Malaysia kongsi kepakaran ICT JAKARTA 19 Sept. - Malaysia bersedia - TopicsExpress



          

Malaysia kongsi kepakaran ICT JAKARTA 19 Sept. - Malaysia bersedia berkongsi kepakaran dan prasarana pembangunan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) kepada syarikat-syarikat asing, khususnya dari Indonesia yang berminat untuk membangunkan sektor itu. Pesuruhjaya Perdagangan Malaysia ke Indonesia, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Nadzri Shamsuddin berkata, kelebihan yang ada pada Malaysia ialah memiliki kepakaran dan prasarana yang menepati keperluan sektor ICT bertaraf dunia. Katanya, pembangunan ICT di Malaysia menawarkan peluang perniagaan yang cukup besar mencakupi sektor multimedia dan kandungan kreatif. "Dalam ICT, sektor multimedia dan kandungan kreatif menawarkan peluang kerjasama yang luas dan boleh terus dikembangkan dengan mengadakan kerjasama dengan negara jiran. Apatah lagi di Jakarta, khususnya yang merupakan destinasi pasaran yang menarik. "Jakarta ialah pusat hiburan dan industri kandungan Indonesia. Justeru, ini merupakan peluang untuk syarikat penerbitan dan produksi di Malaysia untuk mencari ruang kerjasama dalam sektor ICT dengan syarikat Indonesia," kata Nadzri kepada wartawan di sini hari ini. Buat pertama kali, Matrade menerajui delegasi syarikat multimedia dan kandungan kreatif Malaysia ke Indonesia dalam misi pemasaran khusus untuk meningkatkan peluang kerjasama antara kedua-dua negara. Misi perdagangan yang bermula dari 17 hingga 20 September itu disertai oleh 28 syarikat multimedia dan kandungan kreatif tempatan. Sebelum ini, beberapa syarikat Malaysia sudah meneroka pasaran Indonesia menerusi penerbitan siri animasi paling popular, Upin & Ipin serta yang terbaru siri Boboboi. Upin & Ipin mencetus fenomena luar biasa dalam kalangan 250 juta rakyat Indonesia apabila disiarkan di stesen televisyen tempatan. Bertitik tolak daripada kejayaan siri itu, Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC) serta syarikat-syarikat Malaysia bekerjasama dengan Matrade untuk menjadikan Indonesia sebagai pasaran utama. Sementara itu, Naib Presiden Bahagian Kreatif Multimedia, MDeC, Kamil Othman berkata, penyertaan MDeC dalam misi perdagangan kali ini meyakinkan beliau bahawa Malaysia mampu menjadi hab kepada pembangunan sektor ICT.
Posted on: Fri, 20 Sep 2013 18:18:40 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015