Ada apa dengan UPR? Ketika rencana ini ditulis, sebuah delegasi - TopicsExpress



          

Ada apa dengan UPR? Ketika rencana ini ditulis, sebuah delegasi daripada Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) sampai di Myanmar bagi melawat kawasan Rakhine. Iaitu tempat peristiwa berdarah tahun lepas di mana ribuan orang Muslim Rohingya negara itu ditetak, diperkosa dan dihalau daripada rumah mereka. Delegasi itu terdiri daripada anggota suruhanjaya hak asasi OIC yang bertemu dengan Kerajaan Myanmar bagi mendesak agar keselamatan, kebajikan dan hak orang Rohingya dilindungi. Malah sejurus tibanya delegasi itu di Sittwe, ibukota negeri Rakhine, mereka disambut dengan sebuah protes daripada sekumpulan sami Buddha. Menurut laporan The Malaysian Insider, kumpulan sami tersebut mendesak agar OIC meninggalkan Rakhine dan berhenti mencabar “kedaulatan Myanmar”. Tujuan penulis menarik perhatian kepada berita ini adalah bukan untuk mencetuskan permusuhan atau ketegangan antara orang Muslim dan Buddha, atau antara orang Malaysia dan Myanmar. Tujuan berita ini ditonjolkan adalah untuk menunjukkan bahawa OIC, iaitu pertubuhan terbesar negara-negara Muslim, juga mempunyai badan yang memperjuangkan hak asasi. Malah menurut bekas pesuruhjaya hak asasi Malaysia (Suhakam) Datuk Dr Denison Jayasooria, pembentukkan suruhanjaya itu adalah bukti kukuh bahawa negara-negara Muslim mengikhtiraf konsep hak asasi manusia (HAM) sejagat. Konsep HAM adalah landasan bagi memperjuangkan kebajikan, keselamatan dan martabat orang Muslim dan bukan Muslim, kata Denison. “OIC telah menunjukkan bahawa konsep hak asasi manusia bukan bertentangan dengan Islam. OIC juga adalah pejuang kuat hak asasi. “Akan tetapi ada kumpulan-kumpulan di Malaysia yang cuba mengatakan hak asasi itu bertentangan dengan Islam,” kata Denison. Kumpulan tersebut mengatakan penglibatan Malaysia dalam proses semakan berkala (UPR) rekod HAM di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) adalah satu agenda pro-Barat untuk menyebarkan fahaman liberalisme. Kumpulan ini yang diketuai Ikatan Muslimin Malaysia, menentang penglibatan gabungan 54 NGO lain di dalam proses UPR Malaysia. Isma menuduh gabungan itu sebagai memperjuangkan hak golongan LGBT (lesbian, gay, biseksual transgender) dan kebebasan keluar agama untuk orang Muslim. Tetapi aktivis hak asasi manusia menolak tanggapan-tanggapan itu dan berhujah bahawa proses UPR bukan satu agenda Barat atau forum borak kosong antarabangsa. Sebaliknya semakan tersebut memberikan peluang kepada Malaysia untuk menilai samada ia benar-benar mendokong prinsip-prinsip seperti demokrasi, perpaduan dan keadilan untuk semua di dalam masyarakat majmuk. Iaitu prinsip-prinsip yang terdapat di dalam rukun negara Malaysia sendiri. Penilaian sejagat UPR adalah sebuah proses “peer review” atau semakan yang dibuat oleh mereka yang setara, kata peguam Andrew Khoo (gambar). Di dalam kes in mereka yang setara itu adalah negara-negara ahli PBB yang mengambil bahagian. Seramai 104 negara mengambil bahagian di dalam UPR yang menyaksikan setiap negara menilai rekod negara lain tanpa syakwasangka dan tanggapan campurtangan di dalam hal ehwal dalaman masing-masing. Di UPR, negara membangun seperti Malaysia mempunyai hak dan suara untuk menilai rekod HAM negara maju seperti Finland dan United Kingdom dan sebaliknya. “Bagi negara-negara Asean khususnya, ia adalah satu-satunya peluang bagi mereka untuk memberi pandangan tentang masalah-masalah dalaman masing-masing. “Biasanya Asean jarang sekali berbuat demikian kerana mereka mengamalkan prinsip yang tegas tidak campurtangan, mahupun memberikan pandangan tentang hal-hal domestik ahli,” kata Khoo. “Akan tetapi dasar dalaman sesebuah negara sebenarnya memberi impak kepada negara jiran,” jelas Khoo, yang merupakan anggota jawatankuasa HAM Majlis Peguam Malaysia yang hadir di sesi UPR Malaysia di Geneva, Switzerland pada October 24. Ini dilihat apabila Indonesia, Bangladesh, Filipina dan Nepal membuat teguran tentang sikap Malaysia terhadap pekerja asing dan pendatang asing tanpa izin. UPR juga dapat mengukur sejauh mana negara telah membangunkan infrastruktur asas untuk rakyatnya di dalam sektor yang Malaysia sering kali mewar-warkan kejayaannya. Contohnya, Malaysia menerima sebanyak 20 cadangan bagi memperbaiki dan menaik taraf perkhidmatan kesihatan luar bandar. Ini walaupun Kerajaan seringkali bercakap tentang kejayaan dalam membasmi kemiskinan. Malaysia mendapat sebanyak 232 cadangan daripada negara Asia, Afrika, Amerika Latin dan Eropah. Kebanyakkan cadangan Khoo berkata, mahu Malaysia berusaha dengan lebih serius bagi memelihara kebebasan politik dan sivil seperti kebebasan bersuara, berhimpun dan memelihara hak-hak beragama untuk komuniti minoriti. Cadangan-cadangan itu menyeru Malaysia untuk menandatangani lebih banyak perjanjian utama antarabangsa HAM. Ini termasuk perjanjian bagi : - menghapuskan diskriminasi etnik dan jantina, - melindungi hak sivil, - menghentikan taktik menyeksa tahanan (torture), - melindungi kebajikan orang kelainan upaya, - melayan pekerja asing dengan baik, - dan mengikhtiraf status pelarian. Malaysia, kata Khoo, telah hanya menandatangani tiga perjanjian HAM, berbanding dengan Indonesia yang telah mendatangani sebanyak lapan daripada 10 perjanjian utama HAM. Khoo menegaskan bahawa setiap cadangan di dalam setiap sektor adalah penting (contohnya pilihanraya adil dan bersih) dan bukan sahaja sektor yang mendapat lebih perhatian (hak politik dan kebebasan sivil). “Malaysia tidak boleh bersikap sambil lewa kerana ia berjaya di dalam sesetengah aspek (seperti pembasmian kemiskinan) dan mengabaikan hak-hak asasi yang lain (seperti kebebasan bersuara). “Mesej daripada semua cadangan ini adalah kita mesti berusaha untuk bergerak ke depan di dalam semua aspek,” kata Khoo. Taraf dunia di negara sendiri Tetapi ada tanggapan bahawa Malaysia “belum bersedia” untuk melaksanakan perjanjian-perjanjian HAM yang bertaraf antarabangsa itu. Ada sesetengah pihak yang berhujah bahawa Malaysia harus melaksanakan konsep HAM mengikut “acuan sendiri”. Pihak-pihak ini menyebut tentang cadangan-cadangan seperi kebebesan untuk golongan LGBT, kebebasan untuk keluar dari agama Islam sebagai bukti bahawa proses UPR tidak sesuai untuk Malaysia. Denison merasakan bahawa pihak tersebut mahu mengalihkan perhatian daripada cadangan-cadangan yang tidak sebegitu kontroversi dan yang Malaysia boleh laksanakan. Ini termasuk cadangan : - melindungi kebebasan bersuara, berhimpun - memelihara kebajikan pekerja asing dan pelarian - melindungi hak Orang Asal terhadap tanah adat mereka - menghentikan diskriminasi etnik dan jantina dan - membasmi pemerdagangan manusia. Lebih-lebih lagi kesemua cadangan di atas kata Denison, datang daripada negara Muslim. Seperti yang ditunjukkan oleh kolumnis The Malaysian Insider Rama Ramanathan, sebanyak 77 cadangan datang daripada 35 negara Muslim OIC termasuk Mesir, Turki, Morroco, Lubnan dan Indonesia. Malaysia juga mempunyai hak untuk menolak cadangan-cadangan yang diberikan. “Proses UPR memberikan hak untuk setiap negara melaksanakan cadangan supaya bersesuaian dengan konteks tempatan,” kata Denison. Tetapi ini tidak bermaksud Malaysia harus menolak kesemua cadangan. Ini kerana seperti yang disedari oleh OIC, konsep HAM sejagat adalah untuk melindungi individu daripada kekejaman dan penindasan. Samada ia berunsur dari individu lain mahupun kerajaan. Malah di dalam laporan UPR bagi Finland dan UK, Malaysia melahirkan kebimbingan terhadap fenomena ekstrimis kaum di dalam negara-negara tersebut. Malaysia menyeru agar kerajaan Finland dan UK mengambil langkah melindungi hak komuniti Muslim minoriti mereka dan berusaha untuk menanam sikap toleransi agama di kalangan masyarakat berbilang agama dan kaum. Adalah agak janggal sekiranya Malaysia menggunakan konsep HAM sejagat bagi menyeru negara lain agar melindungi komuniti minoriti dan hak beragama mereka, tetapi Malaysia sendiri mengabaikan hak asasi rakyatnya sendiri. Hak asasi sejagat adalah untuk semua manusia, tak kira agama, bangsa atau negara. – 17 November, 2013. MTI YN
Posted on: Sun, 17 Nov 2013 10:43:24 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015