Jurulatih perahu layar diugut SETIU - Seorang jurulatih perahu - TopicsExpress



          

Jurulatih perahu layar diugut SETIU - Seorang jurulatih perahu layar mendakwa kerugian RM16,000 selepas diugut sepasang suami isteri, jika tidak mahu dituduh merogol, bulan lalu. Bagaimanapun, mangsa berusia 26 tahun nekad membuat laporan polis di Balai Polis Penarik, dekat sini, pada jam 10.14 pagi kelmarin, selepas menyedari diperdayakan pasangan terbabit. Difahamkan, ia bermula apabila mangsa yang menyewa rumah di Kuala Terengganu berkenalan dengan seorang wanita berusia 29 tahun di sebuah kelab perahu layar di Penarik pada 2 Jun lalu. Menurut sumber, selepas beberapa hari berkenalan, wanita terbabit mempelawa mangsa ke rumahnya kira-kira jam 7 malam sebelum mereka ke majlis penutupan sebuah acara perahu layar di Rhu 10, di sini. Selepas majlis selesai, mangsa menghantar wanita terbabit pulang dan sebaik tiba di rumah, mangsa diajak masuk ke dalam kononnya untuk berbincang. “Ketika asyik berbual, tiba-tiba wanita berkenaan mengadu sakit kaki dan minta mangsa mengurutnya. Mangsa menuruti kemahuan wanita terbabit sebelum meninggalkan rumah berkenaan,” katanya. Bagaimanapun dua hari kemudian, mangsa menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki, mendakwa suami wanita berkenaan dan mengarahkan mangsa membayarnya RM15,000. Menurut sumber lagi, suspek mengugut mahu membuat laporan polis kononnya mangsa merogol isterinya menyebabkan mangsa yang ketakutan akur dengan arahannya. Bagaimanapun, beberapa hari kemudian, wanita terbabit pula mengugut dengan meminta RM15,000 tetapi kali ini mangsa hanya memasukkan RM1,000 ke dalam akaun berikutan wangnya tidak mencukupi. Difahamkan juga, mangsa pernah berbincang dengan pasangan berkenaan untuk menyelesaikan masalah mereka, tetapi gagal. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Ab Rahman Raja Mohamed mengesahkan menerima laporan berkenaan.
Posted on: Sat, 20 Jul 2013 00:24:10 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015