Mahasiswa sibuk-lah! – Usamah Muein The university cannot be - TopicsExpress



          

Mahasiswa sibuk-lah! – Usamah Muein The university cannot be an ivory tower, far away from the society, removed from the practical accomplishments of the Revolution. If such an attitude is maintained, the university will continue giving our society lawyers that we do not need. - El Che (1959) Universiti merupakan sejenis institusi pendidikan tinggi dan pengkajian yang menawarkan pelbagai bidang kepakaran dan kemahiran di pelbagai peringkat. Jika dirujuk kata asal perkataan universiti itu sendiri yang dipetik daripada frasa bahasa latin universitas magistrorum et scholarium , ia membawa erti “masyarakat pakar dan pengkaji”. Kita percaya bahawa masharakat pakar dan pengkaji yang dilahirkan melalui universiti-universiti tidak lain dan tidak bukan adalah untuk kepakaran dan kajian mereka dapat dimanfaatkan manusia lain. Namun falsafah serta matlamat kewujudan universiti dalam melahirkan golongan cendekiawan, intelektual dan bijak pandai yang akhirnya mampu menjadi agen perubahan kepada masyarakat, sepertinya semakin pudar dan tercemar. Universiti kini mirip kilang yang mengeluarkan model-model robot yang tidak mampu berfikir dan sekadar memenuhi permintaan pasaran kaum pemodal. Sibuk atau disibukkan? Penuntut-penuntut universiti atau dikenali sebagai mahasiswa, kebanyakannya sering beralasan sibuk apabila diajak untuk terlibat dalam program-program kemasyarakatan, diskusi ilmiah, berpartisipasi dalam aktivisme dan apa-apa jua perkara yang di luar bidang yang mereka pelajari. Apa yang ada dalam kepala mereka hanyalah assignment, presentation, group discussion, test, quiz, exam, pointer, dean’s list dan seumpamanya. Jika ada yang bertanggapan saya cuba memperkecil atau mungkin juga mengkesampingkan perkara-perkara tersebut, bermakna mereka silap. Tuntutan sebagai pelajar itu harus dilaksanakan namun dalam masa yang sama mahasiswa juga mesti punya rasa tanggungjawab pada masyarakat, ia perlu bergerak seiring. Keutamaan mahasiswa tidak seharusnya tertumpu untuk perkara-perkara tersebut sahaja. Malah lebih jauh daripada itu mereka harus hadir berada dalam realiti masyarakat untuk disumbangkan segala ilmu dan pengalaman yang ditimba di universiti. Generasi Y atau singkatannya Gen-Y mungkin menjadi istilah paling tepat untuk merujuk kepada mahasiswa hari ini tapi pada saya istilah paling tepat ialah ‘me generation’. Terma ini muncul apabila manusia mula meletakkan ‘self-realization’ dan ‘self-fulfillment’ itu lebih utama untuk diri mereka berbanding tanggungjawab kepada masyarakat. Kita dapat lihat realiti di mana-mana universiti pada hari ini betapa ‘me generation’ ini sedang berkembang apabila mahasiswa hanya berfikir tentang diri mereka dan tidak cakna terhadap isu-isu sekeliling yang tidak ada sangkut paut dengan kehidupan mereka. Asal perut kenyang, markah cukup-cukup makan dan sekali sekala boleh belanja awek makan, menonton wayang menggunakan duit PTPTN, itu sudah memadai mengisi kehidupan mereka. Kenapa mahu ambil peduli tentang politik? Apa perlunya ambil tahu tentang warga tanpa rumah? Orang miskin dan anak yatim? Nasib anak-anak kelas corot? Ahli parlimen kan ada? Menteri? Jika begitulah perkiraan fikiran mereka, makanya congakan ini silap! Mahasiswa harus jelas tentang tanggungjawab untuk membangunkan masharakat madani bukan terletak pada bahu ahli-ahli politik semata-mata, ia tanggungjawab bersama seluruh rakyat Malaysia terutamanya mahasiwa. Malanglah bagi golongan mahasiwa jika kehidupan mereka hanya mengulang-ulang kitaran yang sama setiap hari. Melakukan rutin harian berulang alik dari kolej kediaman ke kelas, seterusnya ke kafe dan mungkin sesekali ke perpustakaan apabila tiba waktu peperiksaan. Hanya sekadar itu hari dihabiskan. Ini merupakan pemaknaan hidup yang sangat sempit untuk seorang manusia yang dimuliakan dengan akal oleh Tuhan-Nya berbanding makhluk lain. Kitaran hidup seperti ini tidak ada bezanya dengan robot yang dikawal oleh dan diprogramkan mindanya . Sikap individualistik, pentingkan diri atau disebut juga sebagai sikap ‘nafsi-nafsi‘ seperti ini adalah barah kepada perkembangan tahap daya fikir mahasiswa yang sepatutnya menjadi penggerak dan penyumbang kepada pembentukan masharakat madani. Pengupayaan daya fikir mahasiswa seolah-olah telah menjadi lumpuh apabila mereka sendiri tidak mampu memanfaatkan ilmu-ilmu yang dipelajari dalam kuliah. Pernahkah kita terfikir apakah konotasi di sebalik perkataan mahasiswa itu sendiri? Kenapa pada perkataan mahasiswa itu wujud kata ‘maha’ di depannya? Ini kerana mahasiswa adalah kumpulan pelajar di peringkat tertinggi menuntut ilmu secara formal yang sepatutnya penguasaan mahasiswa terhadap pelbagai disiplin ilmu berada pada tahap sangat baik dan membanggakan. Inilah ruang dan masa yang paling produktif untuk mereka menimba sebanyak mungkin ilmu dan pengalaman. Malangnya, kegahan nama mahasiswa telah dikecilkan dan disempitkan ruang lingkupnya. Fikiran dan tenaga mereka hanya mampu berlegar setakat pintu pagar universiti, sedangkan kelebihan-kelebihan ini sepatutnya boleh dimanfaatkan oleh masharakat melalui lapangan-lapangan yang melangkau jauh daripada ia hanya terkepong di sebalik pagar universiti. Mahasiswa juga seolah-olah telah dibentuk sikap mereka agar tidak ambil peduli tentang realiti yang berlaku di luar sana. Dunia dan pandangan mereka ditembokkan daripada melihat kehidupan realiti masyarakat yang sedang ‘sakit’. Mereka mungkin lupa bahawa suatu hari nanti mereka akan keluar daripada alam universiti dan akan menjadi pemimpin pelapis yang akan memandu hala tuju negara. Ketika itu barulah mereka sedar dan melihat keadaan realiti. Kata Pak Natsir, Pemimpin itu bukan lahir dari dewan kuliah, tetapi lahir daripada denyut nadi rakyat”. Proses menjadi pemimpin tidak berlaku sehari dua kerana ia proses sepanjang hidup. Ia juga tidak mungkin berlaku dalam keadaan mahasiswa yang mindanya terpenjara di bilik-bilk kuliah tanpa memahami dan merasai perit jerih dan derita. Mahasiswa perlu segera sedar dan bebaskan diri dari terus terperangkap dalam sistem pendidikan yang rosak. Semata-mata berjuang melawan sebuah sistem yang rosak tidak mejadikan kita lebih baik daripada mereka yang menjadi hamba kepada sistem. Paling penting adalah untuk tidak membiarkan diri kita terbelenggu dan tertawan oleh sebuah hegemoni yang cuba dijelmakan atas nama pendidikan. Sistem pendidikan di universiti benar-benar berjaya menfantasikan kehidupan mahasiswa daripada berpijak pada alam realiti . Di saat realiti masyarakat memperdengarkan seribu satu macam masalah, mahasiswa di univeristi seolah-olah dicandukan dengan fantasi-fantasi yang indah. Khayal dan tenggelam dalam cita-cita dan matlamat yang hanya mementingkan poket dan perut sendiri tanpa ada sedikit pun ada rasa tanggungjawab terhadap pemberdayaan masyarakat baik dari sudut material mahupun intelektual. Jiwa dan minda mahasiswa tidak seharusnya dijajah oleh apa jua bentuk sistem, entiti, mahupun pemikiran individu-individu tertentu yang boleh menjerat keupayaan sebenar mahasiswa. Suara mahasiswa adalah suara pendesak yang harus didengari atau setidak-tidaknya diteliti oleh pihak kerajaan mahupun pihak pembangkang. Semangat ini perlu disemai agar apa yang dicatat oleh Taufiq Ismail dalam puisinya tentang mahasiswa menjadi realiti; Mahasiswa takut pada dosen, Dosen takut pada rektor, Rektor takut pada menteri Menteri takut pada presiden Dan Presiden takut pada mahasiswa! Mahasiswa perlu berani untuk berhujah dan berpendirian dalam apa jua isu dan sudah tentu sebelum mereka mampu untuk berhujah dan berpendirian, mereka terlebih dahulu perlu untuk mengambil tahu apa yang berlaku di sekeliling mereka . Sikap kritikal dan sikap tidak mudah ikut-ikutan harus dikukuhkan dalam diri mahasiswa bagi mendepani zaman yang penuh mencabar. Saya akhiri tulisan ini dengan sebuah ‘unknown qoute’ tentang makna pendidikan yang pada saya cukup untuk menggambarkan hakikat dan tujuan untuk apa sebenarnya sesuatu ilmu itu dipelajari , “Education is the assimilation of knowledge for the dissemination of truth!” Sama-samalah kita sibukkan diri untuk merenung, berfikir dan seterusnya bertindak! – 27 November, 2013. * Penulis adalah seorang mahasiswa UIA dan adalah Timbalan Presiden Kelab Mahasiswa TFTN.
Posted on: Sat, 30 Nov 2013 16:23:55 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015