Jangan terlalu berharap SUBANG - Para peminat Harimau Malaya - TopicsExpress



          

Jangan terlalu berharap SUBANG - Para peminat Harimau Malaya tidak boleh terlalu mengharap kecemerlangan yang dipamerkan pada tahun 2011 apabila tewas tipis 0-1 kepada Chelsea akan menjelma sekali lagi. Hakikat itu ditekankan oleh pengendali kebangsaan, Datuk K. Rajagobal yang mengingatkan, skuad yang akan ditampilkan kali ini akan membawa pemain dan jurulatih yang berlainan, begitu juga dengan pasukan Chelsea. "Perlawanan yang terdahulu tidak boleh ada kaitan kerana itu adalah aksi dua tahun lepas di samping pemain yang akan digunakan kali ini tidak lagi sama dan jurulatih juga berbeza. "Apa yang saya boleh katakan, memang kita semua main mahukan kemenangan tetapi kita perlu terima hakikat sejauh mana kekuatan lawan. "Chelsea sudah tentu mahu berikan satu hiburan kepada peminat mereka di sini namun saya harap para pemain boleh mengambil kesempatan dan cuba dapatkan satu penghormatan dari pasukan lawan. "Perlawanan ini boleh membantu kami untuk melakukan persiapan kelayakan Piala Asia 2015 dan saya harapkan semua pemain dapat mempelajari sesuatu nanti," katanya yang ditemui selepas sidang media pasukan Chelsea sempena Jelajah Asia 2013 di sini, semalam. Dalam aksi terakhir Chelsea dua tahun lalu yang ketika itu dibimbing oleh Andres Villa-Boas, skuad Pilihan Malaysia yang dibimbing oleh Ong Kim Swee tewas 0-1 melalui jaringan kontroversi Didier Drogba setelah memperagakan permainan penuh cemerlang sepanjang 90 minit permainan. Ini merupakan lawatan keempat The Blues ke Malaysia semenjak tahun 2003 tetapi kehadiran Chelsea kali ini cukup berbeza kerana membawa jurulatih yang paling berjaya dalam sejarah kelab bola sepak itu iaitu Jose Mourinho. Rajagobal turut menyuarakan pandangan yang sama dengan mengatakan jurulatih dari Portugal itu antara yang terbaik di dunia dan merupakan satu penghormatan besar melihat skuad kebangsaan akan menentang Chelsea. "Sebagai pengurus dan jurulatih pasukan, mana-mana dia pergi pasti akan ada ramai pemain terbaik dan itu memberi satu keistimewaan kepada dirinya. "Walaupun sentiasa mempunyai ramai pemain hebat namun dia berjaya menguruskan mereka semua dengan baik sehingga membuatkan pasukannya antara yang terbaik, itu menjadikan Mourinho sebagai salah seorang pengurus yang disegani," katanya.
Posted on: Fri, 19 Jul 2013 00:02:14 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015