Bab 1 - 5.... Selamat mendalami jiwa Esya dan Wahdi... 1 Gambar - TopicsExpress



          

Bab 1 - 5.... Selamat mendalami jiwa Esya dan Wahdi... 1 Gambar bersaiz 8R yang telah difremkan dan dilekatkan di papan kenyataan sekolah direnungnya lama. Sesekali dia tersenyum bangga sambil tangannya kemas mencekak pinggang. Sekejap dia melangkah sedikit ke belakang dan sekejap melangkah pula ke hadapan. Namun pandangannya masih lagi tertancap pada gambar itu. Tak sangka sebab kau aku jadi popular. Tak sia-sia aku usung kemera satu pekan sebab nak dapatkan kau. Terbaik! Esya senyum lagi, sesekali kepalanya menggeleng-geleng kehairanan tentang hasil kerjanya sendiri. Sungguh cantik dan unik. Memang layak Esya mendapat gelaran juara dalam pertandingan fotografi itu. Lantas gambar seorang remaja lelaki yang sedang termenung di sebuah kerusi usang itu ditatapnya lagi. Tak sangka gambar curi itu menempatkannya di tempat nombor satu. Terima kasih mamat handsome, kalau bukan sebab kau yang termenung kat kerusi tu, aku tak akan jadi pemenang. Esya senyum lagi. Senyum lebar yang mengambarkan perasaan puasnya setelah memenangi pertandingan itu. Dan Senyuman di bibir si handsome itu telah mati sejak beberapa minggu lepas. Sejak dia diseret ke mahkamah sekolah tinggi hinggalah ke hari ini, dia masih diam dan mencuka saja. Mana tidaknya, kerana tertangkap semasa bergaduh di belakang sekolah, Wahdi telah dijatuhkan hukuman berat. Hukuman yang tidak setimpal dengan kesalahannya. Hukuman yang membuatkan hidupnya bertambah susah. Dia telah dibuang dari sekolah dan hari ini merupakan hari pertamanya di sekolah baru. Mujurlah sekolah tinggi di pinggir bandar itu sudi menerimanya. Mujurlah sekolah Tinggi Sri Aman masih lagi memberikannya peluang untuk menghabiskan pengajiannya di tingkatan enam tinggi. “Kau memang sial, kalau kau tak malukan muka aku ni memang tak sah kan?” Sergah ayah yang menyinga setelah mendengar berita tentang Wahdi dibuang sekolah. “Kalau kau buat perangai baik-baik, tak adalah kau kena buang. Aku tengok budak-budak lain okey aje.?” Ayah sibuk membetulkan motosikal buruknya di pouch di hadapan rumah. Wahdi yang baru hendak ke sekolah itu hanya bersandar di dinding sambil menelan caci maki ayahnya yang berbaur kemarahan yang gila. Alah macamlah dia tu baik sangat time-time sekolah dulu. Poyo je lebih. Mentang-mentang dapat kerja kerajaan. Dah kira berjaya sangat lah tu. Kutuk Wahdi dalam hati. “Apa kau pandang? Kau tenung aku macam aku pula anak kau ye? Kau ni memang tak serik lah Wahdi. Kau nak aku belasah kau macam selalu, baru kau nak jadi baik? itu pun tak serik-serik juga. Kerja menghabiskan harta benda aku, duit ringgit aku, belajar malas. Baik kau berhenti belajar, kerja. Tak payah aku nak fikir fasal kau lagi. Tu abang kau dengan adik kau tu, elok aje sekolah. Kau je yang selalu buat hal.” Ayah membebel panjang, sepana di humbankan ke lantai. Bunyi besi padat itu bertemu lantai membuatkan Wahdi terperanjat. Lantak kau lah nak bebel apa pun, yang penting aku dapat belajar balik macam biasa. Kau apa tahu?. Bising je lebih. Wahdi berganjak menujuk ke arah motosikalnya yang berada di belakang ayah. ayah berpaling “Kau pergi sekolah jalan kaki, moto tu jangan harap aku nak bagi kau naik. Biar padan dengan muka kau.” Ayah bangun, lalu duduk semula di bahagian kiri motosikal yang sedang di baikinya. Wahdi hanya membisu dan tetap berdegil. “Aku cakap kau tak payah guna moto, moto tu aku nak bagi adik kau, bagi kau pakai pun bukannya dapat apa-apa pun.” Ayah bersahaja. Saat itu dada Wahdi seakan mahu pecah. Kata-kata ayah yang kurang enak itu membuatkan darah Wahdi tiba-tiba panas. Orang tua ni, membebel pagi-pagi buta lagi. Entah apa-apa dia cakap. Menyakitkan hati je. Selalu nak cari gaduh dengan aku. Tekanan betullah. “Kalau kasi Hazrul pakai, ayah boleh dapat satu juta ke?” Wahdi bernada perlahan sambil melangkah naik ke atas motosikal. Serentak dengan itu, ayah bangun. “Apa kau cakap?ulang balik.” Wahdi diam. Pandangan ayah menjunam ke wajah Wahdi yang bersahaja. Tulang rahang ayah tenggelam timbul menahan marah. “Ayah…Wahdi dah besar lah, jangan buat Wahdi macam budak tadika boleh tak. Malu kat orang ayah, pagi-pagi lagi ayah dah bising-bising macam orang gila.” Wahdi memulas kunci, dan cuba menghidupkan motosikal itu beberapa kali tanpa memperdulikan ayah yang mula hilang kawalan. Ayah melilau mencari sesuatu, lantas sepana besar yang tersadai di lantai di capainya. Nafasnya kian laju. Huh dah mula la tu, aduh menyampahnya aku. “Kau turun sekarang sebelum aku pecahkan muka kau.” Ayah kelihatan serius. Wahdi senyum sinis. Dah mula dah orang tua ni. Sikit-sikit emo, sikit-sikit emo. Mentang-mentang dia ayah. Dia fikir dia senang-senang boleh pukul aku sesuka hati.. Tak ada kerja lain. “Ayah pegang sepana tu ingat Adi takut lah? Sikit-sikit mengamuk, kalau macam ni perangai ayah, siapa nak hormat ayah?.” Wahdi meninggikan suara. Seketika Emaknya keluar. Tergopoh-gapah Emak menjenguk keluar. “Ey.. pagi-pagi lagi dah bergaduh, tak malu ke? abang tu tak payahlah nak marah Si Adi tu, bukan tak tau dia macam mana?” Emak memberi syarat kepada Wahdi supaya cepat-cepat beredar. Wahdi masih cuba menghidupkan motosikalnya. “Aku cakap jangan sentuh moto tu.” Ayah mula hilang sabar. Sepana di tangannya dihayunkan ke arah muka Wahdi. Wahdi mengelak. Namun sedikit malang, hujung sepana itu sempat singgah di hujung keningnya. Aduh. Wahdi menekup sebelah mukanya yang terasa pedih. Dia turun dari moto dengan cepat, mencekak kolar baju t ayahnya dengan kemas. Penumbuk di kepal kejap dan dihala tepat ke arah muka ayah. Ayah semakin ganas. Dia melibas sepana itu berulang kali, akhirnya Wahdi berundur dan manjauhkan diri. Sebelum sempat dia keluar dari pintu pagar, moto yang tertongkat elok di sisi ayah ditendang hingga terbalik. Hingga berdentum bunyinya. “Kau ni pun Wahdi, melampau, pergi cepat. Dah lah tu abang...Wahdi tu pun anak abang juga…” Emak memegang tubuh ayah yang terhuyung hayang kerana terlalu marah. Wahdi melangkah laju meninggalkan rumahnya. “Sumpah aku taknak balik rumah ni lagi..rumah neraka..” Wahdi bertempik dari jauh. puas hati aku. Tak guna punya bapak. Aduh.. Wahdi menekup hujung keningnya yang sedikit luka. Lalu di keluarkan sapu tangan dari kocek seluarnya dan mengelap darah yang mula mengalir. Walaupun kejadian pagi itu telah meragut semangatnya yang menyala-nyala, dia gigih memujuk hati yang parah itu untuk terus melangkah ke sekolah walaupun dengan hanya berjalan kaki. Tambahan pula inilah peluangnya yang terakhir selepas permohonannya untuk masuk ke sekolah lain telah di tolak. Harapannya cuma di sini. “Kalau Wahdi memang betul-betul nak belajar lagi, cikgu akan tolong.” Kata-kata Cikgu Zai minggu lepas tiba-tiba menjangah ingatannya. Guru penolong kanan yang juga merupakan jirannya itu amat bersimpati terhadap nasib Wahdi yang dibuang sekolah. Cikgu Zai lebih faham akan masalah yang menimpa diri Wahdi. Dia tahu Wahdi tertekan dan harus dibantu. “Saya tak cari fasal dengan dia orang cikgu, Hazrul adik saya tu yang buat masalah. Dia orang tu semua tak puas hati dengan Hazrul. Lepas tu mula cari pasal dengan saya. Minta duit kat saya sebab Hazrul dah rosakkan motosikal dia orang. Bila saya tak bagi duit, dia orang pukul saya. Tak kan saya nak jadi kayu. Biar orang pijak-pijakkan badan saya. Bila saya melawan, macam ni pula jadinya. Hazrul pula tak mengaku salah dia. Saya…” kata-kata Wahdi termati di situ. Dia tidak tahu lagi bangaimana mahu menjelaskan segalanya. Namun dia percaya. Cikgu Zai waras orangnya dan dia mampu melihat sesuatu yang haq di sebalik semua kebatilan. “Saya akan tolong kamu, janji dengan saya, kamu akan jadi pelajar yang baik, akan belajar sungguh-sungguh dan buktikan dekat ayah kamu, yang kamu ni seorang manusia. Seorang yang ada cita-cita.” Wahdi menjana semangat dari pesanan Cikgu Zai yang ikhlas itu. Dia memupuk kembali semangatnya untuk belajar dan menghadapi segalanya untuk terus berjaya. “Minggu depan, kamu jumpa cikgu kat sana, nanti cikgu uruskan semua. Janji dengan cikgu yang kamu akan datang.” Saat itu Wahdi mengangguk penuh yakin. “Ye saya janji.” Wahdi memegang janji itu dan dia datang ke sini hari ini untuk membuk tikan bahawa dia adalah Wahdi yang tak pernah memungkiri janji, dia wahdi yang di lahirkan dengan penuh cita-cita. Dia Wahdi yang bakal mengubah nasib keluarganya. Setengah jam berjalan kaki, Wahdi sampai di perkarangan sekolah. Langkahnya tiba-tiba mati di hadapan pintu gerbang. ‘Sekolah Tinggi Sri Aman’, tulisan besar yang tertera di bacanya dengan nada perlahan. Mulutnya tiba-tiba melopong. Dia sedikit teruja dengan keadaan sekolah ini. Sungguh indah. Pokok-pokok hiasan seakan-akan pokok Krismas di tanam sepanjang laluan masuk yang di tar kemas. Di kiri dan kanan laluan itu agak redup dan teduh. Jika di lihat betul-betul dari tengah-tengah pintu gerbang, laluan itu kelihatan seakan-akan lukisan perspektif dalam buku pendidikan seni, yang menekankan unsur jarak dan ruang. Sungguh cantik. Tak sabar rasanya mahu menyusuri laluan yang panjang itu. Lantas Wahdi mula melangkah. Melangkah dengan penuh semangat. Nun di hujung laluan itu, terdapat satu lagi pintu utama yang menempatkan pondok pengawal dan tempat letak kereta. Melepasi pagar itu, barulah kelihatan bangunan sekolah yang tersusun rapi. Bapak cun sekolah ni, kalau aku tau macam ni, dari dulu lagi aku daftar masuk sini. Wahdi senyum meleret sambil berjalan ke sekitar kawasan sekolah. Dia menijau-ninjau kawasan yang cantik dan unik itu. Kelihatan pelajar-pelajar lain sudah masuk ke kelas. Ada sesetengah kelas sudah bermula sesi pembelajarannya. Ada kelas yang masih belum didatangi cikgu. Wahdi menyeluk kedua belah kocek seluarnya, lalu dia berjalan lagi. Menyusuri kantin dan kawasan air terjun mini yang menyejukkan mata. Dia terpana, lantas kakinya melangkah pula melalui koridor yang merupakan laluan utama ke bilik guru dan makmal. Dia bersiul-siul kecil sambil melangkah ke hadapan. Seketika langkahnya mati. Dia mengundur beberapa tapak ke belakang dan matanya tertancap pada papan kenyataan. Dahinya berkerut. Aik? Macam kenal je? Bukan gambar aku ke tu? Kenapa ada kat papan kenyataan ni.? Tak kan aku wanted kut? Tapi pose baik punya. Wahdi kehairanan. Dia menggaru-garu kepala. Siapa yang curi-curi ambil gambar aku ni? Wahdi menjenguk dekat dengan gambar itu. “Tempat pertama pertandingan fotografi” dahi Wahdi semakin berkerut. Apa jadahnya gambar aku ada dekat sini? Wahdi semakin keliru. “Assalamua’laikum.” Wahdi berpaling. Lalu tersenyum. Senyum yang dibuat-buat. “Ingatkan dah tak nak datang?” Cikgu Zai tersenyum sinis. “Mestilah datang cikgu, orang dah bagi peluang saya masuk sini, tak kan saya nak buat macam tu.” Sambung Wahdi. “Mari saya tunjukkan kelas kamu, kelas kamu kat belakang sana. Jom” Cikgu Zai mula melangkah. Wahdi kelihatan kurang senang. “Cikgu, sekejap, saya nak tanya, kenapa gambar saya ada kat sini.” Wahdi menuding jari telunjuknya ke arah gambar itu. Cikgu Zai terperanjat kemudian tergelak besar. “Pandai kamu buat lawak ye? Jom lah, dah lambat ni.” Cikgu Zai bersahaja. Tanpa melihat ke arah gambar yang terpapar di papan kenyataan, dia cepat-cepat melangkah. Mahu tak mahu, Wahdi terpaksa mengikut Cikgu Zai. Dia tak perasan ke gambar tu gambar aku? Tapi yelah, bukannya nampak jelas sangat muka aku, gambar aku dari tepi. Tapi aku yakin, itu gambar aku. Siapa punya angkara ni? Ambik gambar aku curi-curi. Ish, “Cikgu sekejap cikgu..” Wahdi berpatah balik. Dia berlari ke hadapan papan kenyataan dan melihat nama pemenang yang ditulis di bawah gambar itu. Nur Esya binti Elias, Tingkatan 6A2. Okey, aku akan cari kau sampai dapat. Bisik Wahdi dalam hati sambil berlari semula ke sisi Cikgu Zai 2 “Bapak handsome…aku tak pernah jumpa jantan handsome macam tu. Sumpah wei.., kalau kau tengok, kau pun cair.” Sue duduk di sisi Esya. Esya hanya mendiamkan diri. Seperti tak berminat mahu mendengar cerita Sue. Dia ni semua handsome, bangla jual karpet pun handsome. Tak boleh blah. “Kau dengar tak ni? Rugi kau, sebab dia tak masuk kelas kau, untungnya sebab dia masuk kelas aku. Hahahahah..walaupun aku tahu aku tak ada peluang nak bercouple dengan orang handsome macam tu, sekurang-kurangnya harapan masih ada.” Sue tak habis-habis berkata-kata tentang mamat handsome itu. Sudah bosan Esya mendengarnya. Tambahan pula latihan bola jaring pada petang itu agak memenatkan. Ini kerana perlawanan peringkat negeri sudah dekat, jadi mereka akan didera cukup-cukup oleh Cikgu Sopiah supaya pasukan mereka tetap menjadi juara seperti tahun-tahun lepas. Walaupun latihan sudah tamat, tapi mereka masih melepak di pinggir padang kerana terlalu letih. “Kalau kau tak percaya, esok kau datang awal sikit, kita tunggu dia kat depan pagar, time tu, biji mata kau akan terkeluar. Terjuntai kat pipi kau. Sebab kau amat teruja dengan kekacakkan beliau.” Sue bangun dan berjalan mundar-mandir di hadapan Esya. “Siapa yang handsome sangat tu?” Esya membetulkan rambutnya yang diikat tinggi. Mengelap peluh yang membanjiri dahi dan kembali bersahaja. “Alah.. budak baru tulah, yang masuk kelas aku tu. Sayang sikit, tempat duduk dia kat belakang, aku pula dekat depan, susah la nak tengok dia, tapi kerap juga aku pusing belakang” Sue tersengih. Kata-katanya kali ini mampu membuatkan Esya tergelak kecil. Adui ada saja mamat baru yang dia sangkut. “Kau, kalau fasal jantan, kena tabik la..kau memang expert.” Esya menyindir lalu bangun dan beredar dari kerusi simen itu. Kelihatan rakan-rakan yang lain meninggalkan padang, cuma ada beberapa orang sahaja yang masih duduk-duduk di bawah teduh pokok sambil bersembang. “Elah kau ni poyo la Sya...aku berguru dengan kau juga, nak tabik aku pula.” Sue beriringan dengan Esya menuju ke tempat parkir. “Yelah, maksud aku tadi, kau jangan potong queue. Cikgu kau ni..kena hormat sikit.” Esya meletakkan tangan di bahu Sue. Dia melayan saja kerenah Sue. “Mengaku pun kau…” Balas Sue kemudian gelak terkekeh-kekeh. “Tapi aku tak gelojoh, Aku ada strategi…” Esya menggosok-gosok hidungnya yang gatal. Sue pula senyum penuh makna. “Maknanya plan esok ni menjadilah?” Sue mengangkat-ngangkat kening, menanti jawapan dari Esya. Mata Esya melilau seketika. “Erm..kalau tak jadi rugi mampuslah” lalu pecah tawa mereka berdua. “Esok kau ambil aku dekat rumah tau, awal sikit, esok malas nak naik basikal. Heheheh” Sue melangkah ke arah basikalnya. Esya memberi isyarat kepada Sue dengan tangan tanda okey. Lalu dia mengeluarkan kunci kereta, membuka pintu dan menghidupkan enjin. “Esok kalau kau lambat, aku seoranglah yang tunggu kat depan pagar tu,” Esya berseloroh saat Sue menghampiri keretanya. “Aku bab-bab macam ni on time. Kalau masuk kelas je aku lambat.Hahhaha” Sue gelak besar sambil meluncur melalui pintu pagar. Kemudian kereta Esya merangkak membontoti Sue yang sudah jauh. Keluar saja dari pintu gerbang, Sue membelok ke kiri dan Esya pula membelok ke kanan untuk pulang ke rumah masing-masing. Siapa dia? Aku nak tahu juga siapa dia. Walaupun tak penting, aku nak juga kenal dengan budak tu. Bagi aku, amat bertuah kalau aku kenal dia. Orang berseni macam dia terlalu unik bagi aku. Tapi macam mana? Wahdi bangun dari pembaringan. Dia mencapai kertas dan gel pen warna hitam kegemarannya. Dia menyelak helaian buku nota yang di penuhi sajak, lalu dia mencari helaian kosong untuk sebuah nukilan sajak yang baru. Wahdi mula menulis sambil tersenyum manis. Dalam riuh rendah suara manusia… Di manakah suara merdu si dia? Dalam kalam kabut kelibat manusia… Di manakah kelibatnya? Dalam gumpulan kabus pagi yang bercerita… Di manakah tertulisnya cerita cinta ? Dalam hujan yang telah berhenti tangisnya… Di manakah insan yang ku cita? Di hening malam yang tiada apa-apa… Aku melukis mimpi … Aku melakar tentang dia Yang kabur dan terang… Aku menulis di sutera rasa yang penuh harap.. Agar mata ini menjunam ke matanya jua.. Di suatu ketika… Nur Esya… Wahdi melemparkan pen ke atas tilam. Helaian nota itu ditatapnya dan dikoyakkannya rakus. Kalau aku jumpa kau esok, aku nak bagi kau sajak ni. Wahdi senyum lagi sambil meletakkan helaian sajak itu di atas lantai, lalu dia mencapai botol minyak angin yang berada di atas rak kecil di tepi tilam nipisnya. Kemudian dia membuka penutup botol, dituang sedikit minyak itu ke jari telunjuknya, kemudian disapu ke hujung keningnya yang masih sakit. Mukanya berkerut menahan bisa luka yang masih baru itu. Nur Esya, sedap nama tu, tapi dalam kelas tadi tak ada pun yang nama macam tu. Mungkin kelas lain kot. Tingkatan enam kan ada tiga kelas. “Aduh.. jenuh aku nak mencari perempuan tu” Wahdi berbisik antara dengar dan tidak sambil kembali menutup botol minyak angin tadi dan menyimpannya ke tempat asal. Wahdi baring semula. Lengannya diletakkan ke dahi. Matanya terkebil-kebil tak mahu lena. Entah mengapa. Tak kan sebab tak sabar nak jumpa minah yang curi-curi ambil gambar aku tu? Pelik budak tu, ada ke patut dia pergi curi gambar aku yang tengah termenung dekat kerusi buruk tu. Mungkin itu seni bagi orang macam tu. Bagi aku yang tak ada seni ni, rasa macam tak berharga je gambar tu. Rasa macam nak koyak-koyak lepas tu buang dalam longkang. Wahdi bersuara di dalam hati. Seketika dia tersenyum senget. “Woi setan, keluar sini, kau dah buat salah, pandai pula kau menyorok dekat dalam tu.” Tiba-tiba suara seakan-akan guruh itu menyerbu masuk ke lubang telinga Wahdi. Wahdi bingkas, dahinya berkerut. Orang tua ni tak habis-habis. Ada aje kesnya. Wahdi menguak pintu bilik. Dia menjenguk keluar. Dia kehairanan melihat keadaan ayahnya yang sedang tercungap-cungap menahan marah. Emaknya pula berdiri di belakang dan sedang memberi isyarat supaya dia beredar dari situ. Hazrul hanya buat bodoh menonton tv tanpa memperdulikan sesiapa. “Hah keluar pun kau” Pak Hamid merenung tajam ke arah Wahdi yang masih terpinga-pinga. Seketika Wahdi menjeling ke tangan ayahnya yang menggenggam getah paip bewarna hitam yang panjangnya lebih kurang 1 meter . Ayah ni tak habis-habis. “Kenapa pula ni?” Wahdi hanya bersahaja. Lalu Pak Hamid terus menerkam ke arah Wahdi. Wahdi tidak berganjak, malah makin berani menapak ke hadapan untuk berdepan dengan ayahnya yang hampir hilang kawalan. “Kau ni anak jenis apa hah? Kau langsung tak fikir susah mak bapak kau, kau tau nak berseronok je, menyusahkan aku. Kau tak pernah bagi aku senang. Kau selalu buat aku naik angin. Dari kecik sampai sekarang kau yang selalu buat hal” Pak Hamid menuding-nuding muka Wahdi dengan getah paip itu. Wahdi terlopong. La.. ni kenapa pulak ni, tiba-tiba datang tunjuk-tunjuk muka aku dengan getah paip ni. Ingat aku anak lembu ke? Aduh hidup aku tak pernah aman, ada saja ayah ni, datang je mesti maki aku itu ini. Dia ingat aku ni umur 5 tahun agaknya. “Ayah tu dah tua ayah, tak payah la nak marah-marah sangat, nanti tekanan darah tu naik… payah pula.” Sindir Wahdi bersahaja. Saat itu dada Pak Hamid semakin laju turun naiknya. Mukanya merah, telinganya merah. Matanya membulat macam bola api. “Anak haram kau ni, sial.. ni bapak kau, bukan adik kau. Mati kau malam ni, aku nak bunuh kau, kau marahkan aku, kau naik moto tu sampai habis minyak, lepas tu kau biarkan je, kau nak kenakan aku ye?” Pak Hamid mencekak kolar baju t Wahdi. Wahdi terlopong. “Bukan aku yang naik, aku dah sumpah dah tak nak sentuh moto tu, tak kan aku ni bodoh sangat..nak terhegeh-hegeh pakai moto tu..Hazrul yang bawak tadi..” Wahdi melepaskan genggaman ayahnya pada leher baju lalu melangkah laju ke arah Hazrul yang sedang leka menonton tv. Wahdi matikan suiz pada dinding. Tv terpadam. “Kau ni tak habis-habis nak fitnah aku ? Kau satu petang meronda, minyak habis aku yang kena. Kau memang sial, kau suka tengok aku kena belasah kan?” kali ini leher baju Hazrul pula dicekak Wahdi. Hazrul terkial-kial. Tak berani mahu menatap mata Wahdi. Dia mengalih pandang. “Kenapa tak nak mengaku salah kau hah? Kau ni..” Pappp!! Libasan getah paip keras itu hinggap ke belakang Wahdi. Wahdi hampir jatuh ke lantai, dia mengeliat kesakitan. Lantas Pak Hamid terus menerkam ke arah Wahdi. Menghayun getah paip itu ke arah muka Wahdi. Wahdi mengelak. Getah paip itu digenggam Wahdi dan dia cuba merampasnya dari tangan Pak Hamid. Tak semena-mena, satu tendangan hinggap di belakang Wahdi. Wahdi tersungkur. Lalu Hazrul menendangnya sepuas hati, Wahdi cuba bangun, namun gagal apabila libasan getah paip itu hinggap ke badan Wahdi beberapa kali. Dia hanya mampu mengelak, namun tak berdaya. Dalam kelalutan itu, Emak cuba menyelamatkan anak teruna kesayangannya, namun tubuh emak dipegang Hazrul. “Abang mengucap bang, jangan pukul Wahdi abang..abang mati anak kita nanti abang…abang…Rul lepaskan mak Rul tolong abang kau tu..Ya Allahhh” Emak hanya mampu meraung tatkala badan Wahdi diratah getah paip keras itu. Pak Hamid bagai dirasuk syaitan. Dia terus memukul dan memukul. “Ajar dia ayah, dah buat salah tak nak mengaku, dahlah samseng kat sekolah, kat rumah pun nak jadi samseng juga.” Hasut Hazrul yang kian berani apabila dirinya di bela. Tubuh emak di humban ke lantai. Dia juga tak puas-puas memijak dan menendang tubuh abangnya yang kian lemah. “Mati kau setan, mati kau, kau memang sial, kau tak guna.” Pak Hamid terus melibas tubuh Wahdi yang terkial-kial menahan sakit. “Ayah sakit yah..sumpah yah bukan Adi..Aduh yah sakit yah” Wahdi hanya mampu mengelumpur dan menekup kepalanya. Seketika Hazrul melepaskan Emak, dia beredar setelah puas melihat badan abangnya teruk dibelasah akibat salahnya sendiri. Pantas Emak menarik Wahdi yang hampir tak sedarkan diri. Pak Hamid berhenti memukul. Getah paip dihumpan di sisi Wahdi yang terbaring kesakitan. Emak hanya menangis pilu melihat Wahdi yang terkulai lemah. “Mak…?” Dalam keadaan lemah itu, Wahdi bersuara perlahan sambil cuba untuk bangun. Emak merangkul tubuh Wahdi kemas. “Kenapa dia benci sangat dekat kamu?” Emak hanya mampu menangis dan memeluk tubuh Wahdi. Dalam keadaan lemah itu, Wahdi menguatkan dirinya, dia cuba bangun dan menenangkan emaknya yang diselubungi kepiluan apabila melihatnya sekali lagi menjadi mangsa pukul ayahnya yang gila itu. “Anak abang jugak ni, bukannya anak orang lain, kenapa abang nak bunuh dia?kenapa abang benci dia?” Emak melepaskan geram, Dia terpekek terlolong seorang diri sedangkan suaminya sudah keluar dari rumah. Keluar meninggalkan keadaan yang tegang itu. 3 Kawasan rumah Sue dihampirinya. Tak sabar-sabar rasanya mahu pergi ke sekolah. Kalau boleh, dia nak terbang macam superman, supaya cepat sampai. Tak sabar lagi matanya mahu menatap wajah Si Handsome itu. Sue ni cakap je lebih, sama jugak, asyik lewat je, cakap nak pergi awal nak tunggu mamat tu depan sekolah. Mana dia ni? Pergi sekolah pun nak make up ke? tak boleh blah. Esya menarik handbrake kereta, kemudian terjenguk-jenguk dari tingkap mencari kelibat Sue. Kemudian hon ditekan dua kali. Dalam masa dua minit, Sue berlari keluar dari rumahnya dan tergopoh gapah masuk ke dalam kereta. Pintu kereta ditarik kasar hingga berdentum bunyinya. “Woi..kau ingat tu pintu rumah kau ke?” Esya memasukkan gear, menurunkan handbrake kemudian minyak ditekannya. Kereta menyusur laju. Sue tersengih-sengih. Esya menggeleng. “Sorry, aku rasa macam kita dah lambat je, aku harap mamat tu lambat sikit dari kita, wei.. jangan laju sangat, karang tak sempat tau nama mamat tu.” Sue menggomel sendirian. Esya hanya bersahaja sambil memandu laju. Jam di tangan kanannya sudah menujukkan angka tujuh suku pagi. Harap-harap sempat jumpa mamat handsome tu. Aminn.. Sepuluh minit kemudian, mereka tiba di hadapan pintu pagar sekolah. Kereta kecil warna kuning campur hitam itu merangkak masuk ke pintu gerbang, kemudian menyusur laju ke pintu utama dan membelok ke tempat letak kereta. Kemudian dua orang gadis getik itu turun dari kereta. Membetul-betulkan pakaian dan rambut ala kadar dan mengeluarkan cermin dari kocek baju, menyuluh muka dan membetulkan apa yang patut. “Wei.. kau nak lebih-lebih ni kenapa?” Esya mengerling ke arah Sue yang sedang memakai bedak. “Alah kau tak make up tak apalah, kulit dah putih, tegang, lawa nak mampus, bibir dah macam strawberi, aku ni dahla gelap, muka lubang-lubang, kang mamat tu tak nampak pula aku.” Kata Sue membuatkan Esya gelak kecil. Mangkuk ni kalau bercakap suka nak buat orang gelak. Bodoh betul. “Siot.. je dia ni, entah apa-apa, kita nak tengok je wei.., bukannya nak bersembang dengan dia sampai 1 jam.” Esya bersandar di kereta sambil memeluk tubuh sendiri. “Eh, siapa cakap tak nak sembang? Aku nak, kau tak nak sudah lah, duduk situ diam-diam.” Sue menyimpan bedak ke dalam beg sandangnya. Kemudian tunduk mengikat tali kasutnya yang terungkai. “Dah la wei.., kau ni, jangan la gelojoh sangat. Nanti mamat tu cakap kita ni sangap jantan pulak , alah, kau tu, bukannya tak ada boyfriend, saja kan nak tambah koleksi, aku tak apalah, memang betul-betul tak ada boyfriend.” Esya masih mendakap tubuhnya di situ. Sue mencebek sambil kembali berdiri tegak kemudian menyertai Esya yang bersandar di kereta. Mereka berdua mendakap tubuh di situ sambil mata tak lekang-lekang memandang ke arah pintu pagar. “Aku tak pernah mimpi pun nak ada boyfriend handsome macam tu, cukuplah dengan Si Udien sekor tu, tu pun dah nak pecah kepala aku pikirkan dia, tapi kalau kau couple dengan mamat tu, akulah manusia paling happy kau tau?” Sue tersengih-sengih. Lantas tangan Esya mendarat di kepala Sue, kepala Sue terteleng ke kanan. “Manusia paling happy konon,” “Adey.. sakit la woi, alah dah serabai rambut aku…kang tiba-tiba dia datang macam mana?” “Alah, kata setia kat Udien.” Tempelak Esya. “Kau tu? Si Ja a tu macam mana pulak? kesihan kat abang aku tu…teringin nak berbinikan kau”? Esya tercegil. Eh.. budak ni ke situ pulak dia. Ada ke aku ni nak kan abang dia yang dah macam abang sendiri tu. Tak logik langsung. “Kau nak ke aku jadi akak ipar kau?” Esya bersahaja. “Aku on je, janji satu kepala dengan aku.” Sue sengih lagi. “Kepala hotak kau.” Sekali lagi kepala Sue ditunjalnya. Sue mengelak, tapi tak sempat. “Ish.. kusut rambut aku ni…” Sue membetul-betulkan rambutnya. “Wei.. dah lama kita tunggu ni, aku nak masuk kelas, ada kerja tak siap lagi. Kau tunggulah seorang-seorang.” Esya membuka pintu kereta, dia mencapai beg sandangnya dan sebuah fail kemudian menghempas pintu kereta dengan kuat. “Aku paling malas bab-bab menunggu ni, kau tunggu lah sampai beruban. Aku blah dulu.” Esya membaling kunci kereta kepada Sue. Sue menyambutnya. Kemudian dia cepat-cepat mendapatkan bukunya yang masih berada di dalam kereta kemudian menghempas pintu. Langkah Esya dibontotinya. “Tunggu lah, tak kuasa aku nak terpacak kat sini seorang-seorang.” Alarm pengunci di tekannya. Kemudian kunci kereta disumbat ke dalam kocek baju sekolah Esya. Esya hanya bebas mengatur langkah menuju ke kelasnya yang tak jauh dari dataran perhimpunan. Tak apalah kau, aku tak ada rezeki nak jumpa kau yang kononnya handsome sangat tu. Esok aku pasti tunggu kau. Aku nak kenal juga dengan kau. Tapi kenapa kau tak datang ek? Tau-tau je aku tunggu kau kat pagar. Hati Esya berbicara sendiri. Esya senyum mendatar. “Wei, kenapa kau senyum ?” Sue juga turut perasan dengan senyuman sumbing itu. Dia ni mesti duk berangan fasal mamat handsome tu. Hahahha, tak jumpa lagi dah gila bayang. “Muka aku kan manis, tak senyum pun, macam senyum jugak.” Aduh.. minah sekor ni, ada je nak usik aku. “Siot je kau.” Sue menolak kepala Esya kemudian dia berlari ke kelasnya yang tak jauh dari kelas Esya. Esya hanya membiarkan sahaja langkah Sue yang semakin jauh meninggalkannya. Dia hanya mampu tersenyum dengan gelagat rakan karibnya itu. Sue Amna binti Sulaiman, merupakan seorang gadis yang lurus bendul. Dia membuatkan Esya senang bersahabat dengannya. Dalam hati gadis hitam manis itu, tak pernah tumbuh hasad dengki, tak pernah bercambah rasa iri hati atau apa-apa perasaan lain yang kurang baik terhadap Esya. Oleh sebab itu, Esya masih bertahan hingga kini, Esya masih bergelar rakan karibnya tanpa sebarang masalah. Memandangkan Sue tak punyai adik-beradik perempuan, Esyalah satu-satu tempat dia menumpang kasih seorang kakak. Sue hanya mempunyai seorang abang. Amshar Azhar yang digelar Ja a oleh kebanyakkan pelajar di situ. Jadi tak hairanlah mengapa Sue dan Esya selalu saja berkepit ke sana ke mari 4 Hasrat Wahdi untuk mencari juru foto misteri itu tak kesampaian apabila dia tidak ke sekolah pada hari ini. Hasrat itu terpaksa ditangguhkan buat sementara waktu. Sementara demamnya sembuh. Sementara sakit-sakit di badannya hilang. Kalau bukan sebab orang tua tu belasah aku semalam, mesti aku dah dapat cari siapa Nur Esya. Wahdi bangun, perlahan-lahan saja geraknya kerana badannya masih berbisa dek kerana libasan paip getah semalam. Bahu kirinya sedikit lebam, begitu juga di hujung bibirnya di sebelah kanan. Wahdi menggulung tilam bujangnya yang nipis, disusun pula bantal , kemudian dia melipat selimut buruknya dan diletakkan di bahagian atas sekali. Dia membetul-betulkan kain pelekatnya. “Mak..mak..o mak” Wahdi melilau mencari emaknya yang entah ke mana. Rumah senyap sepi sejak dari tadi. Selalunya waktu-waktu begini, Emak sibuk sediakan sarapan dekat dapur. Tetapi kelibatnya langsung tak kelihatan. Pergi mana pulak semua orang ni. “Mak..o mak” Wahdi menjenguk ke dapur, kosong. Emaknya tiada di situ. Dia beredar menuju ke bilik. Perlahan-lahan langkah Wahdi mendekati pintu bilik. Dari luar dia dapat mendengar seseorang sedang menangis teresak-esak. Wahdi bersandar di dinding berdekatan pintu. Dia mengamati suara tangisan itu. Tidak lain tidak bukan, suara itu adalah suara emak. Wahdi mengeluh berat. Dia benar-benar telah mati akal bagaimana mahu membuatkan emaknya gembira dan tenang. Sejak dulu lagi tangisan emak tak pernah berhenti. Seingat Wahdi sejak dia berumur 5 tahun, emak sudah begitu. Mana tidaknya, sikap ayah yang bengis dan kaki pukul selalu merunsingkan emak. Mujurlah emak tak pernah menjadi mangsa ayah. Sejak belasan tahun dulu, Wahdi menjadi tempat Pak Hamid meluahkan marah dan ketidakpuasan hatinya. Entah mengapa Pak hamid bertindak sedemikian terhadapnya seorang. Sedangkan abang dan adiknya tak pernah dilayan seburuk itu. Kerap kali Wahdi menyoal dirinya sendiri, mengapa dia dilayan begitu, namun hingga kini dia tidak berjaya mendapat sebarang jawapan. Saban hari dia melalui sesuatu yang sama, saban hari dia terpaksa berhadapan dengan caci maki dan pukulan-pukulan yang menyakitkan. Kadang-kadang dia sendiri tidak tahu apakah punca kemarahan ayahnya, hinggakan tubuh badannya dibelasah sesuka hati, seolah dirinya bukan manusia. Seolah dirinya bukan darah daging ayahnya sendiri. “Mak..Adi ni anak angkat ke?” Wahdi masih teringat pertanyaannya beberapa bulan lalu. Saat itu, dia dan emak bersarapan pagi di dapur. Ayah pula tiada di rumah. “Kenapa diam mak? Jawablah, Adi tak kisah pun kalau Adi ni anak angkat.” Wahdi bersuara perlahan sambil menjamah kuih. Emaknya hanya terdiam dan tertunduk lama. Entah apa yang Emak fikirkan. “Adi..mak minta maaf sebab ayah kamu selalu..” “ Mak, dah banyak kali mak minta maaf, tiap-tiap kali Adi tanya fasal ni, mak yang minta maaf, bukan salah mak, bukan mak yang pukul Adi, bukan mak yang benci Adi.. kenapa mak nak minta maaf? Adi cuma nak tahu, Adi ni anak angkat ke anak kandung ayah? Sampai tak boleh nak tengok muka Adi. Apa salah Adi mak?” Saat itu air mata Emak meleleh ke pipi. Wahdi yang duduk di hadapan emaknya mulai diterjah rasa bersalah dan resah. Lantas kuih yang berada di tangannya dilepaskan ke dalam piring. Lalu dia bangun dan menghampiri emak, dipeluknya tubuh tua itu kemas. Tangisan emak semakin menjadi. Tangisan begitulah yang menjengah ke lubang telinganya saat ini. Sudah sekian lama Wahdi dihantui kesedihan ini. Kesedihanya dan emaknya yang tak pernah berpenghujung. Malah semakin hari, semakin menjadi-jadi. Semakin hari, baran ayahnya semakin bertambah. Wahdi terpaksa bertahan kerana fikirkan emak. Biarlah badannya hancur dibelasah ayahnya, untuk tinggalkan rumah itu tidak sekali-kali. Wahdi takut jika dia tiada di rumah, emak pula yang menjadi mangsa ayah melepaskan geram. Sekali lagi Wahdi mengeluh berat. Lalu dia menjenguk ke dalam bilik. Kelihatan emak duduk di sejadah. Dia masih memakai telekung. Tangisannya masih bersisa. Perlahan-lahan Wahdi duduk di sisi emak. Emaknya yang terperanjat cepat- cepat mengesat air mata. Wahdi berbaring di riba emak. Emak tersenyum kelat tatkala sepasang mata Wahdi menatap wajahnya yang kemerah-merahan. Lalu rambut anak terunanya itu diusap perlahan. “Mak akan terus berdoa..moga Allah buka pintu hati ayah kamu tu, moga Allah lembutkan hati dia.” Air mata emak deras lagi. Ada setitik dua yang jatuh ke muka Wahdi, lalu air mata itu disapu oleh emak dengan perlahan. Wahdi hanya membiarkan. Nun jauh di sudut hati lelakinya. Tersemat jutaan rasa pilu apabila melihat air mata emaknya membuak-buak keluar kerana menangisi nasibnya. Ya Allah..aku untung sebab masih ada mak, dia yang selalu buat solat hajat dan doakan aku. Kalaulah suatu hari mak dah tak ada, agaknya siapalah nak sayangkan aku? Hati kecil Wahdi berbisik. “Wahdi sabar tau, ni semua ujian. Jangan melawan ayah tu, nanti dia pukul kamu lagi. Tengok ni, panas, demam kan?” Emak berpesan diselangi sedu sedannya yang tak terkawal. “Yelah, lepas ni Adi tak lawan dah, dah lah mak, jangan nangis dah..Adi okey je, demam sikit je ni” Wahdi bangun dari pembaringan. Mengesat air mata emak yang deras di pipi. “Jangan banyak nangis, nanti cepat tua. Jom pergi pasar dengan Adi, nanti balik Adi masak kat mak ek?” Wahdi bingkas bangun. Mukanya berkerut menahan sakit di badannya. Emak turut bangun. Dia membuka telekung dan menyangkutnya. “Mak memang dah tua sayang .” Emak berjalan keluar, Wahdi membontotinya. “Kenapa mak tak kejutkan Adi?” “Tak kan kamu nak ke sekolah sakit-sakit macam ni?” “Boleh je mak, boleh jalan lagi ni. Alah Adi dah biasa lah.” “Rehatlah dulu, esok pergi.” “Tak pergi harini rugi mampus mak” Wahdi bernada antara dengar dan tidak. Lalu langkah Wahdi berhenti di hadapan cermin yang tergantung di dinding. Dia mengamati wajahnya pada cermin itu. Perlahan-lahan dia menyentuh lebam di bibirnya. Mak ai, muka aku, memang patut pun aku tak pergi sekolah. Kalau tak buat malu je. Lebam sana sini. Luka kena sepana belum baik, dan kena libas dengan paip getah. Pak Hamid bodoh tu ingat badan aku ni apa? ingat pokok petai ke. Main belasah sesuka hati. Sebab dialah aku tak boleh nak jumpa awek misteri tu. Herm.. bilalah agaknya nak jumpa dengan budak tu? Harap-harap esok aku dapat jumpa dia. Kalau aku dah jumpa dia, tahulah aku nak buat apa. Wahdi senyum sendirian di hadapan cermin itu. “Dah, pergi mandi, jangan nak mengelamun depan cermin tu. Tak handsome mana pun muka tu.” Emak bertempik dari dapur. Ish.. mak ni tau-tau je aku tengah berangan nak jumpa cikaro. Potong betul lah. 5 Loceng rehat menjerit lantang. Para pelajar berpusu-pusu keluar dari kelas. Ada yang menuju ke kantin, ada juga yang hanya melepak di kerusi-kerusi simen berhampiran kantin. Sue pula melilau di koridor mencari kelibat Esya yang entah di mana. Aduh, mana dia ni? Dia cakap nak tunggu kat sini, aku dah SMS dia tadi, tak kan dia tak bawa telefon kot? Nak telefon kredit dah habis. Ai.. macam-macam. Sue mengeluh berat sambil terus melangkah. Lalu langkahnya menuju ke kelas 6A2, namun hampa, tiada sesiapa di situ. Sue menggaru-garu kepala. Ish, kat mana dia ni? Nak cari dia ni satu sekolah mati aku. Junuh aku tawaf. Kang loceng bunyi pun belum tentu aku dapat jumpa dia. Sue melalui blok A, iaitu short cut untuk ke kantin. Beberapa ketika dia melangkah, dia ternampak kelibat Esya yang sedang terpacak di hadapan papan kenyataan. Sue senyum meleret, kemudian berlari-lari anak mendapatkan Esya. Perasaan akan kehadiran Sue, Esya tersengih dari jauh. Alamak, mesti minah ni cari aku, kalut je nampak. Esya menanti kelibat Sue dekat padanya. Dia tersengih lagi. “ Hah apa sengih-sengih?, penat aku tawaf satu sekolah cari kau. Perut pun lapar ni.” Sue kelihatan sedikit termengah-mengah. Esya hanya bersahaja. “Aku SMS kau, kau diam je kan?” Sue berdiri di sisi Esya. Esya pula cepat-cepat mengeluarkan telefon bimbitnya dari poket baju sekolahnya dan mengamati skrin telefonnya. “ La.. silent da.., patut tak dengar mesej kau masuk.” Esya sengih meleret. Sue buat muka menyampah. “ Aku dah agak dah, wei, aku ada berita penting ni. Tapi aku nak cepat, ada kerja sekolah tak siap lagi, aku nak balik ke kelas nak sambung kerja aku tu,” Sue tergesa-gesa. “ La, tadi beria-ria cari aku, apa hal yang penting sangat tu?” Esya kerutkan muka dan tak sabar mahu mendengar jawapan dari Sue. “Dia datang hari ni, dia dah datang, tulah kau, ajak tunggu kat pagar pagi tadi kau tak nak, so sekarang macam mana?” giliran Sue pula menanti jawapan Esya. Esya senyum saja apabila mendengar kata-kata Sue. Alah waktu balik kejap lagi kan boleh. Sue ni beria-ria nak aku tengok mamat tu. Handsome sangat ke?“ Balik kang kita tunggu lah kat situ, kereta aku parking dekat situ hari ni, kau ni pun..” Esya menjeling. Sue pula tersengih saja. “Dah lah, kau pergi balik kelas, siapkan kerja kau tu, aku nak ambil gambar ni, Cikgu dah suruh aku bawa balik gambar ni, poyo je letak sini lama-lama.” Sue mengangguk-angguk.“Bunyi je loceng kau blah terus tau, mamat tu suka keluar awal, kang melepas lagi kau.” Sue berpesan sambil langkahnya mula menjauhi Esya yang masih tercegat di situ. Esya hanya mengangguk-ngangguk kecil. Seketika tubuh kecil genit milik Sue telah hilang dari pandangan. Dari jauh, dia mengamati tubuh kurus tinggi itu. Kelihatan sudah lama Si Tinggi Lampai itu terpacak di hadapan papan kenyataan. Entah-entah budak ni tuan punya gambar tu. Bisik Wahdi yang sudah lama tercegat memerhatikan Esya. Wahdi tersenyum nakal, kemudian dia mula mengatur langkah menghampiri Esya yang sedang menanggalkan gambar yang dilekat di papan kenyataan. Apalah yang dibuatnya, bersungguh-sungguh benar aku tengok. “ Ehem” Wahdi berdiri di sisi Esya dan selamba saja berdehem. Esya yang sedang leka menanggalkan gambar itu, berpaling. “Dia nak duduk kat situ lagi tu, tak nak ikut balik.” Wahdi berseloroh. Esya senyum sumbing. Aduh.. siapa pula dia ni? Tak pernah tengok pun. Tiba-tiba je datang tegur aku. Esya masih lagi cuba untuk menanggalkan gambar itu, namun terlalu payah. Cikgu Zai ni, kalau ye pun nak paku frame ni kat sini, paku longgar-longar dah lah, macam nak lekat kat sini terus je. Aduh.. yang mamat ni pulak, jalan lah, buat apa tercegat kat sini? Ish... Buat aku nervures je. “Sini, biar aku buat.” Wahdi selamba saja mengambil alih kerja Esya. Esya yang sedikit terperanjat berundur ke belakang. Mak ai.. handsome gila mamat ni. Aduh, menggeletar lutut aku ni. Cool Esya cool. Buat muka kering je, jangan tunjuk sangat yang kau teruja dengan muka dia yang handsome tu. “Siapa Nur Esya binti Elias ni hah?” Perlahan-lahan Wahdi menanggalkan gambar itu, lalu ditatapnya foto itu lama-lama. Sejenak wajah putih licin gadis di hadapannya direnung dengan penuh persoalan. Kenapa pula dia tanya soalan macam tu? Dia tengah cari aku ke? Hati Esya berbisik. “Kau ke, Nur Esya.” Wahdi meneka. Perlahan-lahan Esya angguk. Takut-takut saja lagaknya.“ Kenapa.?” Lalu dia menyoal pendek. Tak sangka mamat handsome ni cari aku. yahoooo…. “Petang 11 hari bulan tu, kau ikut aku ek?” Dum.. seolah ada dentuman guruh yang tercetus di telinga Esya saat itu. Mulutnya menggua.“Ikut kau? aku tak faham lah.” Esya buat muka ketat sambil mendakap tubuh sendiri. Dia ni gila ke? Dah lah aku tak pernah tengok muka dia. Entah-entah orang gila, sesat masuk sekolah ni. Esya mulai takut. Lantas gambar itu dirampasnya kasar. “Kau buat-buat tak faham pula?, tu gambar aku, kau tengok betul-betul.” Wahdi bersahaja. “Hah?” Esya terperanjat, sekali lagi mulutnya menggua kemudian dia mengamati gambar itu. Alamak, memang ada iras-iras, tapi tak jelas sangat.“ Mana ada, tak sama pun. Kau jangan nak tipu aku.” Esya menutup malu. “Kau tengok betul-betul, tu gambar aku dari tepi, macam ni ha.” Wahdi memusingkan badannya, melakonkan pose itu semula. Esya melopong. Ha a lah, memang sebijik gambar ni dengan mamat ni, Aduh… “Kau ambik gambar ni kat taman mainan lama kat pekan kan? Dekat dengan Pekan Sri Aman. Time tu dalam pukul lima petang macam tu. betul tak?” Wahdi meneka lagi. Esya terdiam. Diam yang lama. Aku dah terperangkap. Mengaku aje lah. Memang aku ambil gambar dia curi-curi pun.“ Erm.. aku.. aku, aku saja-saja je, memang aku suka ambil gambar orang, tapi petang tu, aku tak sengaja ambil gambar kau..aku” kata-kata Esya tersekat apabila wajah handsome itu betul-betul di hadapannya. Janganlah tenung aku macam tu bodoh. Aku menggeletar ni. “Erm..gambar tak sengaja dapat nombor satu, kalau gambar yang sengaja macamana agaknya ye?” Wahdi menyakat, suka pula melihat wajah putih bersih itu bertukar kemerah-merahan. Cun gila minah ni. Aduh, tergugat iman. “Kau marah ke, aku ambil gambar kau curi-curi?” Wahdi geleng dan senyum senget.“ Tak, aku happy, sebab gambar aku kau jadi pemenang. Tahniah, aku bukannya nak apa-apa. Aku cuma..” “Kau nak duit?” Esya memotong. Wahdi melopong. “Aku boleh bagi kau duit, tapi janji jangan marah aku” Esya bersungguh. Wahdi sengih saja. Ni mesti anak orang kaya ni, sikit-sikit duit, dia ingat duit tu segala-galanya ke? Tak boleh blah minah ni, nak beli aku pula. “Aku tak mahu duit. Serius aku tak nak.” Wahdi serius. Esya telan liur. Mukanya tiba-tiba pucat. Aduh mamat ni nak apa ni? “Habis tu kau nak apa?” pandangan Esya mencerun ke arah wajah handsome yang penuh dengan kesan lebam itu. Ish.. entah-entah dia ni samseng, nak ugut aku. Ya Allah.., aku tersalah ambil gambar samseng ke? Tolong aku Ya Allah. “Aku nak jadi kawan kau, boleh?” Wahdi masih serius. Fuh.. aku ingatkan apa tadi. Dia ni buat aku fikir yang bukan-bukan je. Esya kembali menguntum senyum. Rona pucat di mukanya beransur hilang. “Oh.. tak ada masalah. Boleh je, aku memang suka berkawan..anyway terima kasih sebab..” “Sebab gambar tu?” Wahdi memotong. Esya angguk cepat. “Alah.. benda tak sengaja kan?” Wahdi senyum sambil menyeluk saku kemejanya dan menyerahkan sekeping kertas yang berlipat buat Esya. Esya menyambutnya sambil wajahnya berkerut kehairanan. Wahdi meninggalkan Esya yang terpinga-pinga. “Eh.. kejap, nama kau siapa? Tak pernah tengok pun kau sebelum ni.” Wahdi berpatah balik. “Aku Muhammad Wahdi, student baru kat ni” Esya tercegil. Oooo.. nilah budak baru yang Sue cakap tu, Memang betul cakap kau Sue. Dia memang handsome, Handsome gila, nasib baik aku tak gila. “Surat apa ni?” Esya melanjutkan pertanyaannya. Wahdi senyum senget. “ Bacalah, takkan itu pun nak kena bagitahu?” Wahdi melangkah perlahan. “Kejap…ada satu lagi soalan.” Esya bersahaja, memperlakukan Wahdi seperti sudah bertahun-tahun kenal. “ Kenapa muka kau lebam-lebam?”. Wahdi hanya tersenyum dan meraba lebam di hujung bibirnya. “Banyak soal kau ye?” Wahdi mencerunkan pandangan tajamnya ke arah wajah Esya yang cantik itu sebelum melangkah meninggalkan Esya yang kaku berdiri. Esya tergelak sendirian. Aduh, kenapalah aku nak tanya dia soalan bodoh tu. Aku selamba aje tanya dia, macam aku dah kenal dia sepuluh tahun. Fuh.. muka dia yang gantang bangat tu buat aku jadi tak tentu arah. Sue kalau lah kau ada kat tempat aku, mesti kau dah histeria sebab dapat sembang dengan mamat tu. Esya mengurut-ngurut dadanya sambil mencuri-curi pandang Si Anjuna itu yang semakin jauh darinya. Seketika belum sempat pun langkah Wahdi hilang dari pandangan, loceng telah pun menjerit dengan lantang. Esya mendekap frame gambar ke dada sementara kedua tangannya sibuk membuka lipatan surat yang di berikan Wahdi. “Sajak?”
Posted on: Sun, 14 Jul 2013 08:26:43 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015