hasrat penduduk setempat sebelum sesuatu projek pembangunan dijalankan bagi memastikan sebarang pembangunan adalah betul-betul memberi manfaat kepada rakyat. 4. Menangguhkan segala kerja pemindahan tapak perkuburan sehingga kedua-dua pihak penduduk dan kerajaan mencapai persetujuan serta penyelesaian yang dapat diterima semua pihak. 5. Memindahkan projek ke kawasan tanah kerajaan. 6. Kami Ahli Parlimen dan ahli-ahli Dewan Undangan Negeri Johor memohon supaya satu sesi dialog dilakukan dengan Menteri Besar Johor untuk membincangkan isu projek PIPC dan implikasinya. Dikeluarkan oleh: YB Aminolhuda Hassan, Pesuruhjaya PAS Johor YB Liew Chin Tong, Pengerusi DAP Johor Saudara Steven Choong, Timbalan Setiausaha Agung PKR Kenyataan penuh: liewchintong/?p=6602
Posted on: Mon, 20 Jan 2014 05:00:00 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015