++Siri Mencari Ibu Kandung II++ Dalam entri yang lepas, saya - TopicsExpress



          

++Siri Mencari Ibu Kandung II++ Dalam entri yang lepas, saya telah mengemukakan satu teori yang saya namakan Teori Menuju Melayu (The Malay Convergence Theory). Ia mungkin benar dan mungkin tidak benar. Terpulang kepada diri masing-masing untuk membenarkannya atau mendustakannya. Apabila ia berada dalam status teori, ia boleh didukung atau ia boleh dicabar. Saya tinggalkan dahulu perbahasan tentang status kebenarannya. Bangsa Melayu adalah bangsa yang genius lagi hebat. Hendak mengakuinya atau tidak hendak mengakuinya itu adalah urusan masing-masing. Sebelum saya membawa bukti-bukti untuk menyokong dakwaan saya ini, mari kita bayangkan situasi berikut: Seorang anak kecil diberikan sehelai kertas, pensil, dan warna. Mereka diberi kebebasan untuk melukis. Pada pendapat Tuan, apakah yang akan dilukis oleh anak kecil itu? Benar, anak kecil itu akan melukis apa-apa sahaja yang pernah dilihatnya. Kalau anak kecil itu dibesarkan di kampung, dia akan melukiskan gambar rumah kecil di tepi sawah. Kalau anak kecil itu dibesarkan di pekan kecil, dia akan lukiskan gambar rumah-rumah kedai, dan kalau anak kecil itu dibesarkan di Kuala Lumpur, dia mungkin akan melukis gambar KLCC atau Menara Kuala Lumpur. Begitulah seterusnya, sehinggalah anak kecil itu menjadi dewasa, maka persekitaran dia dibesarkan, apa yang dimakannya, apa yang disuapkannya, apa yang dilihatnya, apa yang dipertontonkannya, apa yang terlihat olehnya, apa yang didengarinya, apa yang diperdengarkannya, apa yang terdengar olehnya, maka itulah yang akan terkeluar daripada lidah dan hatinya. Maka, Bangsa Melayu, selama beberapa puluh tahun kebelakang, telah disuap, dipertonton, diperdengarkan, bahawa Bangsa Melayu asal daripada kampung, duduk bercucuk tanam, bermain dengan ayam itik, mandi manda dengan gembiranya di dalam sungai-sungai, sambil minum air kelapa yang enak-enak, tidur-baring, menunggu hari cerah sahaja. Berpuluh-puluh tahun duduk dalam keadaan itu, maka apabila diberi kertas dan pensel serta warna, maka warna-warna itulah yang akan dilukiskannya. Lalu, setelah sekian lama, Bangsa Melayu tidak pernah mendengar kisah-kisah nenek moyang mereka yang genius dan hebat-hebat, pembina kota-kota, pembuka negeri-negeri, penakluk kepulauan, pendamai antarabangsa, penjaga jalan antara dua benua, maka jika diceritakan tentang kisah-kisah ini, lalu dikatakan, Itu semua kisah dongeng! Cerita penglipur lara dahulukala. Kita sambung di entri yang lain untuk pembuktian bahawa Bangsa Melayu adalah bangsa genius lagi hebat. Dengan senyuman :) ******************* IKLAN ************************** Perdengarkan buku saya yang bertajuk Tiket Bola Sepak untuk Putera Haziq kepada anak-anak Tuan. Alamilah segala keajaiban yang tidak pernah terbayang oleh Tuan dan saksikanlah pengembaraan hebat Putera Haziq bersama-sama dengan anak-anak Tuan. Buku terbitan PTS ini boleh didapati di mana-mana kedai buku yang berdekatan. +++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++
Posted on: Tue, 29 Oct 2013 03:58:45 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015