Peratusan premis makanan kotor tinggi 2013/07/06 Putrajaya: - TopicsExpress



          

Peratusan premis makanan kotor tinggi 2013/07/06 Putrajaya: Operasi pemeriksaan premis makanan secara besar-besaran di seluruh negara mendapati ia berada pada tahap yang membimbangkan, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam. Katanya, operasi antara 1 hingga 3 Julai lalu mendapati 22 peratus daripada 804 premis diperiksa diklasifikasikan sebagai tidak bersih dan dikenakan tindakan oleh kementeriannya. “Selain itu, 158 premis (19.7 peratus) sudah diarah ditutup selama dua minggu untuk pengusahanya menjalankan kerja pembersihan dan penambahbaikan selaras dengan Seksyen 11, Akta Makanan 1983. “Pemilik 19 lagi premis makanan diberi notis mengarahkan mereka hadir di mahkamah mengikut Seksyen 32B Akta Makanan kerana gagal mematuhi peruntukan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009. “Ini peratusan yang tinggi dan membimbangkan kerana bagi pengusaha premis yang mempunyai lesen dan menyediakan makanan, kadar ini (tidak bersih) sepatutnya berada pada 0 peratus,” katanya pada sidang media di sini, semalam. Jumlah tidak sihat Sebagai contoh, kata Dr Subramaniam, 23 daripada 34 premis makanan yang diperiksa di satu kawasan di Selangor diarah tutup, manakala di Negeri Sembilan, 11 daripada 18 premis turut berdepan tindakan sama. “Ini jumlah yang tidak sihat. Usaha memberi mesej dan membudayakan amalan kebersihan dalam kalangan pengusaha makanan ini tidak boleh diletakkan pada kerajaan saja, sebaliknya rakyat harus bertindak bijak dengan hanya melanggan premis yang bersih,” katanya. Dr Subramaniam berkata, operasi membabitkan lebih 1,000 penguat kuasa Kementerian Kesihatan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan serta pihak berkuasa tempatan (PBT) akan diteruskan dua minggu lagi dengan tumpuan di Wilayah Persekutuan dan Selangor. Beliau berkata, pihaknya akan meningkatkan pemeriksaan dan pemantauan atas premis makanan sepanjang bulan Ramadan, terutama gerai di bazar Ramadan.BH
Posted on: Sat, 06 Jul 2013 01:49:32 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015