Dilema Melayu moden. Haruskah Pemuda Umno kekal dengan pendirian - TopicsExpress



          

Dilema Melayu moden. Haruskah Pemuda Umno kekal dengan pendirian sederhana dan memilih penyandang Khairy Jamaluddin Abu Bakar (gambar) sebagai ketua sayap pada 12 Oktober atau memilih empat calon lain yang percaya mereka harus kembali kepada garis keras? Khairy telah menjadikan sayap itu lebih inklusif akan tetapi empat pencabar lain mengatakan sayap itu lemah di bawah pimpinannya dan penyokong di peringkat bawah tidak gembira peranan Pemuda Umno sebagai kumpulan pendesak diambil alih oleh badan bukan kerajaan (NGO) Melayu seperti Perkasa. Keempat-empat mereka adalah Ketua Cawangan Bendang Baru Langkawi Akramsyah Muammar Ubaidah Sanusi, bekas Ketua Pemuda Bahagian Merbok Abdul Karim Ali, Ketua Pemuda Cawangan Bukit Setiawangsa Irwan Ambak dan Penolong Setiausaha Pemuda Cawangan Pusat Bandar Taman Chempaka, Syed Rosli Syed Harman Jamalullail. Penganalisis mengatakan, walaupun pencabar-pencabar Khairy dilihat tidak begitu kuat, pertembungan lima penjuru itu memberikan refleksi ketidakpuashatian sebahagian daripada akar umbi Pemuda Umno yang tidak berpuas hati sayap itu tidak mempertahankan agenda Melayu seperti zaman kegemilangannya. Sudah menjadi rahsia terbuka golongan konservatif Umno terutamanya yang berkait dengan bekas presiden Tun Dr Mahathir Mohamad, tidak mahu parti itu berubah dan menekankan ianya perlu lebih keras memperjuangkan kaum Melayu. Ramai yang masih bernostalgia zaman kegemilangan Pemuda Umno di bawah pemimpin seperti Datuk Harun Idris dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. “Walaupun Khairy seorang pemimpin yang baik, pencabarnya merasakan beliau tidak seperti pemimpin terdahulu di zaman kegemilangan Pemuda Umno sebagai kumpulan pendesak,” kata Prof Madya Dr Shaharuddin Baharuddin dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) kepada The Malaysian Insider di Kuala Lumpur. Semasa pemilihan parti pada 2008, Khairy berhadapan dengan calon-calon hebat seperti anak Dr Mahathir, Datuk Mukhriz Mahathir dan bekas Menteri Besar Selangor Dr Mohd Khir Toyo akan tetapi berjaya memenanginya. Graduan Universiti Oxford itu mahu membawa imej reformis dan progresif menjadikannya popular di kalangan rakyat Malaysia akan tetapi sesetengah segmen dalam sayap itu mahu beliau mengambil pendirian lebih keras. Exco Pemuda Umno Lokman Adam mempertahankan gaya kepimpinan Khairy mengatakan sayap itu mahu mendekati golongan muda untuk memahami masalah mereka daripada menjadi garang secara melulu. Walaupun terdapat empat pencabar, penganalisis mengatakan menantu kepada bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi itu berpeluang menang kerana akan terdapat pepecahan undi dikalangan fraksi anti Khairy. Pelantikannya sebagai Menteri Belia dan Sukan selepas pilihan raya umum ke-13 lalu memberi kelebihan kepadanya untuk menjelajah ke seluruh negara bertemu orang muda termasuk ahli Pemuda Umno. “Khairy mempunyai peluang cerah untuk mempertahankan jawatannya. Beliau popular dan dekat dengan golongan muda dalam dan luar parti,” kata Prof Dr Jayum A. Jawan dari Universiti Putra Malaysia kepada The Malaysian Insider. Khairy mempunyai kelebihan sebagai penyandang berbanding pencabarnya yang tidak dikenali berbanding dengan pemilihan pada 2008. “Umno suka kepada pemenang dan Khairy dilihat begitu. Salah satu cara beliau boleh kalah jika pemimpin atasan menekankan untuk menyingkirnya,” kata seorang pemimpin Umno yang tidak mahu dikenali kepada The Malaysian Insider. “Kebanyakan ahli Pemuda Umno tahu realiti menjadi lebih inklusif akan membantu mereka menang sokongan lebih banyak golongan muda dalam jangka panjang. “Lagipun calon garis keras seperti Datuk Ibrahim Ali dan Datuk Zulkifli Noordin kalah dalam PRU13. Itu seharusnya menjadi petanda masa hadapan,” tambahnya.
Posted on: Mon, 23 Sep 2013 01:00:50 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015