Pesanan ringkas itu diakhiri dengan pandangan mata Rasulullah - TopicsExpress



          

Pesanan ringkas itu diakhiri dengan pandangan mata Rasulullah s.a.w. yang tenang dan penuh minat menatap sahabatnya satu persatu. Abu Bakar r.a. menatap mata itu dengan berkaca-kaca, Umar r.a. dadanya naik turun menahan nafas dan tangisnya. Usman r.a. menghela nafas panjang dan Ali r.a. menundukkan kepalanya dalam-dalam. Isyarat itu telah datang, saatnya sudah tiba. “Rasulullah s.a.w. akan meninggalkan kita semua.” Keluh hati semua sahabat r.a. kala itu. Manusia tercinta itu, hampir selesai menunaikan tugasnya di dunia. Tanda-tanda itu semakin kuat. Tatkala Ali r.a. dan Fadhal r.a. dengan cergas menangkap Rasulullah s.a.w. yang berkeadaan lemah dan goyah ketika turun dari mimbar, kalau mampu, seluruh sahabat r.a. yang hadir pasti akan menahan detik-detik dari terus berlalu. Setelah itu Rasulullah s.a.w. pun pulang ke rumah baginda. Matahari kian tinggi, tapi pintu rumah Rasulullah s.a.w. masih tertutup. Sedang di dalamnya, Rasulullah s.a.w. sedang terbaring lemah dengan keningnya yang berkeringat dan membasahi pelepah kurma yang menjadi alas tidurnya. Kemudian Allah S.W.T. mewahyukan kepada malaikat lzrail, “Wahai lzrail, pergilah kamu kepada kekasihku dengan sebaik-baik rupa, dan apabila kamu hendak mencabut ruhnya maka hendaklah kamu melakukan dengan cara yang paling lembut sekali. Apabila kamu pergi ke rumahnya maka minta izinlah terlebih dahulu, kalau ia izinkan kamu masuk, maka masuklah kamu ke rumahnya dan kalau ia tidak mengizinkan kamu masuk maka hendaklah kamu kembali padaKu.” Setelah malaikat lzrail mendapat perintah dari Allah S.W.T. maka malaikal lzrail pun turun dengan menyerupai seorang Arab Badwi. Setelah malaikat lzrail sampai di depan rumah Rasulullah s.a.w. maka ia pun memberi salam, “Assalamualaikum wahai ahli rumah kenabian, sumber wahyu dan risalah!” Fatimah r.a. tidak mengizinkannya masuk, “Wahai Abdullah (Hamba Allah), maaflah, ayahku sedang sakit,” kata Fatimah r.a. yang membalikkan badan dan menutup pintu. Kemudian Fatimah r.a. kembali menemani ayahnya yang ternyata sudah membuka mata. Kemudian malaikat lzrail berkata lagi seperti dipermulaannya, dan kali ini seruan malaikat itu telah didengari oleh Rasulullah s.a.w. Baginda s.a.w. bertanya pada Fatimah r.a., “Siapakah itu wahai anakku?” Fatimah r.a. menjawab: “Seorang lelaki memanggil ayahanda, saya katakan kepadanya yang ayahanda dalam keadaan sakit. Ia memanggil dengan suara yang menggetarkan sukma.” Rasulullah s.a.w. lantas berkata; “Wahai Fatimah, tahukah kamu siapakah orang itu?.” Jawab Fatimah r.a., “Tidak ayahanda.” “Dia adalah malaikat lzrail, malaikat yang akan memutuskan segala macam nafsu syahwat, yang memisahkan perkumpulan-perkumpulan dan yang memusnahkan semua rumah serta meramaikan kubur.” Fatimah r.a. tidak dapat menahan air matanya lagi. Setelah mengetahui bahawa saat perpisahan dengan ayahandanya akan bermula, dia menangis sepuas-puasnya. Apabila Rasulullah s.a.w. mendengar tangisan Fatimah r.a. maka Baginda SAWpun berkata: “Janganlah kamu menangis wahai Fatimah, engkaulah orang yang pertama dalam keluargaku akan bertemu dengan daku.” Kemudian Rasulullah s.a.w. pun mengizinkan malaikat lzrail masuk. Maka malaikat lzrail pun masuk dengan mengucap, “Assalamuaalaikum ya Rasulullah.” Rasulullah s.a.w. menjawab: “Wa alaikas saalamu, wahai lzrail engkau datang menziarahi aku atau untuk mencabut ruhku?” Maka berkata malaikat lzrail: “Kedatangan aku adalah untuk menziarahimu dan untuk mencabut ruhmu, itupun kalau dikau izinkan, kalau dikau tidak izinkan maka aku akan kembali.” Rasulullah s.a.w. bertanya: “Wahai Malaikulmaut, di mana engkau tinggalkan kecintaanku Jibril? “Aku tinggalkan ia di langit dunia?” Jawab malaikat Izrail. Baru sahaja malaikat Izrail selesai bicara, tiba-tiba malaikat Jibril datang dan duduk di samping Rasulullah s.a.w. Maka bersabdalah Rasulullah s.a.w.: “Wahai Jibril, tidakkah engkau mengetahui bahawa ajalku telah dekat?” Jibril menjawab: “Ya, wahai kekasih Allah.” Rasulullah s.a.w. bertanya lagi: “Wahai Jibril, beritahu kepadaku kemuliaan yang menggembirakan aku di sisi Allah S.W.T.” Berkata malaikat Jibril, “Sesungguhnya semua pintu langit telah di buka, para malaikat bersusun rapi menanti ruhmu di langit. Kesemua pintu-pintu syurga telah dibuka, dan kesemua bidadari sudah berhias menanti kehadiran ruhmu.” Berkata Rasulullah s.a.w.: “Alhamdulillah, sekarang kamu katakan pula tentang umatku di hari kiamat nanti.” Berkata Jibril: “Allah S.W.T. telah berfirman yang bermaksud, Sesungguhnya Aku telah melarang semua para nabi masuk ke dalam syurga sebelum dikau masuk terlebih dahulu, dan Aku juga melarang semua umat memasuki syurga sebelum umatmu memasuki syurga.” Berkata Rasulullah s.a.w.: “Sekarang aku telah puas hati dan telah hilang rasa susahku.” Kemudian Rasulullah s.a.w. berkata: “Wahai lzrail, mendekatlah kamu kepadaku.” Setelah itu malaikat lzrail pun memulai tugasnya. Perlahan ruh Rasulullah s.a.w. ditarik. Nampak seluruh tubuh Rasulullah s.a.w. bersimbah peluh, urat-urat lehernya menegang. Apabila ruh baginda s.a.w. sampai ke pusat, dengan perlahan Rasulullah s.a.w. menyebut “Jibril, betapa sakit sakaratul maut ini.” Saiyidatina Fatimah r.a. terpejam, Saiyidina Ali r.a. yang di sampingnya menunduk semakin mendalam dan Jibril mengalihkan pandangannya dari Rasulullah s.a.w. Melihatkan telatah Jibril itu maka Rasulullah s.a.w. pun berkata: “Wahai Jibril, apakah kamu tidak suka melihat wajahku?” Jibril berkata: “Wahai kekasih Allah, siapakah orang yang sanggup melihat wajahmu dikala kamu dalam sakaratul maut?” Sebentar kemudian terdengar Rasulullah s.a.w. merintih kerana sakit yang tidak tertahankan lagi. “Ya Allah, dahsyat sungguh maut ini, timpakan saja semua siksa maut ini kepadaku, janganlah pada umatku.” Badan Rasulullah s.a.w. mulai dingin, kaki dan dadanya sudah tidak bergerak lagi. Bibirnya bergetar seakan hendak membisikkan sesuatu, Saiyidina Ali r.a. segera mendekatkan telinganya. “Uushiikum bis shalati, wa maa malakat aimanukum, peliharalah sholat dan peliharalah orang-orang lemah di antaramu.” Di luar pintu tangis mulai terdengar bersahutan, sahabat r.a. saling berpelukan. Saiyidatina Fatimah r.a. menutupkan tangan di wajahnya, dan Saiyidina Ali r.a. kembali mendekatkan telinganya ke bibir Rasulullah s.a.w. yang mulai kebiruan. Ali r.a. berkata: “Sesungguhnya Rasulullah ketika menjelang saat-saat terakhir, telah mengerakkan kedua bibir beliau sebanyak dua kali, dan aku meletakkan telinga, aku dengan Rasulullah berkata: “Umatku, umatku.” Akhirnya roh yang mulia itupun meninggalkan jasad Rasulullah s.a.w. Rasulullah s.a.w. wafat pada hari Isnin 13 Rabiul Awal. Berkata Anas r.a.: “Ketika aku lalu di depan pintu Aishah, ku dengar dia sedang menangis sambil mengatakan: “Wahai orang yang tidak pernah memakai sutera. Wahai orang yang keluar dari dunia dari perut yang tidak pernah kenyang dari gandum. Wahai orang yang telah memilih tikar daripada singgahsana. Wahai orang yang jarang tidur di waktu malam kerana takut Neraka Sa’iir” Telah bersabda Rasulullah s.a.w. bahawa: “Malaikat Jibril telah berkata kepadaku; “Wahai Muhammad, sesungguhnya Allah S.W.T. telah menciptakan sebuah laut di belakang gunung Qaf, dan di laut itu terdapat ikan yang selalu membaca selawat untukmu, kalau sesiapa yang mengambil seekor ikan dari laut tersebut maka akan lumpuhlah kedua belah tangannya dan ikan tersebut akan menjadi batu.” KEUTAMAAN SELAWAT Firman Allah: “Sesungguhnya Allah dan para Malaikat-Nya selawat kepada Nabi. Hai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya dan ucaplah salam penghormatan kepadanya.” (Al-Ahzab: Ayat 56) Sabda Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wasallam: “Tidak sempurna iman seseorang dari kamu sehingga aku lebih dicintai olehnya daripada ia mencintai anaknya, orang tuanya dan manusia semuanya.” (Hadith Riwayat Ahmad, Bukhari, Muslim, Tirmidzi, Nasa’i dan Ibnu Majah) Sabda Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wasallam: “Setiap doa adalah terhalang, sehingga berselawat atas Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wasallam.” (Hadith Riwayat Ad-Dailami) Sabda Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wasallam: “Sesungguhnya seutama-utama manusia (orang terdekat) dengan aku pada hari qiamat adalah mereka yang lebih banyak berselawat kepadaku.” (Hadith Riwayat An-Nasa’i dan Ibnu Hibban) Sabda Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wasallam: “Barangsiapa yang berselawat kepadaku pada waktu pagi sepuluh kali dan pada waktu petang sepuluh kali, ia akan memperolehi syafaatku pada hari qiamat.” (Hadith Riwayat Thabarani) Sabda Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wasallam: “Barangsiapa berselawat kepadaku di sisi kuburku maka aku mendengarnya, barangsiapa berselawat kepadaku dari jauh maka selawat itu diserahkan oleh seorang malaikat yang menyampaikan kepadaku dan ia dicukupi urusan keduniaan dan keakhiratan dan aku sebagai saksi dan pembela baginya.” (Hadith Riwayat Al-Baihaqi dan Al-Khatib) Sabda Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wasallam: “Barangsiapa yang berselawat kepadaku satu kali, maka Allah berselawat kepadanya sepuluh kali selawat dan Allah menghapus sepuluh kesalahan (dosa) dan mengangkat sepuluh darjat kepadanya.” (Hadith Riwayat Ahmad, Nasa’i dan Al-Hakim) Sabda Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wasallam: “Barangsiapa berselawat kepadaku pada hari Jumaat dua ratus selawat, maka diampuni baginya dosa dua ratus tahun.” (Hadith Riwayat Ad-Dailami) Sabda Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wasallam: Dari Ubai bin Ka’ab: “Aku bertanya, wahai Rasulullah! Sesungguhnya aku memperbanyak selawat, maka berapakah aku jadikan untukmu dari selawatku? Nabi bersabda: Apa yang kamu kehendaki. Ia berkata: kataku: “Seperempat.” Sabda Nabi: “Apa yang kamu sukai dan jika kamu tambah maka itu yang lebih baik bagi kamu.” Kataku: “Apakah sepertiga? Sabda Nabi: Apa yang kamu sukai, jika kamu tambah itulah yang lebih baik bagi kamu.” Ia bertanya: “Apakah aku jadikan selawatku buatmu semuanya?” Nabi bersabda: “Jika demikian maka dicukupilah cita-citamu dan diampuni dosamu.” (Hadith Riwayat Ahmad, Tirmidzi dan Al-Hakim) Sabda Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wasallam yang bermaksud: “Barangsiapa yang berselawat kepadaku dari ummatku, maka dicatat baginya sepuluh kebaikan dan dihapuskan darinya sepuluh dosa.” (Hadith Riwayat Ibnu Hibban) Sabda Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wasallam: “Telah datang kepadaku utusan dari Tuhanku ‘Azzawajalla maka dia (Jibril) berkata: Barangsiapa yang mengucapkan selawat kepadaku dari umatmu, Allah Subhanahu wa Ta’ala mencatat baginya sepuluh kebaikan dan menghapuskan darinya sepuluh dosa dan mengangkat Allah baginya sepuluh darjat dan menolak Allah atasnya (membalas) yang seumpamanya.” (Hadith Riwayat Ahmad) Sabda Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wasallam: “Berselawatlah kamu kepadaku, kerana selawat itu menjadi zakat (penghening jiwa pembersih dosa) bagimu.” (Hadith Riwayat Ibnu Murdawaih) Sabda Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wasallam: “Barangsiapa berselawat kepadaku satu kali, maka Allah menurunkan rahmat kepadanya sepuluh kali.” (Hadith Riwayat Muslim) Sabda Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wasallam: “Barangsiapa berselawat kepadaku di hari Jumaat seratus kali maka ia datang di hari qiamat dengan cahaya, sekiranya dibahagi antara makhluk semuanya maka cahaya itu akan memenuhinya.” (Hadith Riwayat Abu Nu’aim) Sabda Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wasallam: “Barangsiapa berselawat kepadaku dalam sehari seratus kali, maka Allah mendatangkan baginya seratus hajat, tujuh puluh untuk akhirat dan tiga puluh untuk di dunianya.” (Hadith Riwayat Ibnu Najar dari Jabir r.a.) Sabda Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wasallam: “Barangsiapa berselawat kepadaku dalam sehari seribu kali, maka ia tidak akan mati sehingga ia digembirakan dengan syurga.” (Hadith Riwayat Abus Syaikh dari Anas r.a.) Sabda Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wasallam: “Hinalah hidung orang yang ketika disebutkan namaku tidak membaca selawat kepadaku.” (Hadith Riwayat Tirmidzi) Sabda Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wasallam: “Orang yang bakhil ialah yang disebut namaku kepadanya lalu ia tidak mahu berselawat kepadaku.” (Hadith Riwayat Tirmidzi)
Posted on: Fri, 20 Sep 2013 11:08:04 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015