Ada orang mengatakan novel (komik juga pastinya) adalah hasil - TopicsExpress



          

Ada orang mengatakan novel (komik juga pastinya) adalah hasil khayalan dan imaginasi si penulisnya. Justeru, membacanya seolah-olah kurang bermanfaat dan membuang masa kerana tidak menggambarkan realiti kehidupan sebenar, tanpa mengira sama ada novel itu bercirikan Islamik dan memberi mesej positif. Jawapan saya pula; ya, memang benar sebahagian kata-kata itu, sememangnya sebarang karya fiksyen terwujud hasil daripada pemikiran kreatif dan mainan imaginasi serta fantasi penulis. Komik, novel remaja, novel Islamik; semua itu fantasi dan rekaan semata-mata. Jauh daripada kenyataan walaupun selalunya ada penerapan pengalaman sebenar. Namun, jangan sesekali dinafikan, kesemua jenis bahan bacaan ini mampu memberikan kesan besar ke dalam diri pembaca. Impak emosi, motivasi, dan inspirasi. Juga penambahan pengetahuan dan ilmu. Pastinya juga penguasaan bahasa. Cetusan fantasi penulis mempunyai kuasa fizikal dalam dunia realiti. Ia mampu menggerakkan seseorang keluar dari bilik dan bersukan (pengalaman sebenar). Ia mampu mencetuskan niat sekaligus usaha bagi bersolat jemaah di masjid. Ia mampu menjadi wadah ilmu yang memandaikan bangsa. Ia mampu menjadi pemangkin semangat dalam mengejar ilmu dan cita-cita. Fantasi sebegitu mampu mengubah seorang manusia menjadi lebih baik di dalam dunia realiti. Perlu diingat, tidak semua orang pintar dan genius, mampu mendapat PhD serta Profesor. Mampu membaca buku-buku ilmiah seperti membaca buku ABC. Mampu membaca dan memahami buku-buku agama berbahasa Arab. Justeru, perlu ada medium yang menghubungkan antara orang umum dan ilmu-ilmu bermanfaat. Komik dan novel adalah antara medium itu. Tidak kisahlah sama ada ia fantasi ataupun realiti. Asalkan ia tidak melanggar syariat dan mampu memberi manfaat. Malahan saya berpendapat, buku-buku fiksyen yang bermanfaat perlu diperbanyakkan dalam pasaran bagi menyaingi kebanjiran buku fiksyen yang kurang bermanfaat. Sebagai alternatif yang baik. Walaupun dibuang semua novel dan komik ke dalam sungai, orang akan tetap berusaha mencarinya semula. Sebabnya fitrah manusia itu memang gemar berfantasi. Kegemaran ini, daripada dikekang dan disekat, adalah lebih baik dipacu ke arah yang lebih murni.
Posted on: Tue, 16 Jul 2013 07:06:42 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015