Kerana Satu Hadith Apabila para sahabat r.a. bertebaran di - TopicsExpress



          

Kerana Satu Hadith Apabila para sahabat r.a. bertebaran di segenap pelusuk negara Islam, mereka membawa bersama hadith Rasulullah s.a.w. yang didengar sewaktu hayat baginda. Sekiranya ada sahabat lain yang ingin mengetahui dan memastikan keabsahan hadith berkenaan, mereka akan berusaha untuk menemui sahabat yang lain. Kisah yang masyhur tentang kembara hadith adalah kisah sahabat r.a. yang bernama Jabir bin Abdullah al-Ansari r.a. yang berada di Madinah. Beliau sendiri menceritakan apa yang berlaku. Kata beliau : “Sampai kepadaku satu berita tentang seseorang yang mempunyai satu hadith yang dia dengar dari Rasulullah s.a.w. Lalu aku terus membeli seekor unta dan memulakan kembara bertujuan untuk bertemu dengannya sehingga memakan masa selama sebulan perjalanan. Akhirnya aku sampai di Syam. Rupanya individu tersebut adalah Abdullah bin Unays, lalu aku berkata kepada penjaga rumahnya, “Maklumkan kepadanya bahawa Jabir ada di depan rumah.” Penjaga rumah bertanya, “Jabir bin Abdullah?” Aku menjawab, “Ya.” Kemudian beliau (Abdullah bin Unays) keluar dan memeluklu. Lalu aku berkata kepada beliau, “Sampai kepadaku khabar bahawa kamu mendengar satu hadith tentang pembalasan orang zalim, aku risau sekiranya aku atau kamu meninggal dunia terlebih dahulu sebelum aku mendengarnya sendiri.” Lalu beliau (Abdullah bin Unays r.a.) berkata, “Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda, “Allah menghimpunkan manusia pada Hari Kiamat dalam keadaan telanjang, tidak berkhatan dan buhman.” Lalu kami (para sahabat) bertanya, “Apakah maksud buhman itu?” Baginda menjawab, “Iaitu tidak memakai seurat benang pun, lalu mereka diseru dengan satu suara yang didengari oleh orang yang jauh seperti mana didengari oleh orang yang dekat, “Aku adalah Raja dan Aku adalah Dayyan (Pemberi Balasan)! Tidak patut bagi seorang ahli neraka untuk masuk ke dalam neraka sedangkan dia mempunyai hak ke atas seseorang dari penduduk syurga sehingga Aku memberikan haknya. Tidaklah patut seseorang dari ahli syurga untuk masuk ke dalam syurga sedangkan seseorang dari ahli nereka mempunyai hak atas dirinya sehingga Aku memberikan hak orang berkenaan. Walaupun dengan satu penampar.” Kisah dan hadith ini direkod oleh Imam Ahmad bin Hanbal di dalam al-Musnad. (Lihat juga, al-Khatib al-Baghdadi (1395/1975), Rihlah fi Talab al-Hadith, Beirut : Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, hlm. 110-111.) Kerana satu hadith, Jabir bin ‘Abdullah r.a. seorang sahabat Rasulullah s.a.w. sanggup menempuh sebulan kembara untuk mendengar satu hadith. Walaupun beliau mampu mengupah atau meminta seseorang untuk mendapatkan tulisan atau mendengar hadith tersebut daripada ‘Abdullah bin Unays di Syam.
Posted on: Thu, 25 Jul 2013 14:26:06 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015