Mustahil berjaya selagi kecil jiwa MUHAMMAD ALI HASHIM 16 - TopicsExpress



          

Mustahil berjaya selagi kecil jiwa MUHAMMAD ALI HASHIM 16 September 2013 * “MUSTAHIL bangsa Melayu berjaya dengan cemerlang dan umat Islam menjadi umat terbaik (khaira ummah) di dunia selagi bersikap kecil jiwa!” Itulah mesej yang saya sampaikan dalam sesi “Inspirasi Bisnes” di Radio IKIM fm minggu lalu. Tidak kira sama ada dalam perjuangan politik membela bangsa dan masa depan negara, berentap di arena sukan, bersaing memburu ilmu menguasai teknologi, atau berusaha membina bisnes memperkaya diri dan keluarga, selain memakmur negara menjayakan ekonomi bangsa. Selagi masih ramai Melayu dan umat Islam berjiwa kecil, selagi itulah mereka mudah ditewaskan di semua bidang persaingan oleh semua bangsa dan umat lain di dunia. Lupa siapa kita! Perhatikan: Orang kecil jiwa lemah penguasaan bisnes, mengakibatkan ekonomi dikuasai orang lain. Apabila ramai ahli bisnes Melayu kecil jiwa, kedudukan ekonomi Melayu merosot dan goyah; seluruh masa depan tergugat dan terancam. Akibatnya, Melayu ketinggalan jauh, ketandusan harta justeru miskin relatif, dipinggir dan dikesampingkan swasta perkasa milik orang lain. Bahayanya, sekali pun Melayu warga majoriti perkasa politik di bawah demokrasi, kelemahan ekonomi menjadi antara punca utama kuasa politik terpaksa dikompromi. Satu-satu bangsa atau umat mempunyai sifat kecil jiwa apabila hilang keyakinan diri, langsung akhirnya patah semangat juang. Orang berjiwa kecil umumnya malas berfikir dan berusaha; lalu tidak kreatif, ketandusan inisiatif, lambat dan lesu dalam bertindak kerana takutkan kegagalan, atau kerana hanya menantikan arahan. Mereka lebih senang tidak berbuat apa-apa, sekali pun untuk memperbaiki atau membela nasib masa depan. Justeru, manusia kecil jiwa sangat miskin cita-cita, menjadikan mereka seumpama orang “kaya segan, miskin tak mahu”! Profesor Hamka dalam karya besarnya “Tafsir Al-Azhar” pernah mendefinisikan orang kecil jiwa sebagai orang yang “… terus menyerah sahaja pada nasib, berjiwa budak (hamba), bertuhankan manusia … takut segala orang yang berpangkat …” Dalam konteks hari ini termasuk dalam golongan orang kecil jiwa manusia yang juga takut kepada orang yang lebih berharta! Antara sifat paling menonjol orang kecil jiwa ialah terlalu memandang rendah keupayaan diri, justeru lemah semangat dan kerdil cita-cita; rendah jati diri dan tidak segan hidup meminta-minta. Penyakit kecil jiwa adalah antara kelemahan besar bangsa Melayu dan umat Islam hari ini hingga menyebabkan ramai Melayu lupakan hakikat bahawa mereka adalah satu bangsa berdarah pahlawan. Basmi kecil jiwa dengan Jihad Bisnes Golongan peniaga, usahawan, ahli bisnes dan korporat Melayu mempunyai peranan istimewa mencari jalan keluar, bermula dengan membasmi penyakit kecil jiwa dalam diri masing-masing. Mereka wajib menerima hakikat ini sebagai satu pra-syarat kejayaan dan cara terbaik ialah menjadikan usaha bisnes sebagai satu perjuangan bertaraf jihad bertujuan membebaskan diri dari belenggu warisan budaya melukut dan kecil jiwa. Pertama-tama, pantang sekali mereka melihat perniagaan sebagai satu “usaha melukut”, bagaimana rendah, kecil atau simple usahanya sekali pun. Usahawan berjiwa besar akan memupuk cita-cita tinggi dan bersungguh lagi kreatif memburu kejayaan besar dan bermakna. Dalam sesi di Radio IKIM fm saya ambil contoh bisnes menggunting dan mendandan rambut. Saya tonjolkan contoh bagaimana seorang usahawan penggunting dan pendandan rambut di London bernama Vidal Sassoon akhirnya berjaya menjadi jutawan terkenal tahap global. Vidal Sassoon anak yatim dari keluarga miskin mula bekerja pada umur 14 tahun sebagai perantis di kedai pendandan rambut, akhirnya berjaya menjadikan nama peribadinya jenama besar global bernilai tinggi. Beliau menempa nama sebagai pendandan paling kreatif. Beliau sedar kejayaan bisnes lebih besar hanya boleh dicapai bukan sahaja dalam waktu kerja malah juga “sewaktu tidur nyenyak”. Lalu beliau bertekad melipat-gandakan pendapatan dengan mencipta dan mengeluarkan produk dan alat pengguntingan dan dandanan rambut berjenama. Menjelang umur 55 tahun beliau berjaya menjual bisnes dan aset jenamanya kepada gergasi korporat Proctor & Gamble dengan harga melebihi AS$100 juta. Beliau meninggal dunia pada umur 84 tahun pada 2012 dengan meninggalkan harta pusaka melebihi RM500 juta - satu pencapaian hebat dan luar biasa bagi seorang yang memulakan kerjaya berniaga sebagai penggunting dan pendandan rambut biasa! Pemimpin berjiwa kecil, bernafsu besar? Setelah lebih setengah abad bebas dan merdeka, tiba masanya bangsa Melayu dan umat Islam Malaysia hapuskan saki-baki sifat kecil jiwa. Jika ini gagal kita lakukan, bangsa Melayu dan umat Islam abad ke-21 akan berkelangsungan bergantung hidup kepada bangsa lain. Mustahil mereka menjadi umat “alyadul uliya” seperti disarankan Islam – iaitu umat yang tangannya berada di atas (the upper hand), yang lebih tinggi kedudukan dan lebih mulia martabatnya. Kejayaan membasmi kecil jiwa menuntut fokus kepada dua faktor utama dan paling membawa kesan dalam memperbaharui sikap dan pemikiran. Pertama, kepemimpinan dan kedua, corak organisasi bisnes dan korporat yang Melayu jadikan acuan atau landasan berbisnes. Gaya kepemimpinan antara faktor paling besar mempengaruhi pembentukan sikap, fahaman serta pandangan hidup Melayu; terutama kepimpinan di puncak sistem pemerintahan negara, diikuti gaya kepemimpinan di peringkat organisasi. Mustahil pemimpin negara atau organisasi kecil jiwa dapat melahirkan anak bangsa atau warga kerja berjiwa besar, berakhlak tinggi mulia. Jika pemimpin rakus, angkuh, rasuah dan nafsu-nafsi, rata-rata bahagian terbesar pengikut akan turut sama. Jika, seperti kata Hamka, rakyat jelata berjiwa kecil akan bertuhankan manusia dan takut kepada orang berpangkat, pemimpin kecil jiwa bernafsu besar pula akan bertuhankan kuasa dan bergelumang dalam kemewahan harta. Mereka akan gunakan pangkat dan jawatan membolot kuasa dan harta tanpa mempedulikan pahala-dosa atau terhakisnya nilai suci mulia. Untuk itu ada yang akan sanggup melanggar semua batasan halal-haram dan nahi mungkar menyebabkan rasuah dan korupsi berleluasa. Hak orang ramai dan khazanah negara milik generasi depan dikompromi politik, atau dibolot semuanya; diperibadikan, difaraid, dikroni atau diswastakan. Apabila semua ini berlaku, pasti kehidupan masa depan bangsa Melayu dan umat Islam semakin terdesak dan tertekan, selain amalan demokrasi dan syura turut diketepikan. Pemimpin kecil jiwa pasti mengecewakan kerana lembik, lemah, melampau peribadi atau self-centred; justeru lebih cenderung memanipulasi dan memburu populariti daripada memupuk semangat juang dan kesanggupan berkorban, menanam kegagahan dan keberanian mencapai sesuatu yang besar makna dan pengertian. Mereka tidak kreatif mencipta strategi, jauh sekali daripada sanggup mentransformasi atau memperbaharui institusi untuk pembangunan. Paling memudarat, pemimpin kecil jiwa takut kepada orang yang lebih berilmu dan berbakat, lalu lebih senang didekati dan didampingi orang lain yang juga kecil jiwa. Berlipat kali ganda malangnya bangsa dan negara jika dipimpin dan diterajui golongan pemimpin yang bukan sahaja kecil jiwa, tetapi juga besar nafsu dan gagal pula berjihad membendung nafsu besar diri. Corak acuan organisasi atau landasan bisnes yang digunakan juga sangat kuat mempengaruhi perilaku, mencorak minda dan membentuk fahaman, sekali gus mengesani akhlak dan jiwa warga organisasi. Perhatikan: Rata-rata bangsa Melayu dan umat Islam menciplak dan menerima pakai organisasi bisnes Barat berlandaskan syarikat milik individu swasta. Sistem melampau materialistik dan nafsu-nafsi ini menjadi punca pelebaran jurang kaya-miskin, mengakibatkan krisis dan konflik, selain merosakkan kehidupan masyarakat. Mustahil bangsa Melayu dan umat Islam dapat menegakkan ad-deen mencapai kemakmuran, keadilan dan kesejahteraan hidup berteraskan tamadun Islam selagi menciplak acuan sistem ekonomi Barat merosakkan tanpa pembaharuan Kesimpulannya, bangsa Melayu dan umat Islam tiada pilihan selain bangkit berjihad politik dan ekonomi menghapuskan wabak kecil jiwa. Mustahil mereka dapat membebaskan diri daripada cengkaman kecil jiwa, selagi mereka guna kaedah berekonomi dan berorganisasi berlandaskan acuan yang telah Barat gunakan, persis asalnya untuk menunduk dan mengecilkan jiwa mereka! * Tan Sri Muhammad Ali Hashim Presiden, Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) ali.bizjihad@yahoo S.H
Posted on: Mon, 16 Sep 2013 14:47:43 +0000

Trending Topics




© 2015