Artikel Pilihan: BUJANG TAKDE WANG! Oleh: Irfan Khairi Sekiranya - TopicsExpress



          

Artikel Pilihan: BUJANG TAKDE WANG! Oleh: Irfan Khairi Sekiranya anda bujang, dan sedang membaca tulisan saya kali ini, peluangnya adalah keadaan kewangan anda bukanlah pada tahap yang terbaik. Ini kerana, rata-rata bujang masih belum meletakkan soal kewangan sebagai prioriti dalam hidup. Saya tahu kerana dalam ceramah kekayaan saya serata Malaysia, bila di tanya pada peserta-peserta­ bujang, siapa yang sudah berpuas hati dengan keadaan kewangan mereka, tiada satu pun yang angkat tangan mengakui. Rata-ratanya masih fikirkan bahawa terdapat banyak lagi masa untuk mengumpul kekayaan, oleh sebab itu ketika bujang, ianya bukan kepentingan. Hari ini, dengan keadaan pasaran kerja yang kurang memuaskan dari segi pulangan, harga rumah yang semakin tinggi, kos gaya hidup yang kian meningkat, mungkin juga bayaran pelajaran PTPTN yang perlu dilangsaikan, memberi duit bulanan kepada ibu bapa, serta yang terbelanja menggunakan kad kredit yang tiap bulan perlu dibayar, sedar-sedar hujung bulan yang tinggal ciput sahaja. Itu pun kalau ada untuk tabung berkahwin kelak. Masa memainkan peranan yang penting dalam menggandakan kewangan kita melalui pelaburan. Saya telah kongsikan beberapa minggu lalu mengenai pulangan kompaun (compound interest)dan Pemurataan Kos Ringgit (Ringgit Cost Averaging) yang menggunakan "masa" sebagai elemen amat penting dalam menambahkan pulangan melalui pelaburan. Tetapi, bukan itu sahaja, masa juga adalah amat penting terutamanya ketika bujang inilah anda mempunyai banyak masa untuk mendalami ilmu kewangan. Waktu ini juga, anda mempunyai banyak masa untuk belajar dari sebarang kesilapan kewangan. Juga, waktu muda dan bujang adalah waktu anda penuh dengan semangat, cita-cita dan tenaga untuk melakukan sesuatu yang baru dan luar biasa mencari pengalaman kerja ataupun pengalaman memulakan perniagaan. Jangan tunggu apabila sudah berkahwin baru mahu memikul tanggungjawab, oleh kerana tabiat lama pasti akan diulangi. Tanam tabiat berjimat cermat dan mengambil endah soal kewangan ketika bujang. Letakkan matlamat untuk beli kereta, rumah dan mendirikan rumah tangga (mengikut turutan itu!) dan meringankan segala bebanan hutang sebelum memasuki alam berkeluarga. Ini kerana, apabila berkeluarga, masalah kewangan lain pula akan timbul. Dua perkara yang amat penting dilakukan sekarang adalah, pertama, tambahkan pengetahuan, skil dan juga pengalaman dalam bidang kerja anda. Kedua, sekiranya anda beminat untuk memulakan perniagaan, pelajari selok belok berniaga dan mulakan perinagaan kecil-kecilan dari sekarang. Dalam industri kerja dan juga berniaga, skil dan pengalaman akan menambahkan pendapatan kita. Ketika bujang ini, gunakan masa tersebut untuk siap sediakan diri menjana pendapatan yang lebih apabila berkeluarga kelak!
Posted on: Fri, 28 Jun 2013 10:57:22 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015