Surgeri artroskopik rawat meniskus koyak Doktor, SAYA telah - TopicsExpress



          

Surgeri artroskopik rawat meniskus koyak Doktor, SAYA telah mendapat kecederaan pada lutut kanan saya (meniskus) semasa bermain bola. Di sini saya ingin bertanyakan beberapa soalan tentang kecederaan lutut. - Bolehkah doktor ceritakan tentang struktur lutut, kecederaan yang boleh berlaku, faktor dan penyebab kecederaan? - Apakah yang dimaksudkan dengan artroskopik dan apakah faedahnya? - Bolehkah kecederaan ini sembuh tanpa pembedahan? Bagaimanakah caranya dan berapa lamakah pula masa untuk sembuh (tanpa pembedahan)? - Bolehkah kecederaan berulang selepas rawatan? Terima kasih doktor. BAHADIEN Anatomi lutut Meniskus adalah struktur rawan berbentuk bulan sabit yang terletak di antara permukaan sendi lutut yang terbentuk dari tulang paha (femur) dan tulang kering (tibia). Secara keratan rentas, meniskus berbentuk segi tiga dan melekat pada selaput rawan sendi lutut pada sempadan luarnya. Terdapat dua meniskus pada sendi lutut normal di bahagian luar dikenali sebagai meniskus lateral manakala di bahagian dalam, meniskus medial. Meniskus adalah penting dalam menyerap hentakan sebanyak sepertiga dari jumlah hentakan yang dialami oleh rawan sendi lutut. Ia juga membantu menstabilkan sendi lutut. Sebahagian besar meniskus tidak mempunyai salur darah. Oleh itu jika terkoyak, meniskus tidak akan berdarah. Hanya bahagian sepertiga luar meniskus yang melekat pada lapisan dalam lutut mempunyai salur darah. Disebabkan oleh faktor di atas, meniskus yang koyak tidak dapat sembuh secara sempurna melainkan koyakan kecil pada bahagian sepertiga luar meniskus yang mempunyai salur darah. Secara terminologi, pakar ortopedik mengklasifikasi bahagian meniskus pada tiga bahagian. Bahagian depan sebagai anterior horn, bahagian sepertiga belakang sebagai posterior horn dan bahagian tengah, the body. Koyakan yang berlaku akan diklasifikasikan dengan menggunakan terminologi di atas. Bagaimana meniskus boleh tercedera? Bagi atlet muda, kebanyakan kecederaan meniskus berlaku disebabkan oleh trauma yang berlaku ketika bersukan atau kemalangan. Meniskus akan terkoyak jika lutut jatuh dalam kedudukan bengkok dan berpusing. Meniskus juga boleh terkoyak jika terdapat kecederaan pada ligament cruciate lutut yang sama. Pesakit yang mempunyai kecederaan kronik pada ligament cruciate lutut berisiko tinggi untuk mendapat koyakan meniskus pada lutut tersebut. Bagi pesakit yang lebih tua, kebanyakan meniskus koyak disebabkan oleh kecederaan yang lebih ringan seperti lutut terpusing, mencangkung atau melakukan aktiviti yang berulang-ulang seperti berlari yang boleh memberikan tekanan pada sendi lutut. Koyakan ini berlaku disebabkan oleh degenerasi atau kemerosotan meniskus yang berlaku apabila umur meningkat, berserta dengan perubahan rawan di mana rawan mula haus pada sendi tersebut dalam pesakit yang lebih tua. Tanda-tanda koyakan meniskus Meniskus yang terkoyak akan menyebabkan kesakitan pada bahagian lutut di mana koyakan itu berlaku selalunya pada aras permukaan sendi lutut. Lutut tersebut boleh juga membengkak. Kebiasaannya, lutut akan membengkak sehari selepas kecederaan dan pesakit akan mengalami kekejangan pada lutut dan sukar untuk berjalan, selalunya turut melibatkan kecederaan ligament cruciate. Dalam kecederaan yang lebih serius, lutut boleh terlekat dalam keadaan bengkok dan pesakit tidak dapat meluruskan lutut tersebut kerana kesakitan. Ini selalunya disebabkan oleh bahagian meniskus yang koyak melekat dan terkepit pada tulang femur sendi lutut. Cebisan meniskus yang koyak berbentuk seperti baji menghalang permukaan sendi dari bergerak, menyebabkan lutut kelihatan seperti terkunci. Sebarang pergerakan berpusing, mencangkung atau melompat boleh menghimpit dan menekan cebisan meniskus yang sedia koyak menyebabkan kesakitan. Kesakitan akan berkurangan selepas rehat. Bagaimanapun, apabila aktiviti yang lebih lasak dilakukan, kesakitan tersebut akan berulang. Cebisan meniskus tidak akan sembuh disebabkan oleh bekalan salur darah yang kurang. Oleh itu simptom pesakit seperti di atas akan sentiasa berulang sehingga rawatan pada koyakan tersebut diberikan. Tanpa pembedahan, peluang untuk kesakitan berkurangan akibat koyakan adalah tipis. Rawatan koyakan meniskus Apabila koyakan pada meniskus telah dikenal pasti selepas pemeriksaan pakar ortopedik dan penyiasatan MRI (Magnetic Resonance Imaging) dilakukan, ia perlulah dirawat. Lutut yang terlekat atau terkunci perlu dirawat dengan segera. Pembedahan artroskopik adalah kaedah pembedahan yang kurang invasif dan cara tunggal untuk merawat kecederaan meniskus. Tidak ada ubat-ubatan, pendakap atau kaedah fisioterapi yang dapat membantu menyembuhkan struktur meniskus yang koyak. Hanya koyakan kurang satu sentimeter dan terletak pada bahagian sepertiga luar meniskus yang berpotensi untuk sembuh. Bagaimanapun, koyakan dalam situasi tersebut amat jarang berlaku. Kaedah pembedahan artroskopik adalah prosedur di mana pakar bedah ortopedik akan menggunakan alat artroskop yang berkamera dan peralatan lain ke dalam sendi lutut untuk membaiki atau membuang bahagian meniskus yang koyak. Artroskop adalah alat berbentuk tiub yang mempunyai punca cahaya yang dapat memberikan imej dalam sendi lutut pada monitor televisyen. Saiz atroskop adalah seperti diameter sebatang pensel dan luka torehan untuk memasukkan alat tersebut adalah kecil sepanjang 1sm. Semasa pembedahan, sejenis bendalir akan disuntik ke dalam lutut untuk mengembangkan struktur dalam sendi supaya pemeriksaan rapi pada rawan, ligamen dan meniskus boleh dilakukan. Pembedahan membuang bahagian meniskus yang terkoyak dikenali sebagai meniscectomy manakala pembedahan untuk menjahit semula bahagian meniskus yang koyak dikenali sebagai meniscal repair. Rawan atau meniskus yang koyak akan dijahit atau dibuang bergantung pada keadaan struktur tersebut semasa pemeriksaan. Luka tebukan sepanjang 1sm untuk memasukkan alat yang digunakan, akan dijahit selepas rawatan pembedahan pada bahagian tercedera telah selesai. Jika meniskus yang koyak perlu dibuang, bahagian meniskus yang tinggal akan diratakan menggunakan peralatan yang sesuai dan pakar ortopedik akan cuba untuk meninggalkan meniskus yang normal sebanyak mungkin kerana fungsi penting meniskus sebagai penyerap hentakan. Kebanyakan koyakan perlu dibuang kerana kawasan di mana koyakan itu berlaku tidak ada salur darah dan tidak mempunyai potensi untuk sembuh walaupun selepas dijahit. Keputusan untuk cuba menjahit kembali koyakan tersebut bergantung pada kedudukan koyakan, saiz koyakan dan berapa lama koyakan meniskus telah berlaku. Oleh kerana luka pembedahan artroskopi adalah kecil, maka kesakitan selepas pembedahan adalah minimum dibandingkan dengan kaedah pembedahan biasa. Parut luka pembedahan juga adalah kecil dan pemulihan semula (rehabilitasi) pesakit akan menjadi lebih cepat dan mudah kerana luka dan kesakitan yang minimum. Selepas pembedahan, bergantung kepada meniskus tersebut telah dijahit atau dibuang, pesakit perlu bertongkat untuk tiga hingga enam minggu. Ahli fisioterapi akan dimulakan untuk mengurangkan kesakitan dan bengkak dalam tempoh tersebut. Pergerakan lutut akan dibenarkan secara perlahan semasa rehabilitasi. Senaman untuk menguatkan otot sendi akan dimulakan selepas pesakit dibenarkan berpijak. Pesakit hanya boleh kembali aktif berlari atau bersukan setelah tiga hingga empat bulan jika kekuatan dan pergerakan sendi lutut telah normal dan tiada kesakitan pada sendi tersebut. Pemulihan selepas pembedahan membuang meniskus yang koyak adalah lebih pantas dan pesakit hanya memerlukan tongkat untuk bergerak pada jarak yang jauh sehingga pesakit boleh berjalan tanpa berdengkut-dengkut (selalunya dalam masa seminggu). Selepas menjalani program rehabilitasi yang sempurna, pesakit boleh kembali aktif dalam masa empat hingga enam minggu selepas pembedahan. Bagi pesakit yang mengalami kecederaan meniskus yang tidak dirawat, koyakan tersebut boleh menjadi lebih besar jika pesakit tersebut mengalami kecederaan baru. Koyakan yang besar akan menyebabkan kesakitan yang kronik dan situasi terkunci seperti dijelaskan di atas berlaku. Pesakit yang mempunyai kecederaan kronik ligament cruciate juga berisiko tinggi untuk mendapat kecederaan meniskus atau koyakan meniskus yang sedia ada menjadi lebih besar. Jawapan disediakan oleh Pakar Runding Ortopedik, Dr. Ariff Sukimin Shukri.
Posted on: Fri, 16 Aug 2013 15:54:38 +0000

Trending Topics



>
Only going to run the free Can You 24 Workout DVD and free box of
For sale!!! Brand-new Oakley eyeglass Prescription and Brand-new
Bout to drop some gym knowledge. More and more i see people
GACETILLA DE PRENSA, SUGERIMOS SU DIFUSIÓN Y PUBLICACIÓN Y
Know ye not that they which run in a race run all,but one

Recently Viewed Topics




© 2015