KENYATAAN MEDIA MUZAKARAH KHAS JAWATANKUASA FATWA MAJLIS - TopicsExpress



          

KENYATAAN MEDIA MUZAKARAH KHAS JAWATANKUASA FATWA MAJLIS KEBANGSAAN BAGI HAL EHWAL UGAMA ISLAM MALAYSIA, 15 JANUARI 2014 _______________________________________________________ 1. Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam yang bersidang pada hari ini 15 Januari 2014 memandang serius dan amat kecewa apabila para ulama’ dilempar dengan kata-kata kesat dan diperlekehkan hanya kerana pandangan atau hukum yang dikeluarkan tidak memenuhi kehendak atau memihak kepada golongan tertentu, dan sikap tidak menghormati pemimpin(umara’) semakin menjadi-jadi seolah-olah ianya menjadi satu trend dan budaya masyarakat Islam di Malaysia sejak akhir-akhir ini. 2. Muzakarah juga mengingatkan seluruh umat Islam dan juga bukan Islam bahawa apabila sikap saling hormat menghormati semakin terhakis, ulama’ dan umara’ dicela dan tidak dihormati , maka bibit-bibit pergolakan akan mula dirasai, dan kita tidak mahu pergolakan dan pertumpahan darah yang berlaku di sesetengah negara berlaku di Negara kita Malaysia. 3. Muzakarah meminta seluruh umat Islam supaya sentiasa menjaga keharmonian dan kedaulatan Negara kerana Islam mewajibkan seluruh umat Islam agar bersatu dengan mentaati Allah, Rasul, dan pemimpin yang dilantik secara sah oleh rakyat. Perbuatan mencela pemimpin kerana tidak berpuashati dengan keputusan atau tindakan Kerajaan, tidak boleh dipandang remeh kerana ia akan menimbulkan fitnah, kekacauan dan mengganggu kestabilan sesebuah negara. 4. Islam membenarkan setiap rakyat untuk menasihati pemimpin, namun tanggungjawab amar maruf nahi munkar tersebut perlu dilakukan mengikut adab dan garispanduan yang telah ditetapkan oleh Islam. 5. Muzakarah juga menasihatkan para pemimpin supaya sentiasa sensitif terhadap kemaslahatan rakyat kerana dalam kaedah fiqh keputusan pemimpin adalah bergantung kepada kemaslahatan rakyat dan pemerintah perlu menggunakan segala kebijaksanaan dan hikmah dalam menangani apa jua isu yang berlaku. 6. Muzakarah Khas pada hari ini juga menyokong tindakan yang telah dilakukan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dalam menangani isu penggunaan kalimah Allah. Tindakan serbuan yang dilakukan adalah selaras dengan peruntukan undang-undang dan titah Tuanku Sultan Selangor, dan buku-buku yang dirampas tidak perlu dipulangkan. 7. Muzakarah juga kesal dengan tindakan sesetengan pihak yang cuba mempolemikkan isu-isu sensitif seperti tindakan JAIS dalam menguatkuasakan fatwa penggunaan kalimah Allah dan menjadikan agama sebagai umpan politik. Muzakarah menyeru seluruh umat Islam supaya menghentikan tindak tanduk seumpama ini demi menjaga kedaulatan agama, perpaduan ummah dan keamanan Negara. Sekian terima kasih. PROF. EMERITUS TAN SRI DATO’ DR. ABDUL SHUKOR BIN HJ. HUSIN Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia 15 Januari 2014
Posted on: Thu, 16 Jan 2014 08:33:02 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015