22/11/13 Kekangan dalam pelaksanaan undang-undang - TopicsExpress



          

22/11/13 Kekangan dalam pelaksanaan undang-undang Islam 2013/11/22 - 02:09:58 AM Mohd Ayop Abd Razid Peruntukan Perkara 3(1) adalah antara peruntukan penting yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan. Peruntukan ini meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan. Pun begitu, Perkara 3 memberi kebebasan kepada penganut agama lain mengamalkan kepercayaan mereka dengan aman dan harmoni. Ia harus dibaca bersama Perkara 11(1) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan, tiap-tiap orang berhak menganut dan mengamalkan agamanya. Namun, dalam mengembangkan agama lain itu, ia tertakluk kepada fasal (4) dalam Perkara 11 yang memperuntukkan bahawa undang-undang negeri dan undang-undang Persekutuan mempunyai kuasa untuk mengawal atau menyekat apa-apa iktikad (kepercayaan) agama lain daripada dikembangkan kepada orang Islam. Hakikatnya, peruntukan berkaitan agama dalam Perlembagaan Persekutuan adalah jaminan mengenai kebebasan beragama di Malaysia. Peruntukan mengenai kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan terhad kepada upacara serta adat istiadat agama. Maknanya, kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan tidak menjadikan undang-undang Islam itu undang-undang tertinggi kerana Perkara 4(1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan Perlembagaan sebagai undang-undang tertinggi negara. Ia diperkukuhkan lagi dengan Perkara 75 yang jelas menyatakan jika undang-undang Negeri berlawanan dengan undang-undang Persekutuan maka undang-undang Persekutuan hendaklah dipakai manakala undang-undang Negeri adalah terbatal setakat mana undang-undang itu berlawanan dengan undang-undang Persekutuan. Malah, Perkara 160 tidak pun menyebut undang-undang Islam sebagai takrifan undang-undang yang terkandung dalam Perlembagaan. Selain itu, di bawah Perkara 76 (1), Parlimen mempunyai kuasa untuk membuat undang-undang ke atas apa-apa perkara dalam Senarai Negeri dalam beberapa perkara, iaitu: i) bagi melaksana apa-apa perjanjian atau konvensyen antara persekutuan dengan negeri-negeri lain; atau, ii) bagi mengadakan persamaan undang-undang di antara dua negeri atau lebih; atau, iii) jika diminta sedemikian oleh mana-mana negeri. Fakta sokongan yang lain menunjukkan bahawa walaupun Islam agama Persekutuan, tetapi ia tidak mempunyai ketua agama Islam bagi seluruh Persekutuan. Dalam konteks ini, Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua bagi Persekutuan hanya kekal sebagai ketua agama negeri baginda sendiri serta menjadi ketua agama bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak. Hakikatnya, kuasa mentadbir hal ehwal Islam adalah bidang kuasa Raja negeri-negeri. Pun begitu, kuasa perundangan hal ehwal negeri adalah tanggungjawab Badan Perundangan Negeri. Raja-raja hanya menerima nasihat dalam perkara berkaitan hal ehwal Islam. Namun, undang-undang yang hendak dilaksanakan itu mestilah tidak bercanggah atau bertentangan dengan peruntukan undang-undang yang ada dalam undang-undang Persekutuan. Kuasa Badan Perundangan Negeri membuat undang-undang adalah berkaitan dengan mana-mana perkara yang dinyatakan dalam Senarai Negeri (Senarai Kedua) seperti yang termaktub dalam Jadual Kesembilan atau Senarai Bersama. Satu daripadanya adalah menyentuh pentadbiran hal ehwal orang Islam. Jika diteliti, senarai dalam Jadual Kesembilan itu maka dapat difahami bahawa bidang kuasa yang dimiliki negeri dalam mentadbir hal ehwal orang Islam dan undang-undang Islam adalah terhad. Dalam hal jenayah, Mahkamah Syariah hanya mempunyai kuasa menjatuhkan hukuman maksimun tiga tahun penjara atau denda RM5,000 atau enam sebatan atau gabungan mana-mana hukuman terbabit. Kuasa yang dimiliki Mahkamah Syariah ini sering disebut secara sinis oleh pengkritik sebagai ‘hukuman 356.’ Ini bermakna hukuman berkaitan hudud dan qisas sebagai mana yang terkandung dalam al-Quran dan as-Sunah tidak berupaya dilaksanakan. Kesimpulan, walaupun Perlembagaan Persekutuan meletakkan Islam sebagai agama bagi Persekutuan, bidang kuasa mentadbir hal ehwal Islam dan undang-undang Islam yang diberikan di bawah bidang kuasa negeri terhad dan masih tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan. Justeru, sejauh mana usaha untuk memperkukuh undang-undang Islam dan kuasa Mahkamah Syariah adalah bergantung kepada sejauh mana halangan yang mengekang dapat diatasi terlebih dulu. Mungkin perlu dimasukkan satu peruntukan khusus ke dalam Perlembagaan yang boleh mengangkat kedudukan undang-undang Islam menjadi sebahagian daripada undang-undang utama negara di mana tidak ada mana-mana peruntukan lain yang boleh membatalkan pelaksanaannya. Jika tidak, kita akan terus berada dalam polemik yang tidak berkesudahan berkaitan dengan pelaksanaan undang-undang Islam di negara ini. Penulis ialah Penganalisis Media di Bahagian Penerbitan Dasar Negara, Jabatan Penerangan, Kementerian Komunikasi dan Multimedia.
Posted on: Fri, 22 Nov 2013 00:53:25 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015