Surau di sebuah resort di Sedili Besar yang digunakan sekumpulan - TopicsExpress



          

Surau di sebuah resort di Sedili Besar yang digunakan sekumpulan penganut agama Buddha untuk ritual pada 10 Ogos lalu akhirnya dirobohkan oleh pengurusan resort berkenaan hari ini. Menurut salah seorang pekerja resort berkenaan Mohd Kanang Abdullah, 29, dia diarahkan oleh pemilik resort tersebut supaya melakukan kerja-kerja meroboh surau berkenaan. "Kerja-kerja meroboh dimulakan pada pukul 9 pagi tadi dengan menggunakan sebuah jentolak. Kerja ini kita akan sambung esok," katanya kepada Bernama ketika ditemui di Kota Tinggi. Sementara itu, tinjauan mendapati hanya tinggal 20 peratus struktur binaan itu iaitu bahagian hadapannya yang belum dirobohkan. Sebelum ini Majlis Daerah Kota Tinggi (MDKT) mengarahkan pihak pengurusan resort berkenaan supaya merobohkan surau tersebut. Arahan pada 20 Ogos dikeluarkan melalui notis itu memberikan tempoh 21 hari kepada pemilik resort untuk meroboh premis berkenaan. Jika gagal pemiliknya boleh dihadapkan ke mahkamah atau menanggung kos merobohkannya jika ia dilakukan oleh MDKT. Sementara itu, Ketua Polis negeri Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata kertas siasatan yang lengkap itu sudah diserah kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) untuk tindakan lanjut. "Kertas siasatan telahpun disiap dan diserahkan kepada DPP, kita hanya tunggu untuk tindakan selanjutnya," katanya ketika diminta mengulas perkembangan kes itu hari ini. Sebelum ini, pada 14 Ogos lepas, polis menyerahkan kertas siasatan berhubung kes itu kepada DPP namun dikembalikan berikutan beberapa aspek, seperti rakaman percakapan, tidak lengkap. Tindakan pemilik resort warga Singapura berusia 45 tahun itu pada 10 Ogos lepas, yang mempunyai status penduduk tetap (PR) negara ini, menyebabkan dia ditahan reman empat hari sebelum dibebas sementara menunggu perbicaraan. Sementara itu, polis Johor memburu 10 lelaki yang dipercayai aktif dalam kegiatan jenayah samun, cubaan bunuh dan bunuh di negeri ini. Mokhtar berkata kesemua suspek berusia antara 24 dan 45 tahun dan merupakan warga tempatan. Mereka ialah R.Vadiveloo, 29, dari Segamat; R.Poobalan, 24, dari Jalan Camar 14, Taman Perling; R.Raj Selvanathan, 25, Segamat; F.Prem, 26, dari Sri Larkin; dan S.Sugumaran, 34, dari Susur 5, Jalan Tun Abdul Razak. Beliau berkata polis turut memburu M.Kesavam, 34, dan K.Nadesan, 45, dari Sungai Petani, Kedah; D.Selvam, 35, dari Taman Johor Jaya; S.Subramaniam dari Taman Gunung Emas, Ulu Tiram, dan A.S. Devid Dass, 30, dari Gunung Rapat, Ipoh, Perak. Sehubungan itu, beliau meminta sesiapa yang mengenali suspek menghubungi balai polis berhampiran dan memberi jaminan identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan.
Posted on: Thu, 29 Aug 2013 03:04:02 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015