MBN Setuju Projek Restorasi Terumbu Karang Dilaksana Di Lapan - TopicsExpress



          

MBN Setuju Projek Restorasi Terumbu Karang Dilaksana Di Lapan Negeri KUALA LUMPUR, 22 Okt (Bernama) -- Majlis Biodiversiti Negara (MBN) bersetuju cadangan projek restorasi terumbu karang dilaksanakan di lapan negeri dengan perairan yang mempunyai terumbu karang. Negeri dipilih untuk melaksanakan projek itu adalah Kedah, Perak, Melaka, Pahang, Johor, Kelantan, Sabah dan Sarawak. Projek berkenaan akan dilaksanakan kerajaan negeri melalui kerjasama pintar dengan Jabatan Taman Laut Malaysia (JTLM), pihak berkepakaran seperti universiti, badan bukan kerajaan serta sektor korporat. Menurut MBN dalam kenyataan hari ini, projek berkenaan dapat menyumbang kepada usaha memulihara biodiversiti marin termasuk meningkatkan populasi ikan yang direkodkan telah merosot dengan drastik di perairan negara di samping meningkatkan nilai estetika kawasan perairan yang dapat menyumbang kepada penajaan pulangan daripada aktiviti ekopelancongan. Mesyuarat pertama MBN Selasa dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan dihadiri Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri G. Palanivel serta Pengarah Bahagian Penyelidikan JTLM Datin Shahima Abdul Hamid. Turut hadir pada mesyuarat itu Menteri-menteri besar, Ketua-ketua Menteri dan Menteri-menteri yang bidang kuasa dan tugasnya berkaitan dengan pengurusan biodiversiti. Pada mesyuarat hari ini, MBN juga bersetuju dengan modaliti penubuhan Pusat Biodiversiti yang berfungsi sebagai kumpulan pemikir bagi meningkatkan interfasa antara sains dan dasar, bertindak sebagai pusat pengumpulan maklumat dan pembangunan pengetahuan biodiversiti serta pusat koleksi ikonik flora dan fauna. Pusat ini juga akan berperanan sebagai Autoriti Kompeten Kebangsaan dengan tumpuan utama bagi melaksanakan isu Akses kepada Sumber Biologi dan Perkongsian Faedah (ABS). MBN telah bersetuju dengan cadangan Pelan Tindakan Kebangsaan bagi Pengurusan Spesies Asing Berbahaya (IAS) untuk menghalang kemasukan, membendung, mengawal dan menghapus IAS bagi melindungi biodiversiti negara. MBN juga dimaklumkan mengenai pelaksanaan Akta Biokeselamatan 2007, Strategi dan Pelan Tindakan Kebangsaan Berkenaan Pemuliharaan dan Penggunaan Mampan Kepelbagaian Biologi Pertanian yang dilancarkan pada 2012. Sumber -- BERNAMA
Posted on: Tue, 22 Oct 2013 12:07:46 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015