CAK: Hulur duit siar lagu Lagi sekali perihal radio swasta - TopicsExpress



          

CAK: Hulur duit siar lagu Lagi sekali perihal radio swasta ‘makan duit’ jadi halwa telinga Sha beberapa hari lalu. Perkara itu dibangkitkan beberapa pengurus artis di satu petang yang indah ketika kami minum teh tarik. Kata mereka, pihak yang main kotor itu makin melampau. Kalau dulu letak syarat bagi duit baru mainkan lagu, sekarang kalau bayar jumlah yang diminta pun belum tentu lagu akan diputarkan di radio. Bayaran yang dikenakan pun bukan sikit, satu lagu cecah ribuan ringgit. Dek kerana tiada pilihan, mereka terpaksa hulur duit untuk pastikan lagu artis mereka dimainkan tetapi hampa apabila ia langsung tidak ke udara seperti dijanjikan. Lebih memalukan, yang minta duit itu orang penting radio yang bertanggungjawab menentukan lagu mana yang akan diperdengarkan. Khabarnya, penyampai radio pun tak tahu menahu dan kalau pun ada yang tahu, hanya diam membisu. Tak berani tegur kerana bimbang periuk nasi mereka terjejas. Lagipun, amalan itu sudah dipraktikkan sekian lama oleh mereka yang pernah menerajui stesen radio itu. Kalau dah jadi ‘tradisi’ memang payahlah nak dikikis. Nak tak nak, terpaksalah mereka ikut rentak dengan mainkan lagu yang disenaraikan dalam sistem saja walhal sebagai penyampai berpengalaman, mereka tahu ada banyak lagu lain lagi yang bagus dan layak diperdengarkan. Lagi satu, kalau lagu dari Indonesia bukan main laju lagi diputarkan. Tak hairanlah mengapa lagu dari negara itu semakin ‘perkasa’ di negara kita. Khabarnya dek kerana banyak stesen radio beri laluan mudah terhadap lagu dari negara jiran, ramai yang berebut-rebut cari lagu baru dari sana. Malah, ada yang sanggup berulang-alik semata- mata mahu dapatkan lagu baru. Maklumlah kata mereka boleh buat duit sebab ada banyak permintaan. Kalau nak berharap dengan jualan muat turun lagu, hasilnya tidak semeriah dulu maka mereka terpaksa cari alternatif baru dengan mengikut rentak kegilaan stesen radio tempatan memutarkan lagu Indonesia. Sha harap pihak bertanggungjawab memandang serius isu ini dan mengambil tindakan sewajarnya. Jangan dibiarkan kerana ia akan jadi barah yang merosakkan industri muzik tanah air. Harap selepas ini tiada lagi rasuah dan istilah lagu negara sendiri dianaktirikan.
Posted on: Sun, 25 Aug 2013 19:23:33 +0000

Trending Topics




© 2015