Petikan daripada teks ucapan #Bajet2014 berkenaan dengan isu - TopicsExpress



          

Petikan daripada teks ucapan #Bajet2014 berkenaan dengan isu perumahan: Tuan Yang di-Pertua, Meningkatkan Pemilikan Rumah 187. Saya mendengar, keluh kesah rakyat untuk memiliki rumah yang selesa terutama bagi golongan berpendapatan rendah dan sederhana. Pelbagai rungutan sering diperkatakan seperti harga rumah melambung tinggi, bekalan rumah tidak mencukupi dan kesukaran mendapatkan pembiayaan. 188. Akhir-akhir ini, didapati kenaikan harga rumah amat ketara yang telah menjejaskan kemampuan rakyat untuk membeli rumah. Di samping itu, aktiviti spekulasi turut memberi kesan ke atas kenaikan harga rumah. Situasi ini secara tidak langsung boleh menjejaskan pasaran hartanah dalam jangka masa panjang. 189. Bagi meningkatkan kemampuan rakyat membeli rumah dan memastikan harga rumah stabil serta mengekang aktiviti spekulasi yang keterlaluan, Kerajaan akan melaksanakan langkah berikut: Pertama: Mengkaji semula Cukai Keuntungan Harta Tanah atau RPGT. Bagi hartanah yang dilupuskan dalam tempoh pegangan sehingga tiga tahun, kadar RPGT dinaikkan kepada 30 peratus, manakala pelupusan dalam tempoh empat dan lima tahun, kadarnya dinaikkan kepada 20 peratus dan 15 peratus. Bagi warganegara, pelupusan yang dibuat dalam tahun keenam dan berikutnya, tidak dikenakan RPGT manakala bagi syarikat, RPGT dikenakan lima peratus. Bagi bukan warga negara pula, RPGT dikenakan pada kadar 30 peratus bagi tempoh pegangan sehingga lima tahun dan pelupusan dalam tahun keenam dan berikutnya, RPGT dikenakan lima peratus; Kedua: Meningkatkan harga minimum hartanah yang boleh dibeli oleh warga asing daripada 500 ribu ringgit kepada satu juta ringgit; Ketiga: Meningkatkan ketelusan harga jualan hartanah, di mana pemaju hartanah perlu mempamerkan secara terperinci harga jualan termasuk semua manfaat dan insentif yang ditawarkan kepada pembeli seperti pengecualian yuran guaman, duti setem perjanjian jual beli, rebat tunai dan hadiah percuma; dan Keempat: Melarang pemaju perumahan melaksanakan projek yang berciri Developer Interest Bearing Scheme atau DIBS bagi mengelakkan pemaju memasukkan tanggungan kadar faedah pinjaman pembeli semasa tempoh pembinaan ke dalam harga rumah. Oleh itu, institusi kewangan dilarang menyediakan pembiayaan akhir bagi projek yang terlibat dengan skim DIBS ini. 190. Seterusnya, bagi meningkatkan akses pemilikan rumah pada harga yang berpatutan, dianggarkan sebanyak 223 ribu unit rumah baharu akan dibina oleh Kerajaan dan sektor swasta pada tahun 2014. Kerajaan akan memperuntukkan sebanyak 578 juta ringgit kepada Jabatan Perumahan Negara atau JPN bagi melaksanakan Program Perumahan Rakyat yang melibatkan pembinaan 16,473 unit rumah. Di samping itu, JPN juga akan membina 600 unit Program Perumahan Rakyat Disewa dan Perumahan Rakyat Bersepadu dengan peruntukan 146 juta ringgit. 191. PR1MA pula akan menyediakan 80 ribu unit rumah dengan peruntukan satu bilion ringgit di mana harga jualannya adalah 20 peratus lebih rendah dari harga pasaran. Manakala SPNB akan membina 26,122 unit rumah yang meliputi 15,122 unit rumah mampu milik, tiga ribu unit Rumah Idaman Rakyat dan lapan ribu Rumah Mesra Rakyat. Kerajaan juga memperkenalkan kategori baharu Rumah Mesra Rakyat dengan harga jualan antara 45 ribu ringgit hingga 65 ribu ringgit, di mana Kerajaan akan memberi subsidi di antara 15 ribu ringgit hingga 20 ribu ringgit seunit. 192. Kerajaan juga akan memperkenalkan Skim Perumahan Mampu Milik Swasta atau MyHome sebagai satu langkah untuk menggalakkan sektor swasta membina lebih banyak rumah kos rendah dan sederhana. Skim ini menawarkan subsidi 30 ribu ringgit seunit kepada pemaju swasta. Antara kriteria utama skim ini adalah: Pertama: Membina sekurang-kurangnya 20 peratus rumah kos rendah dan 20 peratus rumah kos sederhana dalam satu projek perumahan; Kedua: Harga jualan maksimum rumah kos rendah ialah 45 ribu ringgit dan kos sederhana ialah 170 ribu ringgit; Ketiga: Keluasan minimum rumah kos rendah adalah 800 kaki persegi dan kos sederhana 1,000 kaki persegi dengan kemudahan minimum tiga bilik tidur dan dua bilik air; Keempat: Menyediakan kemudahan ruang letak kereta, surau, dewan dan taman permainan; dan Kelima: Terbuka kepada pembeli rumah pertama dengan pendapatan bulanan isirumah maksimum tiga ribu ringgit bagi kos rendah dan maksimum enam ribu ringgit bagi kos sederhana. 193. Keutamaan akan diberikan kepada pemaju perumahan yang membina rumah kos rendah dan sederhana di kawasan yang mempunyai permintaan tinggi. Skim ini terhad kepada 10 ribu unit rumah pada tahun 2014. Ianya adalah untuk projek perumahan baharu yang diluluskan mulai 1 Januari tahun hadapan dengan peruntukan sebanyak 300 juta ringgit di bawah seliaan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan. 194. Pada masa ini, pemaju-pemaju projek perumahan seperti PR1MA, Program Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia dan perumahan di kawasan baharu dibuka, layak memohon geran daripada Dana Mudahcara sebanyak 10 peratus daripada kos projek. Bagi tahun 2014, Kerajaan akan memperuntukkan sejumlah empat bilion ringgit untuk Dana Mudahcara sebagai inisiatif menggalakkan pelaksanaan projek swasta berimpak tinggi dan strategik. 195. Daripada jumlah tersebut, saya mencadangkan satu bilion ringgit dikhususkan sebagai Dana Mudahcara Perumahan dibawah Unit Kerjasama Awam Swasta atau UKAS. Pemaju yang menerima geran ini, mesti mematuhi terma dan syarat serta harga jualan rumah yang ditetapkan oleh Kerajaan. 196. Kerajaan juga akan melaksanakan program membaik pulih dan meningkatkan keselesaan serta mengindahkan rumah kos rendah milik Kerajaan. Antara langkah yang akan dilaksanakan termasuk penyelenggaraan lif, mengecat semula rumah, pembersihan longkang dan ruang buangan sampah serta membaik pulih padang permainan. 197. Untuk itu, sejumlah 100 juta ringgit akan disediakan kepada Tabung Penyelenggaraan 1Malaysia di bawah seliaan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Kerajaan juga akan memperuntukkan 82 juta ringgit bagi memulihkan lagi sebanyak 20 projek rumah terbengkalai melibatkan 8,197 buah rumah. 198. Bagi terus mengukuhkan pasaran hartanah dan menambah peluang rakyat memiliki rumah, Kerajaan akan melaksanakan pendekatan yang lebih efektif dan menyeluruh. Sehubungan itu, sukacita saya mengumumkan penubuhan Majlis Perumahan Negara untuk merangka strategi dan pelan tindakan secara menyeluruh, menyelaras aspek perundangan dan mekanisma harga hartanah serta memastikan penyediaan rumah dengan lebih cekap dan cepat. Keanggotaan Majlis ini terdiri daripada agensi Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri, Jabatan Perumahan Negara, PR1MA, SPNB dan sektor swasta.
Posted on: Fri, 25 Oct 2013 15:10:19 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015