Peranti penjenayah bulan depan Petaling Jaya: Pemasangan alat - TopicsExpress



          

Peranti penjenayah bulan depan Petaling Jaya: Pemasangan alat Peranti Pemantauan Elektronik (EMD) pada penjenayah yang pernah terbabit dalam jenayah berat bagi mengawal pergerakan mereka dan mengelak gagal dikesan, bakal dilaksanakan bulan depan. Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail berkata, kerajaan meluluskan cadangan itu yang diletakkan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA). “Peguam Negara bukan pihak yang meluluskan EMD. Kami hanya mencadang dan kerajaan meluluskan sebagai sebahagian daripada undang-undang ketika SOSMA diperkenalkan untuk membanteras jenayah berat. “Ini di bawah bidang kuasa kementerian berkaitan. Bagi saya, lebih cepat (pelaksanaan EMD) lebih bagus dan ia sepatutnya sekitar September depan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, semalam. Beliau mengulas pembentangan wakil Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU) Farah Intan Burhanudin pada Forum Pencegahan Jenayah: Undang-undang Semasa dan Langkah-langkah untuk Mencegah Jenayah Kekerasan Secara Berkesan yang dirasmikan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di sini, semalam. Farah Intan yang juga Penganalisis Kanan PEMANDU memberitahu, EMD sedia dilaksana hujung September depan sebagai alternatif mengawal jenayah. Katanya, pemakaian alat itu dilaksana di banyak negara termasuk Amerika Syarikat sejak 1994 dan berjaya mengurangkan risiko penjenayah yang diberi jaminan polis kembali mengulangi aktiviti sama. Dalam pada itu, Abdul Gani berkata, negara tidak memerlukan undang-undang pencegahan untuk menangani jenayah serius, berikutan mempunyai pasukan polis yang mampu bertindak dengan baik. “Saya mempunyai kepercayaan penuh terhadap polis dalam menangani jenayah ini, apatah lagi dalam kes beberapa minggu lalu (merujuk kes penjenayah ditembak mati di Pulau Pinang), mereka menunjukkan kemampuan dengan baik. “Saya sukar mencari sebab kenapa kita perlu wujudkan semula undang-undang pencegahan memandangkan kita ada pihak berkuasa berkaliber,” katanya.HM
Posted on: Sun, 25 Aug 2013 01:45:28 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015