EKONOMI Kios perbankan internet di semua bank Mac - TopicsExpress



          

EKONOMI Kios perbankan internet di semua bank Mac 2014 2013/09/03 Sekurang-kurangnya satu kios perbankan internet akan ditempatkan di semua cawangan bank seluruh negara dalam usaha memudahkan lagi akses perbankan internet dan perkhidmatan urus niaga Sistem GIRO Antara Bank (IBG) menjelang Mac 2014. Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Muhammad Ibrahim, berkata inisiatif itu bagi menggalakkan penggunaan perkhidmatan pembayaran secara elektronik (e-pembayaran) dalam kalangan pengguna dan peniaga. Kini lebih 2,100 kios perbankan internet di cawangan bank seluruh negara mewakili 74 peratus rangkaian cawangan bank di Malaysia. “Usaha mempercepatkan migrasi kepada kaedah e-pembayaran ini antara strategi teras dalam Hala Tuju Sektor Kewangan Bank Negara untuk dicapai sebelum 2020. Pelaksanaannya juga bagi mencapai sasaran penjimatan tahunan iaitu kira-kira satu peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Lancar kempen “Bagi menggalak pengguna dan peniaga menggunakan e-pembayaran, Bank Negara dengan kerjasama Persatuan Bank-Bank Malaysia (ABM) melancarkan kempen pendidikan bagi menggalak penggunaan perbankan internet dan urus niaga IBG,” katanya pada taklimat media di Kuala Lumpur, semalam. Sebelum ini, Bank Negara mengumumkan penurunan yuran urus niaga IBG yang dibuat melalui perbankan internet dan perbankan mudah alih kepada 10 sen daripada RM2 berkuat kuasa pada 2 Mei lalu bagi memberi insentif kepada pengguna supaya beralih daripada kaedah pembayaran lebih mahal kepada alternatif yang lebih rendah kosnya. Berkuat kuasa 1 April tahun depan, bank juga akan mengenakan caj memproses 50 sen bagi setiap cek kepada pengeluar cek. Yuran itu tambahan kepada duti setem sedia ada 15 sen bagi setiap cek. Muhammad berkata, pengguna dan peniaga digalak mendapatkan maklumat mengenai manfaat, ciri keselamatan dan amalan keselamatan perbankan dalam talian dan e-pembayaran. Katanya, Bank Negara juga akan melancarkan siri jelajah di bandar utama bermula Oktober ini serta mengadakan sistem forum pembayaran di Kuala Lumpur pada akhir tahun ini yang membolehkan institusi kewangan mempamerkan kaedah penyelesaian e-pembayaran yang disediakan mereka. “Hari ini, cek dan tunai kekal lazim di negara ini. Berdasarkan perangkaan tiga tahun lalu, purata 205 juta cek bernilai hampir RM2 bilion digunakan pada asas tahunan. “Dari segi jumlah cek daripada populasi penduduk negara, atau cek perkapita adalah 7.1. Perangkaan ini lebih tinggi berbanding 3.9 di negara maju seperti Norway, Finland dan Australia,” katanya. Beliau berkata, kini ada 1.6 bilion urus niaga kewangan yang dibuat menerusi kaedah elektronik, iaitu dua kali jumlah urus niaga pada 2006. Katanya, Bank Negara mensasarkan untuk meningkatkan jumlah e-pembayaran perkapita daripada 56 pada 2012 kepada 200 pada 2020 serta mengurangkan bilangan cek yang dijelaskan dalam negara kepada separuh, iaitu daripada 204 juta cek kepada 100 juta dalam tempoh sama. Dalam tempoh setahun ini, katanya Bank Negara akan bekerjasama dengan pihak industri kewangan untuk terus menambah baik infrastruktur pembayaran bagi memastikan perkhidmatan pembayaran dapat diakses secara meluas, selamat dan mudah.BH
Posted on: Tue, 03 Sep 2013 03:22:55 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015