Sebagai renungan untuk diriku dan sahabat-sahabat yg ku - TopicsExpress



          

Sebagai renungan untuk diriku dan sahabat-sahabat yg ku kasihi.....bacalah MUZAKARAH BERKAITAN WAJAH ALLAH Terus saya bertanya (kepada seorang ustaz), “Sudah tentu kita semua mengimani bahawa Allah adalah Tuhan kita, lalu saya ingin bertanya kepada ustaz, bagaimanakah rupaNya?” Ustaz itu berkata, “Seperti angin, kita tidak nampak rupanya namun angin itu wujudnya dapat dirasa maka begitulah Allah, Ia tidak mungkin dapat dilihat namun kewujudanNya dapat dirasa”. “Jadi maksud ustaz, Allah itu tidak dapat dilihat namun wujudnya dapat dirasai semisal angin.. begitu?”, tanya saya. “Ya.. begitulah”, katanya. “Kemudian apa pula beza antara mukmin dan munafik?”, tanya saya. Beliau terdiam sebentar dan bertanya, “Apa hubung-kaitnya antara soalan pertama dengan soalan kedua.” Dengan pantas dan tegas saya menjawab.. “Memang ada hubung-kaitnya ustaz kerana Allah mengajarkan pada kita barangsiapa yang mengaku bertuhankan Allah tetapi tidak tahu bagaimana rupaNya maka orang itu adalah munafik sebaliknya barangsiapa yang mengaku bertuhankan Allah dan ia tahu bagaimanakah rupaNya maka orang itu barulah mukmin yang tulen”. Ustaz itu membuka sebuah kitab, katanya, “Ini adalah kitab yang terkandung didalamnya pelajaran tentang aqidah atau tentang ilmu-ilmu Tawhid bersesuai dengan aqidah Ahlussunnah wal Jamaah, ente ada belajar ilmu sifat 20 tak?” “Adalah sikit-sikit”, jawab saya. Katanya, “Kalau begitu tentu ente tahu bagaimana mukholafatuhu lilhawadithnya (bersalahan allah dengan yang baharu) Allah Ta’ala pada zatNya!” “Tahu”, kata saya. “Tapi saya minta ustaz sajalah yang menghuraikannya maklumlah saya mungkin banyak yang dah terlupa”,kata saya. Beliau menghujahkan definisi mukholafatuhu lilhawadithnya zat Allah berpandukan kitab yang dipegang beliau. Katanya, “Begini, sebenarnya Tuhan itu tiada rupa yang dengannya manusia dapat melihatNya lantas dapat pula mengenali rupaNya dan ini terbukti melalui dalil Al Quran sebagaimana firman Allah “laisa kamithlihi syaiun” yang bermaksud tidak ada satu pun yang serupa denganNya [asy-Syuura:11]. “Melalui dalil akal pula ulama menetapkan bahawasanya zat Allah itu bersifat mukholafatuhu lilhawadith iaitu zatNya tidak sama dengan zat makhluk dari segi rupa bentuk, sifat dan perbuatan. “Jadi apabila Allah berkata yang diriNya laisa kamithlihi syaiun dan ulama membahaskannya dengan menetapkan Allah itu bersifat mukholafatuhu lilhawadith maka fahamnya adalah jika zat Allah itu tiada satu pun yang serupa denganNya bagaimana mungkin Ia dapat dikenal? . “Jika Ia tidak sama dengan makhluk bagaimana mungkin ia dapat dilihat? Jadi jika sudah terbukti melalui dalil naqli bahawa Allah tidak boleh dilihat maka bertanya tentang rupanya atau samada Ia boleh dilihat atau tidak adalah sesuatu yang pelik. Lagi pula ente (katanya kepada saya) membawakan hujah yang tidak bersandarkan kepada dalil-dalil”. “Jadi Allah itu tiada rupa yang dengannya dapat Ia dilihat dan dikenali?”,tanya saya. “Ya.. perkara ini saya pasti dan yakin sekali”, kata ustaz itu. “Jadi ustaz mengingkari bahawa Allah itu ada rupa yang dengannya Ia dapat dilihat dan dikenali?”, tanya saya. “Tentu sekali, lagipun pendapat ente terang-terang menyalahi aqidah dan tiada dalil!.. ente kena tahu bahawa salah satu daripada syarat sahnya aqidah seseorang itu ialah pegangannya wajib muafakah dengan pegangan ijma’ ulama Ahlussunnah”, kata ustaz itu. Suasana senyap seketika. Saya meminta izin dari ustaz itu untuk mengambil sebuah kitab, yang bertajuk Terjemahan Hadis Shahih Muslim, yang berkulit tebal berwarna hijau tua yang mengandungi tiga jilid, diterjemahkan oleh H.A. Razak dan H. Rais Lathief yang diterbitkan oleh Pustaka Al-Husna berpangkalan di Jakarta, Indonesia yakni cetakan ke tiga pada tahun 1980. Saya cari mukasurat 126 yang ada padanya hadis pada kedudukan yang ke 119 pada jilid 1 kemudian saya minta ustazah (isteri ustaz itu) membacakannya dengan jelas hadis itu yang bermaksud.. Dari Abu Sa’id Al-Chudhry, katanya: ‘Dahulu orang banyak bertanya kepada Rasulullah saw tentang kemungkinan melihat Allah pada hari kiamat. Kata baginda, “Benar, adakah kamu terhalang memandang matahari waktu tengah hari dalam keadaan cuaca jernih?” Jawab hadirin, “Tidak Tuan!” Berkata Rasulullah saw, “Pada hari kiamat kelak, tidaklah kamu akan sulit melihat Tuhan, sama saja mudahnya dengan memandang matahari dan bulan purnama”. “Berkata lagi Rasulullah saw, “Nanti, pada hari kiamat akan ada pengumuman supaya tiap-tiap kaum mengikut siapa yang dipujanya di atas dunia ini, maka semua penyembah berhala dan patung akan jatuh berbondong-bondong ke dalam api neraka dan hanya yang tinggal ialah penyembah Allah dari orang-orang mukmin, orang-orang munafik dan sisa-sisa ahli kitab. “Maka kaum Yahudi segera dipanggil lalu ditanya, “Apakah yang kamu sembah?” Jawab mereka itu, “Uzair anak Allah!” Dikatakan kepada mereka itu, “Bohong! Allah tidak beristeri dan tidak beranak!” Kemudian mereka itu ditanya tentang apa keinginannya. Jawab kaum Yahudi itu, “Kami haus wahai Tuhan, berilah kami minum!” akan ditunjukkan kepada mereka dan dikatakan, “Pergilah ke air itu!” Mereka lalu dibawa ke arah fatamorgana yang kelihatan seperti air tetapi sebenarnya adalah api neraka dan disanalah mereka itu jatuh berbondong-bondong. “Kemudian dipanggil pula umat Nasrani dan ditanya dengan pertanyaan yang sama dengan kaum Yahudi. Mereka menjawab, “Kami menyembah Isa anak Allah” maka mereka pun mengalami nasib yang sama dengan kaum Yahudi. “Apabila yang tinggal hanya kaum penyembah Allah dari orang-orang mukmin dan munafik, datanglah Allah kepada mereka itu dengan bentuk yang belum pernah dilihat oleh mereka itu seraya berkata, “Apa lagi yang kamu tunggu?, tiap-tiap kaum telah pergi mengikut pujaannya” Jawab kaum mukmin, “Oh Tuhan! Waktu kami diatas dunia, kaum-kaum itu telah kami tinggalkan dan tidaklah kami sehaluan dengan mereka itu, walaupun mereka itu kaum kerabat kami” Berkata Allah dalam bentuk yang tidak dikenal, “Aku Tuhanmu!” Jawab kaum mukmin, “Kami berlindung kepada Allah dari tipuanmu!, kami tidak pernah menyengutukan Allah.” Perkataan itu diulang-ulang sampai dua atau tiga kali dan ada diantara mereka itu yang hampir ragu-ragu lalu berkata kepada kawan-kawannya, “Adakah benar saudara-saudara mengenal tanda-tanda Allah?” “Jawab kawan-kawannya, “Ya!” Setelah itu hilanglah kebingungan mereka itu dan pada saat itu pula diketahuilah siapa diantara mereka itu yang benar-benar mukmin dan yang benar-benar munafik. Kaum mukmin diizinkan sujud tetapi kaum munafik yang menyembah Allah hanya kerana menunjuk-nunjuk dan pura-pura saja, tidaklah dapat sujud kerana tulang punggung mereka telah menjadi satu, sehingga tiap-tiap kali akan sujud, mereka akan jatuh terduduk. “Setelah kaum mukmin mengangkatkan kepalanya dari sujud tadi, kelihatanlah Allah telah kembali kepada bentuknya semula yakni bentuk yang telah dikenali oleh mereka sebelum itu seraya berkata, “Akulah Tuhanmu!” Maka jawab kaum mukmin itu, “Benar! Engkaulah tuhan kami.”… Saya berkata kepada ustaz dan isterinya, “Fahamkah ustaz apa yang disampaikan oleh Rasulullah pada hadis sahih yang dibaca ustazah sebentar tadi?” Saya lihat mata ustaz itu terkebil-kebil saja. Ustaz itu kemudiannya mengambil kitab Terjemahan Hadis Shahih Muslim yang berada dipangkuan isterinya lalu membacanya untuk kali kedua. Habis sahaja membaca hadis tadi terus sahaja beliau memandang muka saya dan saya seolah-olah mengerti bahawa pandangan itu seperti menunggu penjelasan dari saya. Kata saya, “Cuba ustaz perhatikan baik-baik pertanyaan kepada Rasulullah tentang adakah Allah itu dapat dilihat kelak dihari kiamat lantas Rasulullah menjawabnya dengan berkata “Pada hari kiamat kelak, tidaklah kamu akan sulit melihat Tuhan, sama saja mudahnya dengan memandang matahari dan bulan purnama”. “Maka kata-kata Rasulullah ini telah membatalkan hujah akal ustaz yang memisalkan Allah dengan keadaan angin sedang Rasulullah memisalkan perkara dapat melihat Allah dengan jelasnya seperti melihat matahari dan bulan purnama. Jadi kesimpulannya Allah itu dapat dilihat dengan jelas dan terang. Adakah ustaz setuju?” tanya saya. Ustaz diam sahaja tetapi isterinya tiba-tiba sahaja mencelah. “Itu tentang melihat Allah di akhirat yakni perkara khusus yang terjadi pada hari kiamat sahaja dan bukannya Allah itu dapat dilihat seterusnya dapat dikenal didunia ini dengan jelas seperti melihat kepada matahari dan bulan purnama,”katanya. Kali ini saya pula yang tersenyum mendengar penjelasan dari ustazah kemudian membetulkan duduk saya. Kata saya, “Sila ustazah perhatikan baik-baik pada ayat yang berbunyi, “Setelah kaum mukmin mengangkatkan kepalanya dari sujud tadi, kelihatanlah Allah telah kembali kepada bentuknya semula yakni bentuk yang telah dikenali oleh mereka sebelum itu seraya berkata, “Akulah Tuhanmu!” Maka jawab kaum mukmin itu, “Benar! Engkaulah tuhan kami”. Bukankah telah amat jelas ayat itu menjelaskan bahawa Allah itu datang kepada mereka di dalam bentuk yang mereka telah kenali sebelum terjadinya peristiwa itu (hari kiamat) dan sudah semestinyalah pengenalan terhadap rupa Allah itu berlaku sejak di dunia ini lagi. Jika bukan demikian lantas bagaimana mereka akan dapat mengenal rupa Allah sedang di dunia ini mereka tidak tahu rupa Allah?” Jelas terpapar kegelisahan pada raut wajah ustazah yang jenih dan bersih itu setelah mendengar penjelasan saya namun dapat saya perhatikan beliau benar-benar berusaha agar kegelisahannya itu dapat disembunyikan. Lantas beliau berkata, “Tidak mungkin di dunia ini Allah itu dapat dilihat rupanya dan pengenalan terhadap rupa Allah yang terjadi dihari kiamat itu adalah semata-mata hasil daripada amalan yang kita lakukan didunia ini”. “Maksud ustazah apabila seseorang itu banyak amalan baiknya didunia ini maka secara otomatik dia dapat mengenal rupa Allah diakhirat nanti.. begitu?”, tanya saya. “Ya”, katanya. “Maka saya minta ustazah kemukakan dalil-dalil yang diambil daripada Al Quran dan hadis yang dapat menyokong pandangan ustazah itu”, kata saya. Suasana kembali senyap. Ustaz dan ustazah masing-masing memandang diantara satu sama lain. Gelisah. Kata saya, “Baiklah, sekarang saya akan kemukakan bukti daripada hadis bahawa orang yang mukmin itu telah mengenal rupa Allah dengan yakin lagi pasti semenjak mereka didunia lagi dan bukannya mereka secara otomatik akan tahu dek kerana amalan baik yang telah dilakukannya didunia dulu. Cuba ustazah buka mukasurat 120 pada kitab yang sama dan cuba baca hadis yang ke 118 itu”. Kemudian ustazah terus mencari hadis yang saya katakan dan terus membacanya dan hadis itu bermaksud.. Dari Abu Hurairah r.a. katanya: Bertanya orang banyak kepada Rasulullah: “Apakah kami akan melihat zat Allah dihari kiamat kelak ya Rasulullah?” Jawab beliau: “Apakah pernah kamu terhalang memandang bulan purnama raya?” Jawab mereka itu: “Tidak!” Berkata pula Rasulullah: “Adakah kamu sukar melihat matahari ketika tak ada awan menutupinya?” Jawab mereka itu: “Tidak Tuan!” Maka berkata Rasulullah: “Demikianlah jelasnya kamu akan melihat Allah kelak.” Kemudian Rasulullah meneruskan perkataannya, kata beliau: “Pada hari kiamat nanti, Allah akan mengumpulkan semua manusia lalu bertitah: Hendaklah tiap-tiap orang mengikut siapa/apa yang disembahnya didunia!” Mendengar itu maka semua penyembah matahari mengikut matahari, penyembah bulan mengikut bulan dan pemuja Thoghut mengikut Thoghut dan didalam rombongan kaum mukmin (yang belum bergerak) terdapat pula kaum munafik. Kemudian Allah Ta’ala datang kepada mereka itu (mukmin dan munafik) dengan wajah yang tidak dikenal lalu berkata: “Aku Tuhanmu.” Maka jawab kaum mukmin: “Kami berlindung kepada Allah dari godaanmu! Kami tidak akan bergerak dari sini sebelum datang Tuhan kami yang sejati dan apabila ia datang kepada kami, dapat kami mengenalNya”. Setelah itu datanglah Allah dengan rupanya yang dikenal oleh orang-orang mukmin itu lalu berkata: “Aku Tuhanmu”. Maka jawab kaum mukmin: “Benar, engkaulah Tuhan kami”. Mereka itu pun segera mengikutinya”.. “Cuba lihat pada ayat yang berbunyi “Pada hari kiamat nanti, Allah akan mengumpulkan semua manusia lalu bertitah: Hendaklah tiap-tiap orang mengikut siapa/apa yang disembahnya didunia!”. Maka seruan ini ditujukan kepada semua manusia yang ada disitu ketika itu termasuklah orang-orang mukmin. Bukankah Allah pada ayat itu secara terang-terang menyebut agar mengikut siapa atau apa yang disembahnya di DUNIA? Maka yang dikatakan sebagai mukmin yang tulen itu ialah mereka menyembah Tuhan yang mereka tahu rupaNya di dunia ini. Kemudian…..” Dengan pantas ustaz mencelah dan memotong percakapan saya lalu melontarkan sanggahannya, “Mari kita perhatikan semula masalah ini pada sudut ilmu Tawhid..”. Sebenarnya saya terkejut dengan tindakan ustaz itu yang tiba-tiba memotong hujahan saya yang masih belum habis saya luahkan namun saya mengalah dan cuba meneliti apa yang mahu dikatakannya. Kata ustaz, “Secara tafsilinya mukholafatuhu lilhawadith itu merujuk kepada pengertian bahawa mustahil Allah itu zat, sifat dan af’alNya bersamaan dengan zat, sifat dan af’al makhluk. Mari kita kecilkan sudut pandang masalah ini pada ruang lingkup zat sahaja. Setuju tak ente?” Saya mengangguk beberapa kali. Kata ustaz, “Zat Allah itu bersifat qadim hakiki (ada sejak azali tanpa didahului sesuatu) sedang zat makhluk itu bersifat muhadas (baru dijadikan). Selain Allah yakni alam maka ianya terdiri daripada jauhar, jirim, jisim dan aradh. Maka segala jauhar, jirim, jisim dan aradh itu makhluk yang bersifat muhadas. Jadinya, .. alam dunia ini adalah alam muhadas dan yang terkandung didalamnya walau apapun jenis dan rupanya adalah muhadas juga. Jika rupa Allah itu dapat dilihat didunia ini maka itu bermakna Allah ada didunia ini secara zahir dan berjisim maka ketika itu ternafilah bahawa Allah itu bersifat qadim hakiki sebaliknya Ia tergolong muhadas kerana setiap apa yang zahir didalam dunia ini adalah muhadas dan jika Allah itu bersifat muhadas maka ternafilah Ia bersifat nafsiyah, salbiyah dan ma’nawiyah kerana mustahil muhadas itu berlaziman dengan sifat nafsiyah, salbiyah dan ma’nawiyah. Adakah ente faham apa yang saya sampaikan ini?” “Teruskan”, kata saya. Kata ustaz lagi, “Nampaknya jika ente mengatakan Allah boleh dilihat rupanya didunia ini maka itu bererti ente telah menjisimkan Allah atau dengan kata lain ente telah mengiktiqadkan zat Allah adalah sama dengan zat makhluk. Ente tahu apa implikasinya jika zat Allah disamakan dengan zat makhluk? Implikasinya ialah akan ternafi Allah itu wajib bersifat dengan 20 sifat yang dibahaskan didalam ilmu Tawhid maka dengan ini bermakna Allah itu bukan Tuhan!.. naudzubillaahi min zalik”. Nampak bersemangat benar ustaz membahaskan isu ini pada sudut ilmu Tawhid dan jelas kelihatan sedikit senyuman dibucu bibirnya menandakan beliau puas dengan hujahnya. Maklumlah dengan hujah itu jugalah puak-puak Jahmiyah atau Mujasimah pernah ditundukkan oleh ulama Asya’irah. Mungkin pada beliau saya sudah ‘kalah perang’ apabila berhujah dengan ilmu Tawhid. Seperti biasa saya senyum. Pada saya tiada cara lain untuk menundukkan hujah ustaz itu melainkan berhujah melalui peraturan ilmu Tawhid dari aliran Asya’irah juga. Kata saya, “Begini ya ustaz.. saya ingin bertanya kepada ustaz, adakah yang dimaksudkan muhadas itu termasuk juga alam akhirat dan isi-isinya selain alam dunia ini?” “Tentu sekalilah sebab selain Allah semuanya muhadas.. termasuklah alam akhirat itu.. kenapa?”, tanya ustaz itu. Saya berkata,“Adakah ustaz percaya dihari akhirat kelak kita semua akan dapat melihat Allah seperti mana yang tercatat didalam hadis yang ustaz baca tadi dan seperti didalam Al Quran daripada surah al-Qiyaamah ayat 22-23 yang bermaksud “wajah-wajah (orang-orang mukmin) pada hari itu (hari qiamat) berseri-seri. Kepada Tuhannyalah mereka melihat?” “Ya, saya percaya”, kata ustaz itu. Kata saya,“Kalau macam tu, ustaz adalah orang yang tergolong dalam golongan yang sama iktiqadnya dengan golongan Mujasimah yang menjisimkan Allah. Bukankah ustaz sendiri yang mengatakan Allah mustahil zahir dalam alam muhadas dan bukankah alam akhirat itu juga adalah alam muhadas?” Ustaz terkedu. Kata saya,“Ternyata alam akhirat itu juga adalah muhadas maka dimanakah ustaz hendak meletakkan iktiqad ustaz bahawasanya Allah itu mustahil zahir pada alam muhadas sedangkan secara terang Rasulullah memberitahu dihari akhirat kelak Allah akan datang kepada orang mukmin dengan rupa yang dapat dikenali?” Ustaz masih terkedu. “Kalau mengikut bahas ulama, Allah itu mustahil zahir pada alam muhadas dan mustahil rupanya dapat dikenal tetapi mengikut kata Rasulullah, Allah itu zahir pada alam muhadas dan kerana itu rupanya dapat dikenal. Nah! Mana satukah yang ustaz nak pakai.. bahas ulama atau kata-kata Rasulullah?”, tanya saya. Ustaz dan ustazah sama-sama terkedu. “Jika alam akhirat itu muhadas dan alam dunia juga muhadas maka apa penghalangnya yang boleh menghalang Allah zahir didunia dalam rupa yang dapat dikenal oleh orang mukmin sedang Dia akan menampakkan diriNya juga diakhirat nanti dalam bentuk rupa yang dikenal oleh orang mukmin semasa didunia dahulu?”, kata saya. Ustaz yang tadinya duduk tegak kemudiannya tersandar dikerusi. “Bukankah agama Islam mengajar kepada kita agar tundukkan akal pada wahyu. Nah.. telah saya kemukakan hujahan saya dengan wahyu namun kenapa masih tunduk kepada akal dan bahasan ulama?”, tanya saya kepadanya. Kali ini mata ustaz tepat merenung tajam ke arah saya dan jelas kelihatan titik-titik peluh membintik dihidungnya. Katanya, “Boleh ente kemukakan lain-lain bukti yang mengatakan Allah boleh dilihat didunia ini?” Lembut bunyinya pertanyaan ustaz itu. “Ya, boleh.. Sayidina Ali r.a. pernah berkata “lam a’bud robban lam arohu” yang bermaksud “aku tidak menyembah kepada Tuhan yang tidak aku lihat”, kata-kata ini saya kutip dari kitab Sirrul Asrar karangan As-Syeikh Abdul Qadir al-Jailani”. “Itu hadis Mauquf, adakah sanadnya sahih?” kata uztaz. “Tentang sanadnya saya tidak tahu tetapi bagi saya sudah cukup sekiranya menilai hadis Mauquf itu sebagai sahih dengan hanya memandang kepada kredibiliti penulis kitab itu iaitu seorang ulama besar Tasawuf yang terkemuka dan lagi bermartabat sultanul awliya”, kata saya. Kemudian saya menambah.. “Ustaz.. ketahuilah! Orang mukmin tulen itu adalah siapa-siapa yang beriman dengan Allah didunia ini serta mereka mengetahui rupa Tuhan mereka didunia ini dan mereka yakini bahawa Tuhan yang mereka kenali rupaNya itu akan datang pada hari kiamat dengan rupa yang telah mereka kenali semasa didunia ini dan ustaz tak boleh sangkal perkara ini kerana telah terbukti dengan dalil. Kemudian barangsiapa yang beriman dengan Allah tetapi tidak tahu bagaimanakah rupaNya didunia ini maka orang itu adalah tergolong dalam golongan munafiq biar pun dia adalah seorang mufti atau ulama sekalipun”. Tiba-tiba ustazah mencelah, “Saya rasa isu yang sedang kita bincangkan ini amat berat dan tiada yang lebih memahami isu ini melainkan ulama Tasawuf. Saya rasa eloklah ente bertanyakan isu ini pada ulama Tasawuf. Kadang-kadang tidak semua pendapat kita itu benar almaklum kita bukannya ulama”. Sekali lagi ustazah menyerang saya dengan kata-kata sinisnya. Wajahnya lembut tetapi kata-katanya runcing dan tajam. Tapi saya tak ambil hati. Nampaknya mereka tetap dengan pendirian mereka dan tak mahu berganjak darinya sehingga mengalihkan isu kepada pendapat ulama Tasawuf pula. Ashabul Khafi
Posted on: Sun, 28 Jul 2013 19:10:52 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015