Tetap masa kempen didik rakyat jaga kebersihan Harakahdaily, 24 - TopicsExpress



          

Tetap masa kempen didik rakyat jaga kebersihan Harakahdaily, 24 Ogs 2013 AMPANG: Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Peneroka Bandar Negeri Selangor, Iskandar A. Samad mahu tindakan tegas diambil ke atas mereka yang membuang sampah merata-rata. Ahli Dewan Negeri Chempaka itu berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu menetapkan satu jangka masa tertentu untuk kempen mendidik rakyat supaya menjaga kebersihan dan setelah tempoh itu tamat tindakan yang tegas seperti mengenakan kompaun diambil. Beliau berkata demikian ketika merasmikan Gotong Royong Perdana Negeri Selangor peringkat Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) di Medan Selera Bukit Indah, pagi tadi. Katanya, ada segelintir dari masyarakat yang hanya akan faham tindakan penguatkuasaan seperti itu, justeru tindakan itu perlu demi menjaga kepentingan orang ramai. Iskandar juga memberi contoh kawasan Pandan Indah di mana terdapat penduduk yang sesuka hati membuang tilam buruk dan almari lama di tepi-tepi jalan tanpa memikirkan implikasinya. Beliau juga menambah, Undang-Undang Kecil Pungutan, Pembuangan Dan Pelupusan Sampah (MPAJ) 2007 membolehkan mereka dikompaun sehingga RM1,000 dan jika dibawa ke mahkamah boleh didenda sehingga RM2,000 atau dipenjara sehingga 1 tahun atau kedua-duanya sekali. Menurut beliau, apabila ramai penduduk kediaman berstrata gagal membayar caj penyelenggaraan, pangsapuri-pangsapuri telah gagal diselenggara sehingga terdapat lif-lif yang tidak berfungsi berbulan-bulan lamanya. Oleh yang demikian, katanya demi menjaga kepentingan umum kerajaan negeri telah mengambil keputusan untuk mendakwa di mahkamah mereka yang mempunyai tunggakan caj yang tinggi. “Tindakan ini adalah setelah kempen yang dijalankan gagal memujuk mereka untuk menjelaskan tunggakan,” katanya. Iskandar yang juga turut merasmikan Kempen Membasmi Tikus pagi tadi juga berkata peningkatan penyakit kencing tikus (leptospirosis) adalah amat membimbangkan dan hanyalah kerjasama semua pihak berupaya menghapuskan ancaman penyakit itu. Katanya, ia bukan hanya tanggungjawab PBT tetapi adalah juga tanggungjawab para penjaja, peniaga, pekedai dan penduduk secara keseluruhan. Beliau juga berkata penyelesaiannya bukan sekadar menangkap tikus sahaja tetapi memastikan punca-punca makanan yang membolehkan tikus-tikus itu membiak dihapuskan sama sekali. Sehubungan itu, ujarnya penjagaan kebersihan seperti membuang sampah di tempat yang disediakan dan memastikan kebersihan premis-premis perniagaan yang melibatkan makanan adalah teramat penting. Turut hadir pada program itu adalah Ahli Dewan Negeri Lembah Jaya, Khasim Abdul Aziz dan Timbalan Yang Dipertua MPAJ, Abdul Hamid Hussin. bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/21572-tetap-masa-kempen-didik-rakyat-jaga-kebersihan
Posted on: Sat, 24 Aug 2013 16:46:58 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015