Abu Ayub al-Ansari nama asalnya Khalid bin Zaid bin Khulaib antara - TopicsExpress



          

Abu Ayub al-Ansari nama asalnya Khalid bin Zaid bin Khulaib antara sahabat yang amat disayangi Rasulullah saw. Semasa berhijrah ke Madinah baginda tinggal di rumah Abu Ayub al-Ansari sehingga mempunyai kediaman sendiri. Abu Ayub al-Ansari antara sahabat yang membela Aisyah dan membidas Abdullah bin Ubai ketua munafik yang menyebarkan fitnah. Abu Ayub al-Ansari juga seorang pahlawan yang gagah berani turut serta dalam peperangan sejak zaman Rasulullah saw sehingga ke zaman Khulafa ar-Rashidin dan seterusnya kepada zaman pemerintahan Muawiyah Abi Sufian. Abu Ayub al-Ansari dikurniakan umur yang panjang sehingga hidup pada zaman Muawiyah menjadi khalifah. Beliau turut menyertai pasukan tentera Islam ke Konstantinople walaupun ketika itu usianya sudah tua. Walaupun sudah uzur, Abu Ayub tetap berkeras mahu turut ikut serta. Semasa berlaku pertempuran beliau beliau mengalami keuzuran yang sangat teruk sehingga tidak mampu mengangkat pedang. Abu Yazid bin Muawiyyah yang memimpin tentera Islam menemuinya lalu bertanya. “Adakah yang tuan mahu wahai Abu Ayub”? “Aku mendengar baginda Rasulullah saw mengatakan seorang lelaki soleh akan dikuburkan di bawah tembok tersebut dan aku juga ingin mendengar derapan tapak kaki kuda yang membawa sebaik-baik raja yang mana dia akan memimpin sebaik-baik tentera seperti yang telah diisyaratkan oleh baginda.“ Wasiat terakhir daripada sahabat Rasulullah saw itu ditunaikan jenazahnya dikebumikan diluar tembok Constantinople. Setelah beratus tahun berlalu kubur itu telah hilang tanpa dapat dikesan lagi. Kisah Abu Ayub al Ansari ini antara yang memberi motivasi kepada Sultan Muhamad Al Fateh untuk menakluk kota Konstantinopel. Selepas berjaya menakluknya beliau ingin mencari di mana letaknya kubur sahabat nabi yang mulia itu. Melalui nasehat gurunya Syeikh Syamsuddin al Wali, akhirnya Sultan Muhamad al Fateh mendapat petunjuk di mana letaknya kubur tersebut. Setelah kerja menggali dijalankan akhirnya mereka menemui jasad Abu Ayub al Ansari yang masih utuh tidak reput walau sudah lama dikembumikan. Ada riwayat mengatakan jenazah Abu Ayub al Ansari dipindahkan serta dikebumikan semula di tempat yang ada sekarang. Kemudian Sultan Muhammad al Fateh menitahkan supaya dibina masjid di sisi kubur tersebut. Setiap kali pergi ke Turki saya menziarahi kubur Abu Ayub al Ansari yang berbau wangi. Kali pertama menziarahinya semasa menjejak sejarah Mustafa Kamal Ataturk. Kali kedua semasa menjejak sejarah Badiuzzaman Said Nursi. Kali ketiga semasa menjejak sejarah sahabat nabi itu sebelum menulis novelnya. Setelah beberapa kali menziarahi kuburnya akhirnya Novel Abu Ayub al Ansari berjaya diterbitkan pada bulan Februari 2013 dan sudah diulangcetak tiga kali. Alhamdulillah.
Posted on: Fri, 27 Sep 2013 23:43:22 +0000

Recently Viewed Topics




© 2015