Menilai Silat Kebatinan Dengan Syariat Allah Tidak dapat - TopicsExpress



          

Menilai Silat Kebatinan Dengan Syariat Allah Tidak dapat dinafikan bahawa di antara warisan yang sangat berharga di kalangan masyarakat melayu khususnya dalam seni mempertahankan diri adalah silat. Tidak dapat dinafikan bahawa seni silat memainkan peranan penting melahirkan pahlawan-pahlawan melayu yang gagah perkasa menentang penjajahan dan musuh Negara sepanjang zaman. Tidak dapat dinafikan juga bahawa pengamalan ilmu persilatan mampu melahirkan generasi yang kuat fizikal dan mental. Menurut sejarah, ilmu persilatan telah muncul di nusantara ini sebelum datangnya dakwah Islam. Setelah Islam datang dan mula menjadi anutan sebahagian besar umat melayu di rantau ini maka berlakulah proses yang dinamakan sebagai islamisasi terhadap setiap amalan melayu termasuk amalan silat. Islam sangat menggalakkan umatnya agar menjadi manusia yang kuat dan sihat fizikal dan mental seperti mana Rasulullah SAW bersabda, الْمُؤْمِنُ الْقَوِىُّ خَيْرٌ وَأَحَبُّ إِلَى اللَّهِ مِنَ الْمُؤْمِنِ الضَّعِيفِ Maksudnya: “Mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dicintai oleh Allah daripada mukmin yang lemah.” (riwayat Imam Muslim no. 2664 dalam kitab Al-Qadar) Kedudukan ilmu batin dalam persilatan Kegagalan memahami ilmu tauhid yang benar seperti yang digariskan melalui Al Quran dan As Sunnah menurut kefahaman para sahabat menyebabkan berlaku banyak kepincangan dalam aspek-aspek lain termasuklah mereka yang terlibat dalam seni silat. Kita tidak boleh menafikan bahawa hubungan seni silat dengan amalan kebatinan sangat berkait rapat umpama ombak dan pantai, umpama irama dan lagu sebagaimana hujah yang ditegakkan oleh mereka bahawa silat tanpa kebatinan umpama jasad yang nampak gagah tetapi tanpa roh di dalamnya. Di antara perkara-perkara kebatinan di dalam persilatan yang akan dikupas secara ringkas pada hari ini; Pertama ialah pertapaan. Ia merupakan salah satu ritual wajib bagi mereka yang terlibat dalam ilmu kebatinan. Mereka perlu mencari tempat-tempat yang sunyi seperti kubur-kubur yang dianggap keramat, gunung dan pulau. Meditasi mereka mirip kepada amalan yoga di kalangan penganut Buddha. Mereka yang bertapa mestilah menempuh beberapa fasa; 1) konsentrasi, 2) meditasi, 3) mengelakkan diri daripada melakukan larangan-larangan tertentu. Walaupun diberi nama Islam seperti suluk, uzlah dan sebagainya, menyerapkan unsur-unsur zikir di dalam meditasi yang selama ini berasal daripada agama Buddha dan pemujaan dewa-dewa digantikan dengan zikir kepada Allah SWT, hukumnya adalah haram kerana menyerupai sesuatu amalan yang kafir. Apabila sesuatu ritual itu berasal dari ajaran agama lain, walau ia disolek dan diperindah bagaimanapun ia tetap haram kerana berpunca bukan daripada wahyu Islam. Seolah-olah najis yang dimasukkan ke dalam acuan dan dibentuk menjadi kueh, walau dihias bagaimana pun ia tetap najis. Seperti yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Dawud, Ahmad dan Thabrani, مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ Maksudnya: “Barangsiapa yang menyerupai suatu kaum, maka dia termasuk golongan mereka.” Cuba bayangkan sekiranya bertapa ini dibenarkan di dalam Islam, bagaimana dengan solat jemaahnya? Bagaimana dengan solat Jumaatnya? Bagaimana mungkin seorang muslim itu perlu mengamalkan ritual tersebut dengan mengabaikan banyak tuntutan agama yang lain. Janganlah amalan Nabi SAW beruzlah di gua hirak dijadikan hujah untuk membenarkan pertapaan kerana amalan tersebut tidak pernah diteruskan oleh Rasulullah SAW dan tidak pernah dicontohkan oleh para sahabat RA. Sekiranya perkara itu baik sudah tentu mereka meneruskannya. لو كان خيرا لسبقون إليه “Sekiranya perkara itu baik sudah tentu para sahabat telah mendahului kita mengamalkannya.” Ilmu kebal Dan di antara amalan kebatinan yang sangat terkenal dalam seni persilatan melayu ialah ilmu kebal. Yang dimaksudkan ilmu kebal ialah mereka yang menguasai ilmu berkenaan setelah membaca mentera, jampi, ataupun melakukan ritual tertentu maka mereka tidak lut apa-apa senjata ataupun senjata-senjata tertentu. Di antara jampi kebal yang terkenal diamalkan dalam persilatan, contohnya seperti lafaz berikut, “Allah payung aku, Jibril kota aku, malaikat 44 pagar aku. Aku berjalan dengan kuasa Allah, aku melenggang dengan melenggang Muhammad. Bukan kata aku, kata Allah dengan berkat doa La Ilaaha illallah Muhammadur Rasulullah.” Lihatlah, mentera yang dimulai dengan bismillah, ditutup dengan La ilaha illallah Muhammadur Rasulullah bahkan banyak lagi dalam lafaz yang lain seperti gajah berlenggang dalam dusun, mambang itu mambang ini dan sebagainya. Bukan niat hendak mengajar ilmu kebal tetapi ingin membongkar apa sebenarnya yang ada di sebalik kekebalan itu. Syaikh Abdul Wahid Salim Bali di dalam kitabnya yang terkenal Ash Sharim Al Batthar menjelaskan bahawa kekebalan manusia daripada senjata tajam adalah kerana bantuan jin. Firman Allah SWT di dalam surah Al Jin, وأنه كان رجال من الإنس يعوذون برجال من الجن فزادوهم رهقا Maksudnya: “Dan bahwasanya ada beberapa orang laki-laki di kalangan manusia meminta perlindungan kepada beberapa laki-laki di kalangan jin, maka jin-jin itu menambah bagi mereka dosa dan kesalahan.” (surah Al Jin, 72: 6) Kadang-kadang mereka yang ingin mencapai ilmu kebal perlu menjalani puasa khas yang dinamakan puasa mutih. Mereka meninggalkan makanan-makanan berdarah, mereka makan hanya nasi dalam tempoh-tempoh tertentu. Ritual seperti ini tidak lain tidak bukan adalah berasal daripada agama Hindu. Puasa adalah ibadah, wajib ibadah itu memenuhi dua syarat. Seperti mana digariskan oleh Fudhayl bin ‘Iyadh, ibadah mestilah memenuhi dua syarat; 1) ikhlas, 2) ittiba’ iaitu mengikuti apa yang dicontohkan oleh Rasulullah SAW. Puasa seperti ini (puasa mutih) tidak ada di dalam Islam maka boleh mengundang syirik kerana seseorang itu berpuasa bukan kerana ibadah tetapi kerana ingin mendapatkan suatu kuasa, ilmu kebal, dan sebagainya. Apakah alasan mereka untuk mempelajari ilmu kebal? Di antara hujah mereka ialah ilmu kebal sangat penting supaya dapat mempertahankan diri daripada musuh dan mampu membuktikan kehebatan umat Islam untuk berjihad di jalan Allah SWT. Tanyakan kepada mereka, sekiranya kita kebal maka amat malanglah kita kerana tiada lagi peluang untuk kita mati syahid di jalan Allah sedangkan syahid itu adalah semulia-mulia jalan yang diidamkan dan dirindukan oleh para sahabat RA. Mentera dan Jampi Jampi serapah adalah sesuatu yang tidak dapat dinafikan wujud di dalam ilmu kebatinan. Kadang-kadang mentera ini bercampur dengan ayat Al Quran dan ada pula dalam bentuk doa dalam bahasa arab. Amatlah malang bagi mereka yang menganggap setiap ayat dalam bahasa arab itu adalah doa, Al Quran ataupun hadis. Pernah saya mendengar seorang membacakan mentera di depan saya, beliau memulakan dengan bismillah, beliau membaca “A’uzubillahiminasysyathaanirraheem bismillahirrahmanirrajeem.” Na’udzubillahi min dzaalik! Satu lafaz yang kufur, boleh membatalkan akidahnya disebabkan ingin mencapai sesuatu hajat. Sekiranya perkara ini tidak dijelaskan kepada masyarakat maka ramailah di kalangan kita yang terbatal akidahnya, maka rugilah kerana dia akan kekal di dalam neraka sekiranya tidak sempat bertaubat kepada Allah sebelum mati. Ada juga ritual-ritual silat yang menggunakan lafaz-lafaz seperti Assalamu’alaikum Allah Ta’ala, Assalamu’alaikum malaikat Jibril dan sebagainya, benda yang tidak pernah dicontohkan oleh salafussoleh. Sedangkan tidakkah sampai ke telinga mereka hadis Nabi SAW dalam sahih Al Bukhari diriwayatkan oleh Ibn Mas’ud, لَا تَقُولُوا السَّلَامُ عَلَى اللَّهِ، فَإِنَّ اللَّهَ هُوَ السَّلَامُ Maksudnya: “Jangan kalian mengucapkan Assalaamu‘alallaah, kerana Allah adalah As-Salaam.” Kadang-kadang lafaz mentera yang digunakan mengandungi lafaz tawassul iaitu menjadikan makhluk sebagai perantara untuk memohon kepada Allah seperti lafaz “aku memohon keramatnya syaikh Subandari, Syaikh Maddi, Syaikh Khuri, Ya Hanafi, Ya Syafi’i, Ya Maliki, Ya Hanbali, Ya Allah, Ya Allah, aku mohon berkat keramatnya supaya melindungi aku daripada hajatku” dan sebagainya. Habis disenaraikan ulama mujtahid. Adakah mereka redha dengan perkara ini? Tidak pernah ia dicontohkan oleh para salafussoleh. Atau mereka menggunakan lafaz istighatsah iaitu menyeru nama sambil bertawajjuh “Ya Syaikh fulan bin fulan silalah hadir kepada saya, saya ada keperluan”, “Ya Abuya, Ya Syaikh, Ya Ghauzul ‘Azim, bantulah saya.” Ini semua lafaz-lafaz yang diguna pakai di dalam silat. Seterusnya di antara tarikan utama mereka yang kurang memahami agama untuk menceburkan diri di dalam ilmu kebatinan ialah mereka akan mampu membuat pukulan dari jarak jauh. Barangkali mereka terlalu banyak menonton rancangan fiksyen yang menyebabkan akal mereka tidak seimbang, tidak dapat membezakan perkara yang benar dan salah. Campur tangan iblis dan syaitan Perkara-perkara seperti ini merupakan perkara yang mencarik adat, di mana sepatutnya secara saintifiknya begini tetapi yang berlaku adalah berlawanan dengan saintifik maka tidak lain tidak bukan ada di sana campurtangan daripada jin. Hujah mereka adalah kekuatan ajaib ini datang dengan bantuan malaikat, jin muslim, ruh kaum muslimin yang soleh, mereka terdiri daripada roh para wali dan solihin. Ini adalah hujah mereka. Katakan kepada mereka, para malaikat adalah makhluk Allah yang taat perintah Allah. Setiap malaikat ada tugas masing-masing atas perintah Allah. Dan malaikat ini tidak akan sesekali memenuhi panggilan, kehendak dan tuntutan manusia, apatah lagi mereka yang terdiri daripada orang yang rosak akhlaknya. Dan tanyakan kepada mereka, bahawa apa yang mereka tahu tentang jin yang datang itu, dari mana mereka mengetahui jin itu muslim ataupun tidak. Jin muslim yang taat kepada suruhan dan larangan Allah tidak akan sesekali mencampuri urusan manusia. Lihat sahajalah manusia yang ada di sekeliling kita yang suka berurusan dengan jin, adakah manusia yang baik ataupun manusia yang bagaimana? Manusia di kalangan kita yang suka berurusan dengan alam lain ini tidak lain tidak bukan adalah ahli sihir, bomoh, dukun dan sebagainya. Begitu juga mereka daripada alam jin yang cuba berinteraksi dengan manusia adalah terdiri daripada jin-jin fasiq dan kafir yang bertujuan menyesatkan manusia. Mereka mendakwa roh para auliya dan para solihin membantu mereka; roh wali songo, Syaikh Abdul Qadir Al Jailani, Nabi Khidir dan sebagainya. Katakan kepada mereka, roh di alam barzakh bukanlah pelancong yang boleh ke mana-mana mengikut citarasa mereka. Disebut di dalam nas Al Quran dan hadis, roh orang soleh ditempatkan di taman-taman syurga Allah, manakala roh mereka yang kafir ditempatkan di neraka Allah. Bagaimana mereka boleh memenuhi keperluan manusia, meninggalkan nikmat syurga sekejap untuk mengajar silat? Atau meninggalkan azab sekejap untuk mengajar silat. Perkara ini mustahil. Tinggalkan syubhat dan Pelajari Akidah yang benar Hancurkanlah syubhat mereka, katakan kepada mereka bahawa yang datang berdamping dan menolong urusan mereka di dalam hal-hal kebatinan tersebut tidak lain tidak bukan adalah iblis dan syaitan. Mereka akan memenuhi setiap permintaan makhluk dengan izin Allah bertujuan untuk menyesatkan anak cucu Adam daripada jalan kebenaran. Saya menyeru kepada mereka yang terlibat dengan amalan kebatinan ini supaya bertaubat dengan taubat nasuha kepada Allah ‘Azza wa Jall, kemudian kukuhkanlah taubat itu dengan menghadiri majlis-majlis ilmu terutama pengajian ilmu tauhid. Percayalah, seorang mukmin yang jelas tauhidnya akan mampu membezakan antara yang haq dan batil, antara ketulenan agama dan tokok tambah. Sekiranya ilmu-ilmu kebatinan yang sangat ajaib ini adalah ilmu yang diredhai oleh Allah, sudah tentu manusia pertama yang mendapat ilmu ini adalah Rasulullah SAW kerana Rasulullah adalah manusia yang paling Allah cinta. Dan sekiranya ilmu ini ada pada Rasulullah, sudah tentu Rasulullah telah mengajarkannya kepada para sahabat RA. Rasulullah sayang kepada Hamzah, Ja’far, dan sahabat-sahabatnya yang lain, maka sudah tentu ilmu kebal ini diajar kepada mereka. Tetapi sejarah membuktikan Rasulullah patah giginya. Rasulullah hidup seperti manusia biasa. Sahabatnya Hamzah mati syahid di dalam peperangan, khalifah Umar Al Khatthab dibunuh oleh majusi, khalifah Utsman dibunuh oleh Yahudi, Ali bin Abi Thalib dibunuh oleh khawarij, dan semua itu membuktikan mereka tidak ada ilmu kebal. Di mana jurus jarak jauh, di mana kebalnya mereka sedangkan para sahabat Nabi RA itu lebih layak untuk semua itu. Mereka lebih mulia berbanding kita, bahkan debu-debu pada kaki mereka lebih mulia daripada kita. Bertaqwalah kepada Allah dengan sebenar-benar takwa kerana inilah hakikat kebatinan yang sebenar. Para sahabat merupakan generasi yang lurus tauhidnya, indah akhlaknya, bulat tawakkal mereka kepada Allah. Mereka berasal daripada kaum jahiliyah yang melalui madrasah tarbiyah Rasulullah SAW. Mereka menjadi generasi manusia yang hebat dan diiktiraf oleh langit dan bumi. Mereka menguasai satu pertiga dunia tanpa sebarang ilmu kebatinan. Lihatlah sejarah, mereka seramai tiga ratus orang mampu mengalahkan musyrikin seramai seribu orang di Badar. Mereka turut mengalahkan pakatan musyrikin seramai tiga ribu orang sedangkan mereka hanya seramai seribu orang di Uhud, dan di Medan Mu’tah yang menjadi saksi keangkuhan tentera Rom dihancur dan diganyang oleh tentera muslimin. Mereka seramai dua ratus ribu orang tentera lengkap bersenjata dikalahkan oleh tentera muslimin seramai tiga ribu orang. Tidak pernah tercatat mereka mempelajari ilmu batin, tetapi hanya dengan bekal takwa, tawakkal yang bulat kepada Allah, iman yang sempurna, tauhid yang bersih. Dan banyak lagi siri-siri peperangan di mana tentera muslim menghadapi musuh yang berlipat kali ganda kekuatan daripada mereka tetapi menjanjikan kemenangan dan kemuliaan kepada mereka tanpa menuntut sebarang ilmu kebal, kebatinan dan sebagainya. Sekali lagi saya menyeru kepada mereka yang masih sayang untuk meninggalkan amalan-amalan kebatinan dengan alasan yang pelbagai, sayangilah tauhid anda. Islam mengajar ilmu kebal, tetapi kebal daripada godaan syaitan dan kebal daripada api neraka Allah SWT. Itulah kebal yang hakiki. Dan kepada mereka yang masih mempertahankan amalan kebatinan tersebut, usahlah hanya menunjuk hebat di rancangan-rancangan televisyen dan youtube. Gunakanlah segala ilmu kebatinan yang penuh di dalam dada anda itu untuk berjihad menentang kezaliman tentera Bashar Al Assad di Syria, gunakanlah jurusmu untuk menghancurkan yahudi yang sedang meratah tanah suci Palestin, dan gunakanlah segala mentera jampi serapahmu untuk membebaskan kaum muslimin di seluruh dunia yang ditindas oleh musuh durjana. Lihatlah sejarah 1511, tentera Portugis datang ke Melaka, mereka tidak membawa ilmu batin tetapi mereka membawa sains dan teknologi, Alfonso menggunakan sains dan teknologi mengalahkan masyarakat melayu yang sedang banyak melakukan khurafat pada masa itu. Palestin dirampas daripada umat Islam oleh tentera salib menggunakan sains dan teknologi. Begitu juga kerajaan Islam di Kordova di Sepanyol diruntuhkan dengan sains dan teknologi. Mereka ini tidak pernah bergantung kepada amalan-amalan kebatinan, ilmu kebal, mentera dan sebagainya. Kembalilah kepada amalan berpandukan Al Quran dan As Sunnah, tegakkanlah tauhid yang benar, dirikanlah solat fardhu dan tambahkanlah dengan amalan sunat. Amalkanlah zikir pagi dan petang dan beragamalah sepertimana para sahabat beragama dan mempertahankan agama. Itulah kebal yang sebenar. Kekosongan jiwa dan membiarkan diri hanyut dalam kejahilan menyebabkan manusia mudah diperdaya oleh syaitan yang cuba menjatuhkan kita dari jalan kebenaran.
Posted on: Sat, 29 Jun 2013 08:46:41 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015