Sabah Sebagai Sebuah Negara: Satu Penjelasan Gunung Kinabalu - TopicsExpress



          

Sabah Sebagai Sebuah Negara: Satu Penjelasan Gunung Kinabalu lambang semangat juang rakyat Sabah Walaupun sejarah telah mencatat dengan jelas bahawa Sabah merupakan sebuah negara merdeka pada 31 Ogos 1963, namun masih ada pihak yang cuba menafikan kebenaran itu dengan menyatakan bahawa Sabah sebenarnya hanya merupakan sebuah negeri dalam erti kata sama taraf dengan negeri-negeri di Persekutuan Tanah Melayu atau Malaya. 2. Persekutuan Tanah Melayu (PTM) ditubuhkan pada tahun 1948 menggantikan Malayan Union yang diperkenalkan oleh British pada tahun 1946. Persekutuan Tanah Melayu terdiri daripada 11 negeri, iaitu negeri Kedah, Perlis, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu, Melaka, Johor, Perak, Selangor, Pahang, dan Negeri Sembilan. Setiap negeri di bawah PTM ini mempunyai entiti yang berasingan antara satu negeri dengan negeri yang lain. Hal ini demikian kerana semasa penjajahan British, negeri-negeri ini sudah wujud terlebih dahulu dan mempunyai pemerintahannya sendiri. 3. Berikutan dengan itu, rakyat Sabah didedahkan dengan dua konsep yang saling bertentangan sehingga menimbulkan kekeliruan bagi sesetengah pihak yang kurang matang dan tidak jelas mengenai hal ini kerana kekurangan informasi. Pertama, Sabah sebagai sebuah negara dan kedua, Sabah sebagai sebuah negeri. Konsep “Negara” dan “Negeri” Untuk memahami isu ini dengan jelas, eloklah difahami maksud konsep “negara” dan “negeri” itu terlebih dahulu. 2. Dalam bahasa Inggeris dan beberapa bahasa Eropah lain, perkataan yang digunakan untuk merujuk kepada sebuah “negara” ataupun “negeri” adalah sama iaitu perkataan state. Jadi dalam keadaan ini, perkataan state akan diterjemahkan sama ada sebagai negeri atau negara mengikut konteks. 3. Di Malaysia, istilah “negara” dan “negeri” berbeza kerana “negara” merujuk pada “Persekutuan Malaysia”, sedangkan “negeri” merujuk pada negeri-negeri yang ada di Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, dan Sarawak. Lebih daripada itu, di Malaysia konsep “negara” dan “negeri” ini mempunyai “tahap”, iaitu “negara” itu lebih besar (berada di atas), sedangkan “negeri” itu lebih kecil (berada di bawah). Peta Malaysia: Terdiri dari Malaya, Sabah, Sarawak 4. Dengan itu, timbullah kekeliruan dalam kalangan rakyat kerana konsep “negara” dan “negeri” itu berasingan antara satu sama lain. Namun, berdasarkan kebenaran sejarah, ada pihak yang cuba mempersoalkan hal ini. Timbul dua persoalan utama, iaitu: Adakah Malaysia terdiri daripada gabungan negara ataupun terdiri daripada gabungan negeri? Adakah Sabah dan Sarawak merupakan sebuah “negara” ataupun sebuah “negeri”? 5. Jika Malaysia terdiri daripada gabungan negara, maka kedengarannya janggal. Realiti ini tidak boleh diterima oleh akal yang waras kerana dalam minda kebanyakan rakyat Malaysia (yang telah diajar sekian lama) mana mungkin wujud “negara” dalam “negara”. Itulah sebabnya, status Sabah dan Sarawak sebagai sebuah negara tidak dapat diterima kerana mana mungkin ada “negara” dalam “negara Malaysia”. Mari kita selidiki hal ini dengan saksama berdasarkan fakta Sejarah. Status Sabah dan Sarawak Sebagai Negara Sejarah membuktikan bahawa Perjanjian Malaysia ditandatangani di London pada 9 Julai 1963 oleh empat pihak yang mewakili negara yang berasingan, iaitu Malaya, Singapura, Sarawak, dan Sabah. Proklamasi pembentukannya dilakukan pada 16 September 1963 di Padang Merdeka, Kota Kinabalu. 2. Keempat-empat negara ini mempunyai entiti yang berasingan, iaitu Persekutuan Tanah Melayu (Malaya) yang terdiri daripada 11 negeri, iaitu negeri Kedah, Perlis, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu, Melaka, Johor, Perak, Selangor, Pahang, dan Negeri Sembilan; Singapura, Sarawak dan Sabah. 3. Berdasarkan Perjanjian Malaysia itu, memang jelas bahawa Persekutuan Malaysia yang baru dibina itu adalah terdiri daripada gabungan Malaya, Singapura, Sarawak, dan Sabah. Empat pihak yang menandatangani perjanjian itu ialah Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj mewakili Persekutuan Tanah Melayu ataupun Malaya; Lee Kuan Yew mewakili Singapura, Stephen Kalong Ningkan mewakili Sarawak; dan Tun Fuad Stephen mewakili Sabah. 4. Mari kita fahami dengan jelas bahawa Perjanjian Malaysia bukan ditandatangani oleh 11 ketua negeri / kerajaan di bawah Persekutuan Tanah Melayu bersama-sama dengan Singapura, Sarawak, dan Sabah. Persekutuan Tanah Melayu hanya satu. 5. Isu yang mengelirukan ialah nama bagi Sabah dan Sarawak pada ketika itu, iaitu sama ada “negara” ataupun “negeri” kerana Sabah dan Sarawak telah merdeka daripada British, tetapi belum ada kerajaan baru dibentuk berasaskan pilihan raya sebelum Perjanjian Malaysia ditandatangani di London. Berdasarkan sejarah, selepas Sarawak merdeka pada 22 Julai 1963 dan Sabah merdeka pada 31 Ogos 1963, status Sarawak dan Sabah ini adalah sebuah negara. Status Sabah dan Sarawak sebagai sebuah “negara” itu boleh dilihat dalam pelbagai bukti dokumen. 6. Singapura kemudiannya dikeluarkan dari Malaysia oleh Tunku Abdul Rahman pada 9 Ogos 1965 dan menjadi sebuah negara republik. Tunku Abdul Rahman mengeluarkan Singapura dari Malaysia dengan alasan untuk menangani isu penentangan Parti Tindakan Rakyat (PAP) pimpinan Lee Kuan Yew yang sering menimbulkan isu rasa tidak puas hati terhadap keistimewaan Bumiputera. Perjuangan Mendapatkan Hak Dengan merebaknya pendidikan sejarah Sabah yang sebenar dalam kalangan masyarakat Sabah mutakhir ini, rakyat Sabah telah sedar bahawa status Sabah sebenarnya adalah “negara” dan bukannya “negeri”. 2. Dengan pendidikan sejarah Sabah yang diterima, kebangkitan rakyat menuntut hak yang sepatutnya mereka terima pasti membawa tsunami politik di Sabah dalam PRU 2013 ini. Rakyat meyakini bahawa Kerajaan Sabah yang baru akan dibentuk kelak. Logo Parti STAR 3. Namun begitu, dengan jatuhnya taraf Sabah dan Sarawak daripada sebuah “negara” kepada “negeri” keadaan kita semakin bercelaru. Rakyat Sabah tidak seharusnya keliru dengan penggunaan istilah “negara” dan “negeri”. 4. Saya ingin menegaskan bahawa sama ada istilah “negara” ataupun “negeri” digunakan untuk Sabah dan Sarawak, istilah itu sebenarnya tidak akan mengubah status dan kedudukan Sabah dan Sarawak sebagai sebuah entiti yang berasingan yang berdaulat dan merdeka yang sama taraf dengan Malaya. 5. Sebelum Singapura dikeluarkan daripada Malaysia, yang jelas kepada kita ialah Persekutuan Malaysia itu terdiri daripada empat bukan terdiri 13 (gunakan apa saja istilahnya, sama ada negara / negeri - itu tidak penting) – yang jelas Persekutuan Malaysia itu terdiri daripada Malaya, Singapura, Sarawak, dan Sabah. Apabila Singapura dikeluarkan dari Persekutuan Malaysia, maka Persekutuan Malaysia itu kini terdiri daripada Malaya, Sarawak, dan Sabah. 6. Bermula daripada 27 Ogos 1976, status Sabah telah ditukar dari sebuah “negara” kepada sebuah “negeri”. Istilah “negeri” untuk Sabah terus digunakan sehingga kini. Memandangkan nama negeri sudah digunakan sebagai satu keselarasan dengan negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia, namun rakyat Sabah tidak boleh menerima bahawa Sabah sama taraf dengan negeri-negeri di Malaya (Semenanjung Malaysia). Yang jelas ialah Sabah dan Sarawak dan Malaya adalah sama taraf dan sebagai rakan kongsi dalam Persekutuan Malaysia. 7. Kepada rakyat Sabah, sama-samalah kita berjuang untuk mendapatkan hak kita. Hak kita ialah Sabah dan Malaya dan Sarawak adalah sama taraf. Sabah bukan sama taraf dengan negeri-negeri di Malaya, walaupun Sabah itu telah diturunkan taraf dan namanya kepada negeri.
Posted on: Sat, 09 Nov 2013 07:32:19 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015