Lebam belakang telinga Muadzam Shah: “Kali terakhir saya - TopicsExpress



          

Lebam belakang telinga Muadzam Shah: “Kali terakhir saya menemui arwah kira-kira sebulan lalu ketika dia melaporkan diri sebagai pelatih PLKN (Program Latihan Khidmat Negara) dan pertemuan kami hari ini (semalam) berbeza kerana saya hanya mampu menatap wajah kakunya,” kata Norhamidi Bakar, 46, bapa pelatih PLKN Kem Pinggiran Pelangi, di sini, yang ditemui meninggal dunia tengah malam, kelmarin. Anaknya Muhammad Suhaimi Norhamidi, 18, ditemui rakan dalam keadaan terbaring dan tidak sedarkan diri di bilik air asrama kem berkenaan pada jam 12.04 tengah malam. Mangsa dikejarkan ke Hospital Muadzam Shah (HMS), di sini, namun disahkan meninggal dunia sejurus sampai di hospital berkenaan. Norhamidi berkata, dia dimaklumkan kejadian yang menimpa anaknya jam 1 pagi dan terus bergegas ke HMS. Katanya, dia menyimpan hasrat melihat anaknya menjadi anggota polis, namun impiannya itu tidak kesampaian apabila Suhaimi terlebih dulu menyahut seruan Ilahi. “Sepanjang pengetahuan saya, Suhaimi tiada sebarang masalah kesihatan dan saya juga hairan bagaimana kejadian ini boleh berlaku. “Bagaimanapun, saya menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan sekiranya terdapat unsur jenayah. Saya tidak mahu mengeruhkan keadaan,” katanya di bilik mayat HMS, di sini, semalam. Menurutnya, arwah anak sulung daripada tiga beradik hasil perkongsian hidup bersama bekas isteri Zuraidah Zainuddin, 30-an. “Dia tinggal bersama ibunya di Kerdau, Temerloh,” katanya. Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) Rozainor Ramli berkata, mangsa baru selesai menjalani latihan bersama rakannya dan tidak menunjukkan sebarang kelainan atau mengadu tidak sihat. “Saya difahamkan pelatih itu tiada masalah kesihatan dan sentiasa memberi komitmen terhadap semua latihan disediakan JLKN dengan cemerlang. “Kami akan menyiasat perkara ini dengan teliti bagi mengenal pasti punca kematian dan menolak spekulasi kononnya dibunuh atau dipukul sebelum kejadian,” katanya. ketika dihubungi, semalam. Menurutnya, satu unit khas sudah ditubuhkan untuk menyiasat kejadian berkenaan termasuk menunggu laporan bedah siasat sebelum sebarang tindakan atau keputusan dibuat. Jenazah Suhaimi dituntut ahli keluarganya kira-kira jam 5.30 petang semalam dan dikebumikan di kampung ibunya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Klebang, Kerdau, Temerloh selepas Maghrib. Sementara itu, tinjauan di Kem PLKN Pinggiran Pelangi mendapati pengawal keselamatan bertindak menutup pagar kem selepas menyedari kehadiran media dan mengunci mulut ketika ditanya berhubung kejadian itu. Ketua Polis Daerah Rompin Deputi Superintendan Johari Jahaya berkata, laporan bedah siasat menunjukkan terdapat kesan lebam di belakang telinga mangsa dipercayai akibat dipukul objek tumpul. “Polis menyiasat kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya ketika dihubungi, semalam.HM
Posted on: Tue, 24 Sep 2013 07:12:34 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015