Nota | Sanad ilmiah al-Muhaddith Sheikh Haji Wan ‘Izzuddin - TopicsExpress



          

Nota | Sanad ilmiah al-Muhaddith Sheikh Haji Wan ‘Izzuddin bin Sheikh Haji Wan Ibrahim al-Fathani hafizahullah Ta’ala [Pak Njang Izzuddin] dalam disiplin ilmu hadith dinilai ali [tinggi], bahkan sukar hendak ditemui ulama Melayu-Nusantara seperti beliau yang sempat bermulazamah dengan muhaddith terkenal iaitu Maulana Zakaria al-Kandahlawi rahimahullah Taala. Siapa yang mengambil ijazah daripada beliau, bermakna, sanad orang itu hampir dengan al-Muhaddith Maulana Zakaria al-Kandahlawi rahimahullah Taala. Biografi Ringkas | Al-Muhaddith Sheikh Haji Wan ‘Izzuddin bin Sheikh Haji Wan Ibrahim al-Fathani hafizahullah Ta’ala [Pak Njang Izzuddin]. Kelahiran Dan Keturunannya Nama penuh beliau ialah Haji Wan Izzuddin bin Haji Wan Ibrahim bin Haji Wan Abdul Qader bin Wan Mustafa al-Fathani. Dikenali dengan nama Tuan Guru Sheikh Haji Wan Izzuddin atau Pak Njang. Beliau dilahirkan pada tahun 1944M. Anak ketujuh daripada 11 orang adik beradik. Ayahnya, Tuan Guru Haji Wan Ibrahim bin Haji Wan Abdul Qader atau dikenali sebagai Pak Chu Him Gajah Mati (1894 – w. 1968) adalah seorang tokoh ulama pondok terkenal di Kedah suatu masa dulu. Ibunya, Hajjah Zainab bin Haji Ismail bin Mustafa, ialah anak kepada Tuan Guru Haji Ismail bin Mustafa atau popular sebagai Tuan Guru Haji Che Dol Gajah Mati. Datuk sebelah ibunya ini ialah ulama tersohor Kedah yang mengasaskan Pondok Gajah Mati. Manakala, datuk di sebelah ayahnya pula, Haji Wan Abdul Qader bin Wan Mustafa atau lebih dikenali sebagai Tok Bendang Daya (w. 1312H/1895M) ialah tokoh ulama Patani yang terkenal pada zamannya. Sementara itu, bapa saudara beliau di pihak ayahnya iaitu Sheikh Wan Ismail bin Haji Wan Abdul Qader al-Fathani atau terkenal dalam kalangan ulama Melayu-Nusantara dan ulama Arab sebagai Sheikh Pak Da ‘Eil al-Fathani (w. 1965M) atau di Tanah Melayu terkenal sebagai Pak Da ‘Eil al-Fathani ini adalah seorang guru termasyhur yang mengajar di Masjidil Haram. Ringkas kata, susur galur keturunan Tuan Guru Sheikh Haji Wan Izzuddin atau Pak Njang Izzuddin ini terdiri daripada tokoh-tokoh ulama terkenal, sama ada yang berbakti di Kedah, Patani dan Makkah. Pendidikannya Beliau pada peringkat awal usia mendapat pendidikan asas di Pondok Gajah Mati yang diasaskan oleh datuknya Haji Ismail Che Dol. Di pondok ini, beliau diasuh dan dididik oleh ayahnya Tuan Guru Pak Chu Him dan dibantu oleh abang-abangnya iaitu Haji Wan Abdul Kadir dan Wan Mustafa, selain belajar kepada guru-guru lain dan dua orang abang ipar beliau yang juga guru di Pondok Gajah Mati, iaitu Sheikh Haji Mahmud al-Juani dan Sheikh Haji Asy’ari bin Haji Ishak. Senarai kitab-kitab yang beliau belajar kepada Pak Chu Him ialah:- - Abniyah Asma (nahw) - Matn al-Fathaniyah (nahw) - Siraj al-Huda (usuluddin) - ‘Unwan Falah (fiqh) Manakala senarai kitab-kitab yang beliau belajar kepada Sheikh Haji Mahmud al-Juani pula ialah:- - Taftazani al-‘Izzi (nahw) - Syeikh Khalid (nahw) - Tafsir al-Jalalain (tafsir) - Syarqawi Tahrir (fiqh) - Fath al-Mu’in / I’anah Talibin (fiqh) - Al-Iqna (fiqh) - Mukhtasar Jiddan (nahw) - Matn al-Jurumiyah (nahw) - Syarh Hallul Ma’qud - Nazm Matn Ma’qud (sarf) - Syarh Asymuni (nahw) - Dusuqi (usuluddin) - Aqidah Najin (usuluddin) - Bughyah Tullab (fiqh) - Husnu Sighah karya Sheikh Yasin al-Fadani (Balaghah) Sementara kitab-kitab yang dipelajari oleh Tuan Guru Sheikh Haji Wan Izzuddin kepada Sheikh Haji Asy’ari bin Haji Ishak pula ialah:- - Faridah al-Faraid (usuluddin) - Minyah al-Musolli (fiqh) - Bidayah Hidayah (usuluddin) - Syarqawi Hudhudi (usuluddin) - Kifayah Awam (usuluddin) - Kawakib Durriyah (nahw) - Fath al-Mu’in / I’anah Thalibin (fiqh) - Fath al-Qarib (fiqh) - Baijuri Ibn Qasim (fiqh) - Syarh Sittin (fiqh) - Kailani (sarf) - Safinah Najah (fiqh) - Matn Azhariyah (nahw) - Matn Qatar (nahw) - Syarh Azhari (nahw) - Matn al-Fiyah (nahw) - Matn Arbain Nawawiyah (hadith) - Abniyah Asma’ (sarf) - Matn al-Fathaniyah (nahw) - Matn ‘Izzi (sarf) - Dhammun (sarf) Setelah tamat belajar di sini, Tuan Guru Sheikh Haji Wan Izzuddin melanjutkan pengajiannya ke Darul Ulum, Deoband, India. Di sana, beliau berkesempatan belajar dengan ramai tokoh ulama terkenal, khususnya yang alim serta pakar dalam bidang ilmu hadith. Antaranya beliau sempat belajar kepada tokoh ulama dan muhaddith terkenal kelahiran India, Maulana Sheikh Zakaria al-Kandahlawi. Beliau juga belajar kitab Sullam Ulum al-Bihari kepada Maulana Sheikh Anzhor Syah bin Anwar Syah Kashmiri. Beliau kemudiannya berjaya menamatkan pengajian dan memperolehi ijazah sunan sittah yang terkenal itu. Kehidupannya Beliau dan keluarga tinggal di rumah pusaka peninggalan ayahnya al-Marhum Pak Chu Him di Kampung Gajah Mati, Pendang [kini sudah terbakar] bersebelahan surau lama yang menjadi tempat tadahan ilmu oleh para pelajar Pondok Gajah Mati suatu waktu dulu. Di surau ini jugalah, ulama terkenal di Makkah, Sheikh Abdul Qader al-Mandili pernah bersolat jamaah dan menadah ilmu. Selain waktunya sentiasa sibuk dengan urusan mengajar, beliau juga turut terlibat dengan aktiviti-aktiviti ilmu lain dan juga aktiviti-aktiviti kemasyarakatan. [Lihat catatan tentang Sheikh Wan Izzuddin hafizahullah Taala ini dalam Ziarah Ulama Kedah oleh Muhammad Hafiz Mat Tajudin al-Fandani thumma al-Fathani hafizahullah Taala]
Posted on: Sun, 05 Jan 2014 13:58:01 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015