Tingkat pendapatan lalui GST tidak berguna tanpa selesai - TopicsExpress



          

Tingkat pendapatan lalui GST tidak berguna tanpa selesai ketirisan, kata PAS 31/08/2013 * Pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) bukan penyelesaian kepada masalah-masalah yang membawa ekonomi negara ke tahap yang membimbangkan hari ini di mana hutang negara hampir melepasi paras 55% KDNK (Keluaran Negara Dalam Kasar) dan fiskal defisit yang mencecah RM14.9 bilion. Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, meningkatkan pendapatan negara melalui GST tidak berguna tanpa penyelesaian sebenar kepada punca ketirisan, pembaziran, kelemahan pengurusan dan budaya penganugerahan projek tanpa tender yang menyebabkan perbelanjaan kerajaan melambung tanpa kawal. Contoh terbaik yang boleh dilihat rakyat ialah pada projek KLIA2, katanya. Projek KLIA2 yang sehingga kini tidak diketahui tarikh siap telah memperlihatkan kosnya meningkat lebih 2 kali ganda daripada RM1.7 bilion di 2009 semasa projek ini dimulakan, ke RM4 bilion pada tahun ini. "Apa gunanya pendapatan negara ditingkatkan tanpa menutup ruang kebocoran kewangan di dalam sistem pentadbiran negara?" tempelak beliau. Hari ini, Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Nur Jazlan Mohamed menggesa kerajaan terus melaksanakan GST bagi menjana pendapatan negara. Beliau berkata, sememangnya pelaksanaan GST di Malaysia bukan satu langkah popular tetapi sistem cukai baru itu perlu dilaksanakan bagi menjamin pendapatan kepada kerajaan sekaligus membolehkan pembangunan negara terus dapat dilaksanakan. “Banyak kerajaan negara lain yang melaksanakan GST ini, kemudian kalah dalam pilihanraya tetapi kerajaan baru yang dipilih daripada pembangkang tidak menghapuskan cukai ini, jadi ia adalah bukti bahawa GST sememangnya memberikan sumbangan dalam menjamin pendapatan negara,” kata beliau. Bagi Tuan Ibrahim, GST tidak boleh menyelesaikan masalah ekonomi negara yang berpunca daripada ketirisan, pembaziran, kelemahan pengurusan dan budaya penganugerahan projek tanpa tender. Tanpa pengurusan kewangan yang cekap dan efektif, apa-apa cara mempelbagaikan pendapatan kerajaan hanya merugikan rakyat kerana duit lebih yang dijana akhirnya akan terbazir begitu sahaja di dalam sistem pentadbiran yang penuh kebocoran tanpa membawa manfaat kepada ekonomi negara. Dengan ekonomi serantau yang semakin tidak menentu dan kejatuhan ringgit yang mendadak, melepasi 8 peratus tahun ini, PAS berasa amat tidak wajar bagi kerajaan untuk melaksanakan GST. Katanya, GST bakal memberikan tekanan kos hidup pada rakyat, terutamanya golongan pendapatan pertengahan ke bawah di kawasan bandar lebih-lebih jika kegawatan ekonomi berlaku. "Jangan kerana kelemahan pentadbiran kerajaan BN, rakyat dianiaya secara berganda dengan penarikan balik subsidi daripada program rasionalisasi subsidi dan kemudian dipaksa membayar lebih untuk barangan keperluan melalui GST di dalam Bajet 2014," gesa beliau. Beliau mempersoalkan, jika kerajaan boleh memikirkan cara seperti meletakkan para peminjam PTPTN di bawah Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) (ia sudah ditolak kini) untuk mendapat kembali wang, mengapa kerajaan tidak mahu berusaha memikirkan cara menutup kebocoran kewangan di dalam sistem pentadbiran dan berusaha mendapatkan kembali duit kerajaan yang dibazirkan seperti yang tertera di dalam laporan tahunan audit negara. TMI YN
Posted on: Sat, 31 Aug 2013 11:19:22 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015