Jalan di sini berlopak-lopak besar,terhinjut-hinjut Toyota Camry - TopicsExpress



          

Jalan di sini berlopak-lopak besar,terhinjut-hinjut Toyota Camry ini dilambung graviti. Tina yang duduk disebelah sudah berapa kali bangun tidur, dengkurnya makin menjadi. Siaran radio sekejap berbunyi, bercampur-campur. Sekejap radio Perak, sekejap Kedah mengikut lambungan kereta. Aku terpaksa memperlahankan kereta melalui satu perkampungan nelayan yang kotor, beberapa budak-budak kecik dengan muka yang comot dan hingus kering di muka berlari-lari. Seorang daripadanya tidak berseluar langsung,geli. Ada orang tua berbasikal mengangkat tangan memberi salam. Aku menaikkan cermin kereta, melepaskan rengusan garang.Tina sudah bangun, mengesat-ngesat mata & mengeliat. Mengeluarkan bunyi seperti kerbau. Perempuan tak gune, sopannya bile di depan jantan,tersipu-sipu dan bersimpuh malu. Hipokrit ini cuma tahu bersolek dan berdandan bila nak keluar, di rumah dia seperti perempuan baru beranak,t-shirt besar dengan kain pelekat senteng dan rambut usai seperti orang gila, mengeluarkan bau hapak dan masam. Ada sebuah jeti buruk disitu. Beberapa nelayan baru sampai dari laut disambut peraih-peraih buncit. Memunggah ikan. Tina sudah separuh menggelepar di luar meliar mata mencari Hafik,tunangnya. Aku duduk sahaja di dalam kereta. Aku tak minat pantai hanyir seperti ini. Beberapa gadis bertudung labuh lalu dengan menaiki basikal dan memberi senyuman. Aku menghempas pintu serta merta. Memang benar. Perempuan kolot seperti mereka nih, patut dijerukkan di tempat busuk camni. Cis Tak gune! Kemudian, datang seorang tua menghampiri tingkap belakang. Aku sedikit marah, mengetap bibir. "Nak ape?!" Dia terketar terkejut, sedikit berundur. "Assalammualaikum nak, pakcik ambil upah cuci kereta.." Dia bercakap dengan pandangan yang tumpah ke kakinya, tertib dan seperti takut. Di tangannya ada satu baldi buruk air sabun dengan tuala koyak di bahu.Baju kemeja kusam koyak di poket, cuma dibutang dua menampakkan dadanya yang leper ditolak tulang selangka. Seluar hijau pudar senteng. Tidak berkasut dengan kuku hitam dan kaki yang reput. Menjijikkan... "Basuh je lah, tapi, awas!! Kalau calar kereta aku, tahulah macamana aku nak ajar kau!!" Berkata sambil meliarkan mata pada Tina yang tengah tersengih-sengih meramas-ramas tangan dengan tunangnya itu. Duduk pula bersimpuh, membelai-belai rambut. Boleh pula kaki yang asyik duduk terkangkang dirumah itu di tutup rapat. Orang tua itu tertunduk-tunduk mengucap terima kasih. Ah, miskin seperti ini tunduk-tunduk nak minta simpati, tiada maruah. Orang tua it upon terus je menggosok satu demi satu tayar kereta. Memberus sambil terbatuk-batuk,meludah. Cis Pengotor! Aku mengalihkan mata ke pantai. Ternampak peraih ikan ketawa berdekah-dekah menepuk- nepuk belakang nelayan kurus itu. Menyerahkan beberapa ringgit. Nelayan itu tersenyum pahit. Menyelitkannya di celah kopiahnya. Itulah, siapa suruh kecil-kecil tidak mahu belajar pandai-pandai, masuk universiti dan kerja besar. Tidaklah hidup susah seperti itu. Memang dasar tak pandai!! "Sudah nak.." Pakcik itu datang setelah 20 minit. Aku sudah malas hendak memandangnya, dan ku bagi je RM 5. Aku rasa itu sudahcukup banyak untuk fakir seperti dia nih. Cepat-cepatlah dia pergi. Tapi, sebaliknya dia memegang lama duit itu. Tunduk dan menangis tersedu-sedu. Menambahkan kerut dan mengelap mata dengan hujung kemejanya. "Kenapa ni? Gila?!" "Nak, seumur hidup pakcik hidup susah ini, pakcik kerja memetik kelapa,cuci tandas di restoran, kemudian mencuci kereta, belom pernah pakcik terima upah sebanyak ni. Paling banyak pun hanya seringgit." Dia bersungguh-sungguh melihat ke dalam mata aku.Timbul pula sedikit simpati, sedikit sayu. Rasa yang tidak pernah bertakung dalam hati keras aku selama 25 tahun ini. Dia melipat kecil wang itu diikat simpul di dalam sapu tangan biru muda. Pergi dengan terhinggut menangis dengan baldi buruk ke arah sekumpulan nelayan. Aku memandangnya dengan pandangan kosong. Ini warna kemiskinan, aku tidak pernah lihat. Aku membesar dalam hutan batu, di kota lumpur. Keras diselaput wang kemewahan, kemudian keluar dengan segulung ijazah. Bekerja seperti orang gila untuk $$$. Biarlah,kalau aku tak tolong pon, ramai lagi diluar sana . Lupakan je.. Tina memanggil aku dari sebuah kedai makan kat situ. Hampir 10 minit aku melayan meluat- melihat Tina yang tersipu-sipu menggagau mee dengan sudu dan garfu. Kemudian, kelibat orang tua itu melintasi kami, menjinjing dua beg besar hitam berisi barang. Hairan, takkanlah dengan wang RM 5 dia boleh membeli barang sebanyak itu. Mustahil. Atau dia memang ada duit tapi,berlagak seperti fakir. Mungkin.... Dengan rasa ragu, aku menghampirinya. Dia memberi senyum lembut dan aku dengan rasa curiga bertanya terus. " Eh, pakcik. Tadi saya bagi lima ringgit, takkan dapat beli barang sebanyak ini?".Bunyinya seperti meninggi. Pakcik itu seperti terkejut. Dia diam dan tunduk seketika. Pahit menelan air liur. Meletakkan dua beg plastik di atas tanah,membukanya satu persatu,perlahan-lahan dan terketar – ketar. Aku terkedu. Terkejut dan malu. Pakcik itu mengeluarkan sapu tangan tadi dan membuka simpulannya. Wang aku tadi, masih terlipat kemas. " Nak, pakcik tahu. Kami ini orang susah, nak. Hidup seperti najis, dibuang dan ditolak-tolak. Kamu tutup hidung melihat kami. Ambillah ini semula. Pakcik juga punya maruah. Bila anak menyoal pakcik macam tadi, anak telah pijak harga diri pakcik. Anak seperti menghukum pakcik sebagai orang tua yang berpura-pura susah. Ambillah semula, nak." Pakcik itu meletakkannya di atas tangan aku dan aku menolak berkali-kali. Aku sudah menangis, minta maaf berkali-kali & tidak mahu menyentuh langsung RM 5 tu,hingga jatuh ke hujung kaki. "Lihat, itulah tempat duit. Di tapak kaki. Duit itu perlu tapi jangan sampai ianya lebih tinggi dari harga diri. Jangan sampai duit menjadikan kita angkuh dan bongkak. Pakcik ke sana tadi tu tempat nelayan memunggah ikan. Pakcik kutip ikan-ikan kembong pecah perut ini yang dah dibuang ke tepi. Dengan bangkai busuk ini pakcik boleh sambung hidup anak-anak pakcik, jangan sampai mereka kelaparan dan mati." Mendatar sahaja suara orang tua itu berkisar-kisar dengan pukulan ombak. Dia terbatuk-batuk berjalan, meninggalkan aku dengan wang lima ringgit di hujung kaki, dua plasik berisi ikan busuk yang sudah mula dihurung lalat. Aku terduduk menangis & merasa kesal. Aku mempunyai wang yang boleh membeli segala kemewahan dunia.Cuma aku belum mampu membeli sesuatu yang ada dalam diri orang tua itu. *"jika tidak dapat apa yang kita suka...belajarlah utk menyukai apa yang kita dah dapat.." Kekayaan itu hanya di dunia dan apabila kita mati nanti, hilanglah kekayaan itu dan yang kita bawa adalah amalan. Ingatlah Allah boleh memberi pada bila-bila masa kepada kita dan Allah juga boleh mengambil nikmat daripada kita bila-bila masa, di mana saja dan apa cara sekalipun.Kekayaan, kemiskinan, kebaikan, keburukan dan setiap musibah yang menimpa manusia merupakan ujian dari Allah swt. yang diberikan kepada hambanya. Itu bukan ukuran kemuliaan atau kehinaan seseorang. Janganlah bangga kerana kekayaan dan janganlah putus asa kerana kemiskinan. gempak.org/forum/236-sembang-kosong/150266-cerita-aku-tina-orang-tua-nak-cuci-kereta.html
Posted on: Mon, 24 Jun 2013 09:09:53 +0000

Recently Viewed Topics




© 2015