[#Utusan #Pendidikan] TNB cungkil, kembang bakat hoki murid luar - TopicsExpress



          

[#Utusan #Pendidikan] TNB cungkil, kembang bakat hoki murid luar bandar JIKA tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Pepatah ini mendorong Tenaga Nasional Berhad (TNB) memperkenalkan Klinik Hoki Sekolah Pintar TNB khusus menggilap bakat murid tahun 4 dan 5 di sekolah-sekolah luar bandar yang terpilih menjadi sekolah angkatnya di bawah program Pintar TNB. Ketua Tanggungjawab Korporat TNB, Ahmad Zaki Rasid berkata, program yang mula diperkenalkan tahun 2009 itu mensasarkan murid luar bandar yang mempunyai bakat dan minat dalam permainan sukan hoki namun tidak berpeluang mengembangkan bakat mereka. Murid yang dipilih tidak semestinya cemerlang dalam akademik kerana paling diutamakan adalah minat murid yang mendalam terhadap sukan Hoki dan berusaha mempelajari permainan tersebut. Kita akan didik murid ini di bawah Klinik hoki Sekolah Pintar TNB melalui kemudahan jurulatih pakar yang terdiri daripada kakitangan TNB sendiri yang turut bermain di peringkat kebangsaan seperti Lailin Abu Hassan, Mohd. Amin Rahim dan M. Kaliswaran, katanya ketika ditemui Utusan Malaysia dalam Program Pemukiman dan Klinik Hoki Sekolah Pintar TNB 2014 di Bangi, Selangor baru-baru ini. Selain kemudahan latihan melalui jurulatih pakar, TNB turut menyediakan kemudahan peralatan hoki dan bantuan kewangan yang membolehkan sekolah membeli jersi atau keperluan yang berkaitan. Di bawah program itu, kesemua 13 sekolah Pintar TNB yang melibatkan 130 murid tahun 4 dan 5 menerima bantuan peralatan hoki bernilai RM10,000 di samping sumbangan dana pendidikan RM30,000 bagi tempoh 2013-2015. Sejak program ini diperkenalkan, sebanyak 93 sekolah rendah menyertainya membabitkan penyertaan 3,720 murid. Menurut Ahmad Zaki, program tersebut diperkenalkan adalah untuk mendedahkan murid mengenai permainan hoki dan menjadikannya sebagai salah satu alternatif permainan sukan di sekolah. Pada masa yang sama, ujarnya, usaha itu juga mahu mempromosikan sukan hoki sebagai sukan keutamaan TNB sekali gus memupuk minat generasi muda terhadap sukan hoki. Program ini turut disertai 26 Guru Penyelaras Sukan sekolah Pintar terlibat yang dibimbing meliputi aspek teori dan praktikal. Sesi teori bertujuan memberi penerangan mengenai asas permainan meliputi teknik-teknik pukulan, cara memegang kayu dengan bentuk badan yang betul. Bagi praktikal pula merupakan sesi mempraktikkan teori-teori yang dipelajari ketika latihan diadakan di padang, kata beliau. Demi memastikan kelangsungan program, tegas Ahmad Zaki, jurulatih hoki di bawah program itu akan membuat lawatan susulan ke sekolah-sekolah terbabit. Apa yang penting, TNB mahu melahirkan bintang hoki dalam kalangan murid sekolah luar bandar di bawah program Pintar TNB ini. Setakat ini, dua murid daripada program ini memasuki Sekolah Sukan Bukit Jalil. Antara kejayaan yang telah dicapai termasuklah menjadikan sekolah Pintar TNB seperti Sekolah Kebangsaan Kulai Jaya di Johor menjadi johan pertandingan hoki selama tiga tahun berturut-turut di peringkat negeri, jelas beliau.
Posted on: Mon, 03 Mar 2014 00:27:05 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015