• Pada 15 Jun 2001, Malaysia telah mengemukakan pencalonan untuk - TopicsExpress



          

• Pada 15 Jun 2001, Malaysia telah mengemukakan pencalonan untuk menjadi ahli tidak tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi penggal 2015-2016. • Pengundian secara rahsia ahli-ahli tidak tetap Majlis Keselamatan PBB bagi penggal 2015-2016 dijadual akan diadakan pada bulan Oktober 2014 semasa Sesi ke-69 Perhimpunan Agung PBB di New York, Amerika Syarikat. Malaysia perlu memastikan ia meraih sekurang-kurangnya dua pertiga undian daripada negara-negara anggota PBB yang hadir dan mengundi semasa pemilihan untuk memenangi kerusi tidak tetap tersebut. • Malaysia pernah menduduki kerusi tidak tetap Majlis Keselamatan PBB sebanyak tiga (3) kali iaitu pada tahun 1965 (berkongsi kerusi dengan Czechoslovakia), tahun 1989-1990 dan tahun 1999-2000. • Sehingga kini, Malaysia merupakan calon tunggal yang bertanding bagi mendapatkan satu-satunya kerusi tidak tetap bagi Kumpulan Serantau Asia Pasifik. Berikut adalah pencalonan bagi Kumpulan Serantau yang lain: - Benin akan bertanding bagi Kumpulan Negara Afrika (satu kekosongan); - Venezuela akan bertanding bagi Kumpulan Negara Latin Amerika dan Kepulauan Caribbean (satu kekosongan); - New Zealand, Sepanyol dan Turki akan bertanding bagi Kumpulan Negara Eropah Barat dan Lain-lain (dua kekosongan); dan - tiada kekosongan bagi Kumpulan Negara Eropah Timur. • Tema kempen pencalonan Malaysia sebagai ahli tidak tetap Majlis Keselamatan PBB ialah Keamanan dan Keselamatan Melalui Kesederhanaan (Peace and Security Through Moderation). • 5 keutamaan yang akan Malaysia ketengahkan di Majlis Keselamatan PBB, sekiranya terpilih, adalah seperti berikut: i) Gerakan Kesederhanaan Global • Berpegang kuat kepada prinsip-prinsip kesederhanaan dan pengantaraan dalam penyelesaian konflik secara aman, Gerakan Kesederhanaan Global (Global Movement of Moderates - GMM) merupakan inisiatif (brainchild) YAB Perdana Menteri sendiri. GMM bertindak sebagai satu wadah untuk menentang ekstremisme dari pelbagai aspek antaranya dari aspek perundangan (rule of law), keadilan sosial dan pendidikan. Sokongan padu dan pengiktirafan oleh pemimpin-pemimpin dunia dan pelbagai organisasi antarabangsa terhadap GMM secara langsung melambangkan kredibiliti dan kompetensi Malaysia dalam memainkan peranan penting melalui wadah ini bagi memastikan keamanan dan keselamatan dunia terpelihara. ii) Pembaharuan Majlis Keselamatan PBB • Malaysia sentiasa komited dan menyokong padu usaha menyeluruh pembaharuan organ-organ PBB seperti Majlis Keselamatan dan Perhimpunan Agung. Dua perkara utama yang seringkali disentuh dalam usaha tersebut adalah cadangan menambahkan keahlian kerusi tetap dan tidak tetap, serta kaedah kerja (working method) Majlis tersebut iii) Pengantaraan (Mediation) • Pengantaraan merupakan salah satu pendekatan ke arah penyelesaian konflik secara aman yang semakin disokong oleh banyak negara. Pengantaraan diterima sebagai tema bagi Sesi ke-67 Perhimpunan Agung PBB bagi tahun 2011-2012. Pada masa kini, Finland dan Turki menjadi pelopor kepada inisiatif “Friends of Mediation” di mana Malaysia juga merupakan ahli kepada inisiatif ini. iv) Pengukuhan Misi Pengaman • Malaysia telah pertama kali menyertai misi pengaman PBB pada tahun 1960 di Congo. Setakat ini, Malaysia telah mengambil bahagian dalam 30 misi pengaman PBB melibatkan 29,000 anggota tentera dan polis. Pada hari ini, Malaysia mempunyai hampir 1,000 anggota pasukan pengaman terdiri daripada pegawai tentera dan polis yang sedang berkhidmat di 7 misi pengaman PBB di seluruh dunia. Pihak PBB turut memberikan pengiktirafan yang baik kepada para anggota pasukan pengaman atas sumbangan, disiplin dan komitmen yang memuaskan. Dalam hubungan ini, Malaysia boleh memainkan peranan utama untuk memberikan cadangan-cadangan untuk mengukuhkan lagi Misi Pengaman PBB berdasarkan pengalaman yang diperolehi semenjak tahun 1960. • Pusat Latihan Pengaman Malaysia (Malaysian Peacekeeping Traning Centre - MPTC) di Port Dickson, Negeri Sembilan yang ditubuhkan pada 20 April 2006 telah menyumbang kepada persediaan para anggota pasukan pengaman Malaysia berkhidmat di PBB. Setiausaha Agong PBB, TYT Ban Ki-moon semasa lawatan beliau ke MPTC pada 2012, telah memberi pengiktirafan kepada peranan Malaysia dalam misi pengaman PBB di seluruh dunia serta sumbangan MPTC dalam melatih pasukan pengaman Malaysia dan negara lain yang berwibawa dan profesional. v) Pembinaan Keamanan (Peacebuilding) • Pada 24 Disember 2012, Malaysia telah dilantik sebagai ahli Jawatankuasa Organisasi Suruhanjaya Keamanan PBB (UN Peacebuilding Commission’s Organizational Committee - PBC). PBC menggalak dan menyokong usaha damai bagi negara-negara yang baru pulih dari konflik. Ia merupakan satu lagi aspek penglibatan antarabangsa Malaysia yang konstruktif dalam mengekalkan keamanan dan keselamatan global. Program Kerjasama Teknikal Malaysia (Malaysian Technical Cooperation Programme - MTCP) merupakan satu lagi manifestasi kesungguhan Malaysia untuk membantu negara-negara membangun di mana Malaysia, secara keseluruhannya, telah melatih lebih 4,000 peserta dari 14 buah negara pasca konflik semenjak tahun 1980. • Malaysia percaya bahawa PBB, melalui Majlis Keselamatan PBB dapat terus mendukung objektif utama penubuhannya iaitu berusaha mengekalkan keamanan dan keselamatan dunia. • Sekiranya terpilih untuk menduduki kerusi tidak tetap Majlis tersebut, Malaysia ingin mempamerkan sokongan padu terhadap peranan yang dimainkan oleh Majlis Keselamatan PBB dengan bekerjasama erat bersama Negara-negara anggota Majlis Keselamatan yang lain dalam usaha mencari penyelesaian yang aman dan berterusan (peaceful and lasting) bagi konflik-konflik antarabangsa, di samping mendukung prinsip kesederhanaan.
Posted on: Tue, 17 Sep 2013 19:39:14 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015