Kursus Simulasi Pemilihan UMNO Bantu Beri Kefahaman Tatacara - TopicsExpress



          

Kursus Simulasi Pemilihan UMNO Bantu Beri Kefahaman Tatacara Kaedah Pemilihan Baru: KUALA LUMPUR, 7 Okt – Rata-rata peserta kursus simulasi pemilihan UMNO yang dijalankan di Institut Latihan Memperkasakan UMNO (ILMU) di Janda Baik baru-baru ini, menyifatkan kursus yang dijalankan itu menepati sasaran, apabila segala proses pemilihan mengikut kaedah terbaru ini dapat diterangkan dan dilakukan secara realiti bagi memberikan pemahaman kepada mereka yang terlibat. Menurut Setiausaha Kerja UMNO Bahagian Lembah Pantai, Shaari Jantan, menganggap kursus simulasi itu amat baik untuk memberikan kefahaman kepada mereka yang terlibat untuk pemilihan UMNO kali ini. “Bila pulang ke bahagian masing-masing, kami dapat menerangkan kepada perwakilan bagaimana untuk menghadapi proses pemilihan berdasarkan simulasi yang telah dijalankan itu. “Alhamdulilah, dalam majlis penerangan di peringkat bahagian, apa yang kita terangkan dapat difahami oleh perwakilan. Jadi insyaAllah, kita berharap agar pemilihan ini dapat berlangsung dengan lancar. Tetapi seperti biasalah, benda pertama kali pasti ada cacat celanya. Cuma kita akan berusaha untuk mengurangkan cacat dan cela itu,”jelasnya. Manakala bagi Ismail Saibu, Setiausaha UMNO Bahagian Segambut berpendapat bahawa secara keseluruhannya kursus simulasi itu amat berkesan dan menepati matlamat untuk memberikan kefahaman kepada mereka yang terlibat di masa pemilihan berlangsung kelak. “Setakat ini, kursus simulasi itu secara keseluruhannya adalah baik. Cuma bagi saya ada beberapa perkara yang perlu ditambah baik dari segi memperbanyakkan kaunter pendaftaran, bilik yang besar untuk memuatkan lebih perwakilan untuk menjimatkan masa dan beberapa perkara lagi. “Cuma kami di sini agak keliru sekiranya seseorang calon itu menarik diri di saat akhir. Kami diberitahu calon tidak boleh menarik diri dan sekiranya ini berlaku, pengundian tetap akan dijalankan. “Bagi pendapat kami, jika seseorang calon itu menarik diri dalam pertandingan satu lawan satu, adalah lebih baik lawannya itu diisytiharkan terus menang tanpa bertanding. Itu lebih mudah dan menjimatkan masa,” jelasnya. Setiausaha UMNO Bahagian Bukit Bintang, Mohd Zailan Mokhtar pula berpendapat bahawa kursus simulasi ini amat baik dan memberikan penerangan yang jelas kepada mereka yang terlibat untuk menjalankan penyusunan bagi melancarkan proses pemilihan yang berlangsung di bahagian masing-masing. “Simulasi itu jelas dan dapat memberikan kefahaman kepada kita yang terlibat. Dan setelah itu, kita dapat memberikan penerangan kepada perwakilan di bahagian dan juga AJK yang terlibat semasa pemilihan itu nanti. “Cuma biasalah, kaedah ini merupakan kali pertama diadakan. Jadi sudah pasti ada kurang di sana sini. Apa yang penting adalah kita cuba melakukan penyusunan yang terbaik mengikut apa yang telah diterangkan dalam kursus tersebut untuk menjadikan pemilihan ini berjalan lancar dengan masalah yang minima,”ujarnya. Bagi Setiausaha UMNO Bahagian Setiawangsa, Yusaini Amir, kursus silmulasi yang dianjurkan oleh ibu pejabat UMNO itu amat berguna untuk memberikan kefahaman tentang bagaimana berlansungnya pemilihan UMNO kali ini mengikut kaedah baru. “Memang kursus simulasi seperti itu patut diadakan, apatah lagi ini pertama kali kita membuat pemilihan dengan menggunakan kaedah terbaru. Jika tidak ada kursus tersebut, saya yakin banyak masalah akan timbul kerana perwakilan tidak faham bagaimana pengundian akan dijalankan. “Walaupun begitu, saya harap ketika persidangan di bahagian berjalan nanti, akan ada wakil dari Jawatankuasa Pemilihan yang memberikan penerangan ringkas bagaiman kaedah pengundian di jalankan sebab apa yang saya lihat, ada sebahagian perwakilan yang masih keliru bagaimana untuk mengundi dan sebagainya,” jelasnya. -MediaUMNO dlvr.it/45TR54
Posted on: Mon, 07 Oct 2013 03:19:41 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015