Kontrak Ijarah Tarikh Disiarkan: 23 Jun, 2010 Sumber: Utusan - TopicsExpress



          

Kontrak Ijarah Tarikh Disiarkan: 23 Jun, 2010 Sumber: Utusan Online Oleh WAN JEMIZAN WAN DERAMAN IJARAH (Sewa) telah lama diamalkan dalam masyarakat dan ia telah wujud sejak zaman pra-Islam lagi. Malah kontrak ini bukanlah merupakan sesuatu yang asing kepada masyarakat hari ini. Boleh dikatakan semua individu pernah terlibat dengannya. Bagi mereka yang mempunyai kemampuan yang terhad untuk membuat pembelian rumah dan premis, maka jalan alternatifnya adalah dengan membuat sewaan. Melalui kontrak berkenaan, mereka tidak perlu membuat pembelian kepada aset berkenaan yang berkemungkinan tidak sesuai dengan kemampuan mereka, sebaliknya hanya membayar sejumlah wang sewaan untuk mendapatkan manfaat kepada aset tersebut. Namun, hak pemilikan tidak berpindah kepada penyewa. Perkataan ijarah adalah kata nama bagi ujrah. Ia berasal daripada perkataanajr yang bermaksud balasan atau ganjaran ke atas sesuatu pekerjaan. Perkataan lain yang seerti dengan ijarah ialahkira. Menurut Majallah al-Ahkam, selain daripada maknaujrah, perkataan ijarah juga digunakan dengan maknaijar iaitu perbuatan menyewa sesuatu atau mengupah seseorang. Dari sudut istilah pula, menurut para ulama, ijarah (sewa) bermaksud kontrak pertukaran hak milik harta (muawadah) dengan memberi milik manfaat dengan ganjaran atau bayaran tertentu. (rujuk Ibn Qudamah, Al-Mughni, 6/3). Daripada definisi ini, kita dapat memahami bahawa kontrak ijarah seakan-akan sama dengan kontrak jual-beli (sebagaimana yang telah dibincangkan dalam artikel minggu lepas). Persamaannya adalah kedua-dua kontrak ini adalah kontrak muawadah (pertukaran) iaitu apabila pihak yang pertama memberi, dia akan menerima balasan atau pergantiannya daripada pihak kedua, setimpal dengan nilai yang telah diberikan. Tetapi, perbezaan antara keduanya adalah kontrak jual beli adalah pertukaran ain (barang) dengan ain, manakala kontrak sewaan adalah pertukaran yang melibatkan ain dengan manfaat. Dengan kata lain, kontrak sewaan adalah kontrak jual beli manfaat. Oleh sebab itu, mazhab Hanafi mentakrifkan sewa sebagai kontrak ke atas manfaat dengan bayaran ganti (iwad). (rujuk Dr. Wahbah Zuhaili, Fiqh Islam wa Adillatuhu, jil IV, ms 737). Kebanyakan ulama membahagikan kontrak sewaan ini kepada dua iaitu Ijarah Ain dan Ijarah Amal. Ijarah Ain adalah kontrak sewaan manfaat kepada barang. Sebagai contoh, Abdullah menyewakan kedainya kepada Salman dengan bayaran RM1,000 sebulan selama dua tahun. Ijarah Amalpula adalah menyewakan manfaat kerja dan kemahiran individu. Bayaran sewa untuk kategori ini biasanya dinamakan sebagai upah. Sebagai contoh, Ahmad bekerja sebagai juruwang di kedai runcit Pak Abu dan dibayar upah RM1,700 sebulan. Sebagaimana kontrak-kontrak yang lain, dua pihak yang berkontrak iaitu penyewa dan pemberi sewa perlu bersetuju dengan segala syarat-syarat yang termaktub dalam kontrak berkenaan seperti kadar sewa, tarikh bayaran sewa, tempoh masa sewaan dan tanggungjawab penyelenggaraan. Keredaan amat penting di antara kedua-dua belah pihak disebabkan ia adalah kontrak pertukaran yang memerlukan kesepakatan. Oleh sebab itu, kadar sewa dan kadar upah juga tidak boleh diubah sesuka hati. Ia perlu mendapatkan persetujuan kedua-dua belah pihak. Ia berasaskan firman Allah SWT dalam surah al-Nisa ayat 29. Penentuan kadar sewa dan upah ini perlu mendapat persetujuan antara pihak-pihak yang terlibat dalam kontrak. Banyak perselisihan dan suasana yang tidak sihat berlaku antara penyewa dan pemberi sewa kerana disebabkan kadar sewa yang tidak ditentukan pada peringkat awal secara spesifik. Justeru, amat penting untuk disediakan dokumen bertulis yang mengandungi syarat dan terma yang perlu dipatuhi oleh kedua-dua belah pihak. Kemudian, ia perlu ditandatangani oleh mereka untuk menjadi rujukan pada masa akan datang khususnya apabila terjadinya pertelingkahan atau perselisihan. Demikian juga sekiranya kita bekerja atau mengambil pekerja untuk melakukan sesuatu tugas. Perlu ditetapkan tempoh masa, jenis pekerjaan dan kadar upah pada peringkat awal. Sebagai contoh, ketika membaiki kereta, mekanik dan pemilik kereta perlu bersetuju dengan kadar upah kepada mekanik, apa yang perlu dibaiki dan tempoh masa yang perlu diambil. Kadang-kadang ada mekanik yang sesuka hati menukar dan menggantikan bahagian serta peralatan kereta tanpa persetujuan pemilik kereta. Tidak cukup dengan itu, bayaran upah yang dikenakan terlalu tinggi melebihi kadar yang sepatutnya. Begitu juga sekiranya kita menggunakan khidmat doktor atau peguam. Pastikan mereka tentukan secara spesifik bayaran untuk rundingan dan sebagainya pada peringkat awal. Dalam industri kewangan Islam sekarang, kontrak Ijarah sangat signifikan dalam pembangunan produk-produk perbankan Islam yang patuh syariah. Antaranya, kontrak Ijarah digunakan untuk pembiayaan kepada pelanggan bagi mendapatkan tunai. Biasanya, produk ini digunakan oleh syarikat-syarikat besar yang mempunyai aset tertentu untuk digunakan sebagai manfaat dalam kontrak berkenaan. Sebagai contoh, syarikat A ingin mendapatkan tunai daripada pihak bank sebanyak RM10 juta. Syarikat berkenaan akan menjual aset yang dimilikinya dengan harga RM10 juta kepada bank. Bank kemudiannya akan membayar secara tunai kepada syarikat tersebut. Setelah membuat pembayaran, bank akan mendapat pemilikan terhadap manfaat aset berkenaan (beneficial ownership). Namun, legal ownership akan kekal bersama pelanggan. Bank seterusnya akan menyewakan aset berkenaan kepada syarikat A selama lima tahun sebagai contoh dengan mengambil kira margin keuntungan yang ingin diperolehi oleh pihak bank. Setelah tamat tempoh sewaan lima tahun, bank mempunyai pilihan sama ada untuk menghadiahkan aset tersebut kepada syarikat A atau menjualnya dengan harga yang telah dipersetujui. KontrakIjarah juga digunakan oleh perbankan Islam bagi menyediakan produk-produk pembiayaan kenderaan. Salah satu versi produk yang terdapat dalam industri perbankan Islam adalah Al-Ijarah Thumma Al-Bai (AITAB). Kontrak ini adalah gabungan dua kontrak iaitu kontrak ijarah (sewa) dan kontrak bai (beli). Semasa kontrak pertama, pelanggan menyewa kereta daripada bank pada kadar sewaan yang dipersetujui untuk suatu tempoh tertentu. Apabila tempoh sewaan tersebut matang, pelanggan menandatangani kontrak kedua iaitu kontrak membeli kereta tersebut daripada pemilik pada harga yang dipersetujui. Menerusi AITAB ini , pertamanya pelanggan mengenalpasti kereta yang ingin dibeli. Biasanya, pelanggan tidak membayar apa-apa bayaran kepada syarikat kereta berkenaan. Namun begitu, terdapat juga bank yang mensyaratkan pelanggannya membayar sejumlah wang sebagai deposit sekuriti (hamisy jiddiyah). Kemudian, pelanggan seterusnya memberikan janji untuk menyewa kereta tersebut daripada bank. Pihak bank akan membeli kereta tersebut dengan harga tunai. Selepas itu pihak bank seterusnya menyewakan kereta tersebut kepada pelanggan. Setelah berakhir tempoh sewaan, bank akan menjual kereta tersebut kepada pelanggan dengan harga yang dipersetujui bersama antara bank dan pelanggan. Demikian beberapa versi produk berasaskan ijarah yang terdapat di bank-bank Islam. Walaupun ia telah menjadi satu produk dalam perbankan Islam. Namun masih ramai lagi yang masih belum jelas tentang konsepnya yang sebenar akibatnya timbul ketidakyakinan terhadap produk-produk yang ditawarkan oleh perbankan Islam dan ramai yang lebih rela memilih produk-produk perbankan konvensional walaupun jelas terlibat dengan riba.
Posted on: Sun, 10 Nov 2013 16:13:12 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015