Rakan Maritim Malaysia banteras pencerobohan nelayan - TopicsExpress



          

Rakan Maritim Malaysia banteras pencerobohan nelayan asing ________________________________ KUALA LUMPUR, — Penubuhan sukarelawan khas menyerupai peranan pasukan Wataniah akan diwujudkan sebagai pendekatan jangka panjang bagi memantapkan sistem kawalan keselamatan di sepanjang perairan negara daripada terus dicerobohi nelayan asing. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, menerusinya, penglibatan masyarakat diyakini dapat membantu Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dalam melaksanakan tugas secara lebih berkesan. Untuk penyelesaian jangka panjang, kita bercadang menubuhkan Rakan Maritim Malaysia yang antara lain peranan menyerupai pasukan Wataniah. Pasukan ini akan berperanan sebagai mata dan telinga kepada Maritim Malaysia dan bertindak proaktif dalam menyelesaikan masalah pencerobohan nelayan asing sebelum ia menular menjadi ancaman kepada negara, katanya ketika dihubungi di sini hari ini. Laporan khas Mingguan Malaysia meminta kerajaan supaya memperketatkan sistem kawalan keselamatan di sepanjang perairan negara bagi mencegah kejadian pencerobohan nelayan asing yang semakin serius sejak kebelakangan ini. Nelayan tempatan yang ditemui baru-baru ini mendakwa, ketiadaan anggota penguat kuasa dan kawalan ketat di perairan negara menyebabkan mereka sering diganggu oleh nelayan asing dan setakat ini tiada penyelesaian konstruktif dilakukan agensi terlibat. Shahidan berkata, kerajaan memandang serius ancaman itu, malah kawalan keselamatan dari semasa ke semasa telah dipertingkatkan termasuklah memperluaskan kawalan ketat di kawasan 100 batu nautika dari pantai selain pemantauan di ruang udara. Malah katanya, tindakan pantas termasuk menghantar bot-bot Maritim Malaysia yang bersedia 24 jam untuk ke lokasi dikatakan dicerobohi nelayan asing dalam tempoh satu jam selepas aduan diterima merupakan antara langkah proaktif yang diambil. Masalahnya nelayan asing ini sangat licik. Mereka lari apabila kita buat rondaan dan kawalan, tetapi menceroboh semula perairan kita pada waktu malam. Kalau hanya harapkan pihak penguatkuasa, memang tak berkesan. Jadi, komuniti setempat mesti turut sama menyumbang menangani pencerobohan nelayan asing kerana ia adalah tanggungjawab bersama, katanya. Menyedari isu berbangkit bukan perkara baharu, Shahidan berkata, pihaknya akan mengarahkan agar pertemuan kerap antara nelayan dan Maritim Malaysia diadakan bagi membincangkan bentuk kerjasama dalam mengatasi masalah itu. Dalam pada itu, katanya, Maritim Malaysia masih mampu melaksanakan tugas dengan baik biarpun kekuatan bot-bot sedia ada, sebahagian besarnya sudah berusia 50 tahun. Bagi memastikan pelaksanaan tugas-tugas penguatkuasaan dapat dilakukan secara optimum, kita akan minta peruntukan tambahan untuk menggantikan bot-bot Maritim Malaysia yang lama ini. Kalau bot lama, macam mana nak kejar bot nelayan asing, katanya. UTUSAN COM MY
Posted on: Mon, 04 Nov 2013 03:14:11 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015