Hospital pakar fokus disiplin pediatrik 2013/08/24 HPKPUKM mesra - TopicsExpress



          

Hospital pakar fokus disiplin pediatrik 2013/08/24 HPKPUKM mesra kanak-kanak, ibu bapa Kuala Lumpur: Datuk Seri Najib Razak semalam melancarkan projek Hospital Pakar Kanak-kanak Permata, yang pertama di negara ini di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Hospital bernilai RM606 juta yang dijadualkan siap pada 2017 dibina bersebelahan Pusat Perubatan UKM (PPUKM) di Cheras dekat sini. Apabila siapa nanti, ia menjadi hospital pertama memfokus disiplin pediatrik atau kesihatan kanak-kanak. Perdana Menteri berkata, ciri hospital itu unik kerana ia mesra kanak-kanak dan ibu bapa. “Hospital pakar ini adalah hospital pertama secara komprehensif memfokus kepada disiplin pediatrik seperti surgeri laparoskopik yang minimum invasif, perkhidmatan kardiologi dan kardiotoraksik, implan koklear, pemindahan sum sum tulang, perkembangan kanak-kanak, genomik pediatrik dan endokrinologi pediatrik. Masuk liga negara maju “Pembinaan hospital ini menandakan kita berada pada landasan betul untuk memasuki liga negara maju, khususnya aspek kesihatan,” katanya berucap pada majlis pecah tanah projek itu di Auditorium PPUKM, semalam. Hadir sama, isteri Perdana Menteri yang juga Penaung Permata Negara, Datin Seri Rosmah Mansor; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa dan Naib Canselor UKM, Tan Sri Profesor Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin. “Jika di London ada The Great Ormond Street Hospital for Sick Children, Melbourne ada The Royal Children’s Hospital, Toronto ada Toronto Hospital for Sick Children dan di Los Angeles ada Children’s Hospital Los Angeles, Malaysia kini mempunyai Hospital Pakar Kanak-kanak Permata (HPKPUKM),” katanya. 250 katil HPKPUKM dibina di kawasan seluas 5.4 hektar dan akan mempunyai 250 katil dengan 198 katil bilik persendirian, manakala 52 lagi berkonsep terbuka untuk wad rawatan. Sementara itu, Perdana Menteri berkata tiga hospital pengajar universiti di bawah Kementerian Pendidikan telah melahirkan lebih 7,000 pakar dalam pelbagai bidang perubatan di negara ini. Hospital pengajar itu ialah Pusat Perubatan Universiti Malaya (UM) di Kuala Lumpur, Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) di Kubang Kerian, Kelantan dan Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Cheras.BH
Posted on: Sat, 24 Aug 2013 01:29:47 +0000

Trending Topics




© 2015