MERAH KUNING WARNANYA. SEMALAM saya telah mengongsi gambar bas - TopicsExpress



          

MERAH KUNING WARNANYA. SEMALAM saya telah mengongsi gambar bas Red Yellow yang sudah dimuat-naik oleh seorang rakan dalam Lenggowean Facebooker. Saya juga telah menulis satu entry agak panjang juga tentang kenang-kenangan bersama perkhidmatan bas ini. Sesudah entry itu berjaya dikirim, saya menjejak sekali lagi ke Lenggowean Facebooker dan terjumpa satu entry yang dikirim oleh seorang rakan yang lain; iaitu foto pekeliling daripada Tetuan Red & Yellow Omnibus yang memaklumkan bahawa syarikat ini akan memberhentikan perkhidmatan bas mulai 01.12.2013. Sesungguhnya hampir kesemua generasi yang ada di sepanjang laluan perkhidmatan bas ini, bermula dari Taiping - Kuala Kangsar - Lenggong - Gerik dan berakhir di Pengkalan Hulu; adalah pengguna kepada perkhidmatan bas ini. Saya yakin tak seorang pun terkecuali. Semuanya pernah naik bas ini. Semuanya merasakan bahawa bas ini berjasa; semuanya akan memberitahu ada butir-butir kenangan di sini malah mungkin ada yang tanpa segan memberitahu bahawa ada manik-mainik air mata pernah menitis lantaran bas ini atau dalam bas ini. Saya cuba menjejaki tarikh awal perkhidmatan bas ini, namun setakat ini masih belum memperolehi sumber yang benar-benar sahih. Tahun berapa ianya bermula? Mungkin sebelum 1957 atau selepas tarikh kemerdekaan. Jika tarikh ini enjin bas mula start untuk satu perkhidmatan wajib kepada penduduk; maknanya sudah lebih dari separuh abad perkhidmatan bas ini beroperasi. Saya pun sebaya usia ini. Celik-celik mata, bila sebut sahaja perkataan bas; maka bas Red Yellowlah yang bermain dalam ingatan. Tiada bas lain, tiada bas Transnasional, bas Razima Ekspres, Bas Mara dan sebagainya. Naik bas bermakna menaiki bas Red Yellow. Bukan kepada saya sahaja, malah kepada adik beradik, saudara mara, tok dan pah serta seluruh orang kampung. Inilah bas keme; inilah bas pemula untuk membawa tok pergi menziarahi anak-anaknya samada di Ipoh, Batu Gajah atau Telok Intan (disebut Telok Ensen masa itu). Memperkatakan tentang bas ini, saya memang wajar menyebut tentang kepayahan-kepayahan yang terpaksa dilalui dalam mendapatkan perkhidmatan bas ini. Jika hendak ke Kuala Kangsar, keme yang tinggal di Lubuk kena menunggu bas ini yang datang dari stesen utaranya samada di Gerik, Lenggong, Sauk atau Empangan Chenderoh. Disebabkan bas-bas dari stesen awal yang puluhan batu jauhnya serta sudah berhenti menurun-naikkan penumpang entah berapa puluh bus-stop disepanjang jalan; bila sahaja sampai di bus-stop Lubuk Merbau lazimnya bas sudah padat dengan penumpang. Bertuahlah jika bas berhenti dan tatkala dinaiki, masih ada dua tiga bangku yang kosong. Bernasib baiklah juga jika bas berhenti dan konduktor mengajak naik, naik, naik masok belakang sana yang bermaksud masuk jauh ke belakang sedikit dan berdiri di sana supaya lebih selamat berbanding berdiri berdekatan tangga bas. Masa itu stesen bas Kuale bukannya di tapak stesen bas yang ada sekarang ini. Stesen bas masa itu adalah betul-betul di atas kompleks rumah kedai tiga tingkat yang terdapat CIMB Bank, Kedai Kain Lim, Kedai Sakan, Pasaraya Mari-Mari, Bank Simpanan Nasional, Kedai Salim, Farmasi dan Kedai Buku Shafii itu. Bas Red Yellow diparkir di satu lokasi lapang di hadapan satu deret bangunan yang menempatkan ruang pejabat syarikat bas ini; selain di sebelah hujung sana tempat bas laluan ke Ipoh iaitu Reliance dan bas ke Manong, Wai Thong Omnibus ditempatkan. Bas Red Yellow disusun parkirnya, lazimnya bas untuk laluan ke Taiping akan diparkir berhampiran bangunan pejabat, sementara bas laluan ke Lenggong dan Gerik pula diparkir berhampiran Jalan Kangsar, yang terletak depan kawasan setesen bas ini. Menyedihkan, tapak parkir bas ini keadaannya berlopak. Air hujan akan menakung dalam lopak yang terbentuk akibat golekan tayar bas. Bukan satu bukan dua lopak ini. Para penumpang yang turun dan naik bas, sewajarnya kena berhati-hati sebab jika salah langkah; boleh terjerlus dalam lopak ini. Bila bas mula bergerak meninggalkan kawasan stesen bas ini, semua penumpang dapat merasakan betapa ternginggut-hinggutnya bas itu, sebab tayarnya terjerlus dalam lopak dan terus bergerak untuk jatuh pula ke dalam lopak berikutnya. Sudah tentulah dalam tempoh yang panjang perkhidmatannya, ada suka duka bergayutan pada tabir indah memori bas ini. Kakitangan yang bertugas dengan syarikat bas ini pun ada berbagai karenah. Saya ada pengalaman berulang alik dari Simpang Lawin ke Lenggong dalam tahun 1987 dahulu setiap hari. Awal pagi saya sudah mendapatkan bas pukul 6.40 pagiuntuk ke Lenggong. Bas ini juga akan mengambil pelajar sekolah SMT Kati yang menunggu di Lubuk Merbau, Jelapang, Liman Kati, Changkat Jambu dan beberapa lokasi lagi. Drebar bas mungkin berusia sekitar 30an dan memang suka memandu laju. Setiap hari dia akan rempit bas buruk yang dipandunya. Bila ada sahaja budak sekolah menahan basnya, dia mula keriau macam melepaskan geram kerana rentak kelajuannya terpaksa diperlahankan. Demikianlahlah halnya, asal ada sahaja orang menahan bas; dia terpekik. Sudah menjadi habit. Saya pun tak berapa kisah sangat dia merempit laju, sebab akhirnya saya akan sampai ke pejabat lebih awal. Pukul 7.45 sudah sampai di Lenggong. Cuma lecehnya; masa dia memandu; saya tidak boleh melelapkan mata, takut bas yang dipandunya akan terbang ke mana-mana! Satu pagi saya terbangun sedikit lewat dan gagal mengejar bas 6.40 ini. Saya hanya beroleh bas pukul 7.15 pagi. Bas 7.15 pagi ini drebar dia Ah Mook, seorang lelaki Cina gemuk yang tinggal di Kampong Sira Lenggong. Dia memang slow rock semasa membawa bas, peramah habis kerana setiap orang yang naik dia akan interbiu dahulu; mana mau pigi, satu orang saja ka, itu anak besar punya sudah kawin ka dan macam-macamlah. Ah, selepas jam 8.00 lah jawabnya aku baru boleh sampai pejabat kalau macam ini. Sesampai di satu selekoh berhampiran bendang di Kampung Changkat Jambu, kelihatan orang begitu rtamai berkumpul. Waa, ada eksiden woo!! Eksiden wooo!!. Wa basss ooooo!!!:, Ah Mook terjerit pekik sambil memperlahankan basnya. Aku melepaskan pandangan ke tengah bendang, dan memang bas pukul 6.40 yang aku selalu naik setiap hari itu sudah berkubang di sana. Mak oi; kalau aku awal pagi tadi; memang dengan aku-aku sekali terobang tengah bendang. Syukor Alhamdulillah. Saya tidak tahulah apa sebenarnya yang berlaku sehingga bas ini terlibat dalam kemalangan pagi ini. Namun, saya pernah mendengar si pemandu sewaktu bersembang dengan konduktor, pernah menzahirkan kekecewaan kerana diberikan bas buruk untuk dipandunya. Bas lama, sudah pastilah sering mengalami beberapa masalah teknikal yang menghantui tumpuan si pemandu tadi. Esok aku hayun bas ni dalam gaung baru tahu dik demer, dia pernah merungut kepada rakan sekerjanya. Namun bas buruk itu, pada pagi ini sudah berkubang dalam bendang. Apakah satu kemalangan atau si drebar itu sendiri yang menghayun bas ini masuk bendang. Wallahuaklam. Pengalaman bersama bas ini memang berwarna-warni; setidak-tidaknya dwi-warna, merah dan kuning.
Posted on: Thu, 07 Nov 2013 06:48:04 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015