WARGA BRITAIN DIPENJARA SETAHUN SEBABKAN KEMATIAN PEMILIK - TopicsExpress



          

WARGA BRITAIN DIPENJARA SETAHUN SEBABKAN KEMATIAN PEMILIK KAFE Kuala Lumpur, 20 0gos - Seorang pensyarah warga Britain hari ini dijatuhi hukuman penjara setahun oleh Mahkamah Sesyen Ampang dekat sini selepas didapati bersalah menyebabkan kematian seorang pemilik kafe, dua tahun lepas. Hakim Chan Jit Li menjatuhi hukuman itu terhadap Ricos Nicholas Christen, 55, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan. Mahkamah membenarkan permohonan peguam Ram Karpal Singh yang mewakili Christen bagi menangguhkan pelaksanaan hukuman itu sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi. Bagaimanapun, mahkamah menaikkan jumlah jaminan daripada RM15,000 kepada RM30,000 berserta dua penjamin warganegara Malaysia. Christen yang didakwa mengikut Seksyen 304 (b) Kanun Keseksaan, didakwa menumbuk belakang kepala Leong Chin Yap sehingga menyebabkan kematiannya di kaki lima Leisure Bay Cafe and Restaurant di Jalan Pandan Indah 4/6B, Pandan Indah dekat sini pada 2 pagi, 29 Mei 2011. Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Ummi Aliza Abd Kadir memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh kerana ia merupakan kesalahan serius dan menyebabkan kehilangan nyawa. Ram kemudian memohon hukuman ke atas anak guamnya diringankan atas alasan ia merupakan kesalahan pertama Christen dan kejadian yang berlaku tidak disengajakan. "Ini adalah insiden malang yang berlaku dalam masa yang singkat," katanya. Seramai 22 saksi pendakwaan dan tiga saksi pembelaan termasuk tertuduh dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan. - BERNAMA
Posted on: Tue, 20 Aug 2013 09:35:50 +0000

Trending Topics




© 2015