446 Jemaah Haji Pertama Tiba Di KLIA Kumpulan pertama 446 - TopicsExpress



          

446 Jemaah Haji Pertama Tiba Di KLIA Kumpulan pertama 446 jemaah haji Malaysia selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di sini Isnin malam. Mereka tiba kira-kira pukul 11.15 malam dengan menaiki pesawat Saudi Airlines setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz, Jeddah di Arab Saudi kira-kira 9.45 pagi waktu Arab Saudi (2.50 petang waktu tempatan). Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata berlaku kelewatan selama dua jam di Jeddah ekoran kesesakan di lapangan terbang. Sebanyak 64 penerbangan akan membawa pulang jemaah haji Malaysia bermula hari ini sehingga 18 Nov di seluruh negara, katanya ketika ditemui selepas menyambut ketibaan kumpulan pertama jemaah itu. Turut menyambut ketibaan mereka ialah Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH Datuk Ismee Ismail. Mulai Isnin, jemaah haji yang memasuki tanah suci melalui Madinah pada bulan lepas, akan berlepas pulang ke tanah air secara berperingkat menerusi Lapangan Terbang Jeddah. Bagi jemaah haji yang memasuki tanah suci menerusi Makkah, mereka akan ke Madinah secara berperingkat bermula 28 Okt ini dan tinggal di sana selama lapan hari sebelum berlepas pulang ke tanah air menerusi Lapangan Terbang Madinah. - BERNAMA
Posted on: Mon, 21 Oct 2013 22:56:21 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015