AKU JUGA INGIN BERBICARA Hari ini aku berbangga dilahirkan - TopicsExpress



          

AKU JUGA INGIN BERBICARA Hari ini aku berbangga dilahirkan sebagai seorang Melayu yang tegak berdiri bersama dengan Melayu lainnya juga pendatang-pendatang asing sama ada yang telah menjadi Warganegara mahupun sekadar Penduduk Tetap, Pendatang Haram (Pati) juga Pengkhianat Bangsa & Petualang Negara. Aku berkata sebagai seorang insan biasa yang sering memerhati dan mengagumi sesetengah perwira juga pahlawan yang tidak bernama di dalam negara tercinta. Tidak sebagai seorang Budak Suruhan, Balaci atau Pengemis Kuasa. Tidak juga sebagai orang yang tidak berakal yang hanya menjadi burung Kakak Tua atau pengikut taksub yang bijak menurut segala apa juga kata pemimpin mereka. Kasihan buat Kakak yang Tua… kenapa bukan Abang Tua, Pak Tua, Mak Tua atau Kelapa Tua? Mengapa mesti kakak juga yang dijadikan sasaran? Oh… kakak yang tua biasanya bertindak sebagai ibubapa kepada adik beradiknya ketika ketiadaan ibubapa. Bising dan mengulangi segala kata ibubapa supaya adik beradiknya tidak lupa dan sering ingat akan kata-katanya. Ini bukan persenda, bukan bahan jenaka tapi sketsa hidup kita di alam nyata. Suatu ketika dahulu, aku terpandang seseorang yang disebut sebagai pemimpin yang Paling Mulia. Nasib juga sekadar Paling dan bukannya Maha kerana perkataan Maha itu hanyalah buat Allah Taala sahaja. Tapi… penuntut universiti juga dipanggil Maha… Siswa… Siswi… dan mungkin sebab itu juga antara mereka menjadi seolah berkuasa, berani, sombong, riak, takbur malahan… lupa diri. Menuntut ilmu dengan bantuan subsidi tapi seolah belajar di universiti milik bapa sendiri. Berbalik kepada pemimpin yang pernah dikatakan sebagai Paling Mulia itu, mulanya aku bangga apabila perjuangannya yang tekun, mantap, bernas (bukan Beras Nasional) mampu menarik minat hampir seantero rusuk rantau. Walau pelbagai cerita yang dikaitkan dengannya, beliau tetap berjuang seperti biasa. Seolah-olah apa yang berlaku di kiri kanannya seperti angin lalu dan tidak memberi kesan terhadapnya. Akhirnya, apabila hakikat sebenar diperolehi, barulah dia sedar bahawa segala cerita-cerita itu semua tetap memberi kesan kepada beliau juga seluruh angkatan di bawah naungannya hingga menjejaskan peluang dan ruang yang diidamkan selama ini. Malahan, dicerca pula oleh rakan sahabat taulan dalam kelompok yang hampir punya persamaan. Akhirnya, berjuanglah dari kota ke kota membawa khabar berita yang mempunyai pelbagai versi dan rasa, ikut tekak yang menyampaikan antara mereka. Terkini… Paling Mulia tiada lagi statusnya, dinasihat bersara sahaja dan menyerahkan segala kuasa kepada yang muda walau di sudut lain, nampaknya Kelapa Tua semakin banyak santannya hingga mampu menumbangkan warisan keamanan di negeri aku sendiri. Bila Paling Mulia semakin tidak dipercaya, mulalah Kelapa Tua meramas santannya, bercita tinggi menjadi Maha… Raja Pertama aka First Emporer bernama Qin Shi Huang yang kononnya sebagai ketua yang akan menyatukan seluruh negara dengan satu panji dan satu identiti seterusnya penghinaan ke atas bangsaku sendiri. Cita-cita ini amat tinggi tapi tidak mustahil ia menjadi realiti kerana bangsaku sememangnya rela diperlakukan sebegitu. Siapa yang bakal menjadi tentera Terracotta Kelapa Tua ini? Aku? Biarlah aku mati dahulu sebelum melihat kejatuhan bangsaku sendiri yang bangga menjunjung titah First Emporer of Malisia (pastinya bukan Malaysia lagi). Akan adakah tentera Terracotta yang bukan lagi sepet matanya? Bermata bundar, berkulit sawo matang? Bangsa akukah itu? Jika dahulu First Emperor bukan sahaja mahu segala tenteranya dijadikan Terracotta, malahan segala kuda, monyet, babi, anjing juga dijadikan Terracota. Mungkin jika Kelapa Tua ini mati, Ferrari atau Lamborghini Terracotta sebagai pengganti. Tanah tertinggi di suatu negeri-negeri selat itu juga mungkin menjadi tempat persemadiannya suatu hari nanti atau juga di mana segala rantai, gelang, anting-anting dan cincin patah direbut pencuri. Itu kalaulah bangsa aku masih lupa diri. Bila Kelapa Tua menjadi First Emporer, apa pula jadinya dengan kuasa tertinggi dalam pertahanan negara? Mana aku tau, aku tak sempat belajar sampai situ. Tiba-tiba aku teringat dengan Tun Fatimah. Seorang Srikandi yang gagah lagi berani yang hidup sendiri apabila semua kaum kerabat terdekatnya dibunuh akibat fitnah sesama bangsa. Jika dahulu sultan lama digambarkan sebagai mudah percaya kepada orang kanannya, kini Srikandi digelar kepada seorang yang menjadikan segala katanya menjadi kepercayaan pengikutnya. Jika Tun Fatimah itu berketurunan Tamil Muslim, Srikandi hari ini hanya semata-mata Tamil sahaja dan tiada Muslimnya. Berarak ke sana, berarak ke mari atas nama demokrasi, seolah mahu membalas dendam atas hukuman yang dijatuhkan atas kaum kerabat terdekat Tun Fatimah. Bergerak melawan pemerintah hingga ada yang tertumpah darah dengan sia-sia. Tapi ada perkara yang aku berbangga dengannya. Meminta kepada suatu yang tidak pernah diminta oleh orang lain walaupun lelaki gagah perkasa kononnya seperi Tunas Kelapa Tua yang hanya lebih hendak menempel, menumpang glamor bila yang diminta Srikandi tidak lagi hanya sebuah mimpi. Srikandi meminta demokrasi, petualang pula mencari ruang, Paling Mulia dan Kelapa Tua takkan lepaskan peluang, menyerang di mana ada ruang, menangguk di air keroh (bukan di Melaka) memanggil anak muda bersama dengan pelbagai madah pujangga dan impian menjadi kaya bila tidak perlu membayar hutang kononnya. Dulu-dulu, hero aku adalah Six Million Dollar Man, sekarang hero berkerusi roda pula diagungkan. Ingat hero mestilah seorang adiputra tetapi jalak lenteng yang tidak lagi mampu mencari betina. Menang bersorak, kampung orang melayu juga yang tergadai. Orang dulu ingat duit enam juta itu banyak, rupanya banyak lagi duit yang digunakan untuk melayan kehendak hero Malaysia yang baru ini. Inilah kuasa lidah, lebih tajam dari mata pedang walau heronya hanya setumpul peluru. Pedang boleh membelah dan tumpulnya peluru masih menembus. Kuat sungguh seorang hero. Hendak disuruh tutup mulut tapi lebarnya seperti tempayan, itulah kelebihan hero yang hanya mampu bergerak apabila disorong oleh orang lain. Kalau dulu hero aku adalah orang barat, nampaknya orang Melayu sekarang mempunyai hero yang hanya pandai berkata-kata tanpa mempunyai kekuatan lainnya dan membuatkan langit menjadi gelap. Nanti-nanti, aku juga ingin berbicara tentang hakiki. Yang berdoa siang dan malam agar jangan dihilangkan kuasa. Biarlah bercerai nyawa, asal jangan kehilangan takhta. Menjadi pemimpin seolah turun temurun. Ibarat tiada orang lain yang pandai memasak nasi, hingga semuanya kebuluran….
Posted on: Mon, 18 Nov 2013 01:10:33 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015