AKU memandang jam tangan lelaki berjenama Adidas di dalam balang - TopicsExpress



          

AKU memandang jam tangan lelaki berjenama Adidas di dalam balang kaca. Sudah lama rupanyasejak aku tinggalkan Ashmal di kedai ini beberapa ketika dulu. Dahulu jam itulah yang selalu aku hadiahkan pada Ashmal. Dahulu jam itulah yang Ashmal tergila-gilakan. Kegilaannya terhadap jam tangan memang aku sudah sedia maklum kerana akulah yang selalu menjadi mangsa untuk menemaninya ke kedai jam. Bagi Ashmal kalau takmampu nak beli, dapat tengok sahaja pun jadilah. Aku senyum segaris. Aku tak pernah membayangkan aku akan datang lagi ke kedai ini bersendirian tanpa Ashmal. Pekerja kedai jam itu ramah saja menegurku dan bertanyakan khabarku. Dan bertanyakan juga di mana Ashmal. Aku hanya senyum ketat. Apa harus aku jawab? Aku sendiri pun tidak tahu di mana lelaki itu sekarang. Mungkin faham aku tidak ingin berbual lebih lama tentang Ashmal, si gadis hanya membiarkan aku berjalan-jalan disekitar kedai menjamu mata padabalang-balang kaca yang lain. Terasa poket seluar jeansku bergetar. Isyarat mesej masuk berbunyi. Aku menyeluk saku seluar dan mengeluarkan telefon bimbit. Oh, Kak Anis! Aku senyum lagi membaca pesanannya. Kakak naqibah yang mengepalai usrah kami di universiti dulu itu mengucapkan selamat bercuti kepadaku. “Jadilah yang mahal Nabila. Diri kita ini hanya untuk yang halal.” “Apa kakak ni tiba-tiba?” Aku yang sedang memilih jam untuknya di sebuah kedai jam di dalam Pasaraya Aeon mengerlingnya sekilas. Aku nampak Kak Anis senyum padaku. “Macam jam ni, kenapa dia orang letak dalam balang kaca? Sebab jam ni ada harga,kena jaga elok-elok ,kena lindungi biar tak tercalar. Dan lagi, kalau kita tak beli kita tak boleh pegang kan?” “Yelah, tahuuu. Tapi tadi kenapa kakak kata ‘Jadilah yang mahal Nabila’? Apasal Nabila pulak?” Kak Anis ketawa kecil bila aku mengajuknya sedemikian rupa. Dia mengambil nafas sebentar sebelum menyambung menjawab soalanku. Hah, semputlah tu. Maaflah, aku memang nakal sikit. Itulah, nak lagi ambil aku jadi ‘adik usrah’… “Tak rasa ke analogi jam tu merujuk pada Nabila? In fact, pada semua perempuan pun. Perempuan tu fitrahnya mahal. Nak jadi perempuan kena pandai jaga diri, jangan senang-senang nak bertempuk-tampar dengan budak-budak lelaki, jangan ambil mudah bagi je nombor telefon kat budak lelaki, jangan…” “Hah, kak! Yang ni, kak! Yang ni! Nabila agak dah, lawa ni. Rugi kalau lepaskan, kita ambil yang ini je kak.” Aku ingat lagi senyuman Kak Anismelayan aku masa itu. Memang dia banyak bersabar untuk melenturkan aku seperti sekarang ini. Dulu, walaupun aku sudah ikut serta usrah sana-sini, tapi hakikatnya aku hanyalah alim-alim kucing. Akulah yang selalu ponteng usrah, akulah yangselalu tak bagi perhatian pada pengisian yang kakak naqibah berikan. Kawan yang seangkatan denganku sudah pun boleh bawa usrah sendiri, tapi aku? Masih lagi syaitaannn. Aku keluar dari kedai selepas selesai membayar jam tangan Adidas yang kuperhati seawal datang tadi. Dan setelah wang baki dihulurkan, aku mengucapkan selamat tinggal danberlalu keluar. Seorang budak perempuan yang kukira dalam lingkungan belasan tahun bersamaseorang lelaki di sisinya terlanggar bahuku. Aku terkedu seketika melihat tangan lelaki itu melingkari pinggang perempuan yang melanggar bahuku itu. Lelaki itu memohon maaf atas insiden tadi dan mereka berlalu masuk ke kedai jam tadi. Aku meraup muka. Macam itukah aku dan Ashmal dulu?Ya, aku dan Ashmal tidaklah sampai bersentuhan sepanjang tempoh kami berkawan. Tapi dosanya tetap sama kan? Aku memandang lagi ke dalam kedai. Budak perempuan itu dengan selamba memaut bahu teman lelakinya yang sedang melihat jam. Aku berlalu dengan hati yang sebal. Begitulah aku dulu. Buta walaupun celik. Pasti ibu budak perempuan itu…ah, aku teringat mak! “BUKAN mudah nak jaga anak perempuan, Nabila. Lagi senang nak jaga lembu sekandang daripada nak jaga kau dengan kakak-kakak kau tau.” Itulah modal mak. Tiap-tiap kali aku nak keluar rumah itulah alasan dia tak nak izinkan aku keluar. “Nak keluar jugak ke? Hah, bawakkakak-kakak kau sekali.” “Sarah ke mak?” “Semualah.” Aku menelan air liur.Semua? SEMUA?? Takkan nak angkut si Sarah, Hanis, Zetty dan Zarith untuk berjumpa dengan Ashmal? Mana boleh diharap kakak-kakakku itu semua.Nanti bukan setakat rahsiaaku terbongkar,malah Ashmal pun direbutnya. “Semua, mak?” “Bila kau nak balik? Malam?” Mak tanya kembali. Itulah emakku, suka menjawab soalan dengan pertanyaan. “Belum tahu, mak.” “Alah, yang belum tahu tu mesti sampai ke malam punyalah. Kau tak payah nak berkias-kias sangat dengan mak ni, Nabila oi. Tak apalah, kalau tak nak kakak-kakak kau ikut, abah akanikut.” Terlepas telefon bimbit mendengarsaranan kedua mak yang kurang menyenangkan itu. “Mak, tak boleh ke kalau biar Nabila keluar sorang- sorang. Sekali je mak.Sekali.” “Eh, kau ni Nabila. Boleh tak dengar cakap mak. Sekali je. Sekali.” Aku mengeluh. “Sarah, Hanis!” Aku terpekik terlolong memanggil kakak-kakakku dari ruang tamu. Mak tersenyum. Kerana aku akhirnya kalah dengannya. “SUSAH betul mak kau nak lepas kau keluar kan?” Ashmal duduk di kerusi berhadapan denganku. Sarah dan Hanis sudah lama meringkuk dalam pusat membeli-belah meninggalkan kami berdua atas permintaanku dan atas kerelaan mereka juga sebenarnya yang gila membeli-belah. Aku memandang Ashmal sekilas sebelum menjawab, “Tak adalah, mak aku tu hari ni angin kus-kus dia datang. Aku yang terkena tempiasnya.” “Angin kus-kus?” Ashmal berkerut seribu. Aku ketawa kecil dengan mimik muka tulus lagi polos yang tak faham jenakaku itu. Haila lelaki ini… “Aku ada lima adik-beradik perempuan, Mal. Mana taknya mak aku tu tak susah hati nak memikirkan tentang kami semua ni. Kalau aku ada abang nak tengok-tengokkan lainlah.” Ashmal mencuri kentang gorengku dan dengan riak tak bersalah dia menyuapkan ke dalam mulutnya. Aku menjegilkan biji mata apabilatidak sampai 2 minit dia mencuripula coleslaw aku dan menyuapkan lagi ke dalam mulutnya. Selepas itu dia mencubit sedikit demi sedikit ayam aku untuk masuk ke dalam perutnya. Jatuh rahang. Sepantas kilat aku menampar tangannya. “Apa?” Ashmal memandangku kelam. “Curi ayam aku. Kau punya kan ada.” “The same old Nabila dengan snack plate kegemarannyaaa…” Ashmal bernyanyi kecil sebelum menyambung lagi, “Apalah salahnya aku ambil sikit,berkongsi itu kan boleh tambah kasih sayang.” Aku jatuh rahang. Stone-cold. Heartbreaker. Less talk. Lelaki yang sama ke yang bercakap jiwang-jiwang denganku tadi? “Kau merepek apalah, bongok.” Ashmal ketawa besar. “Malulah tu.” Ashmal tersenyum sinis. “Hah, dah kenapa pulak senyum senget ni? Baling coleslaw ni barutahu langit tu tinggi ke rendah.” “Jangan mengada nak baling. Rugi. Biar aku makan.” Dan kami ketawa lagi. NAMAKU Maryam Nabila. Anak bongsu daripada lima adik-beradik perempuan. Kakak sulungku, Zarith Sofea merupakanseorang jurutera di sebuah kilang di ibu negara. Zetty Faizura, kakak keduaku merupakan seorang pelajar perubatan di salahsebuah universiti tempatan. Kakak ketiga, Hanis Afiqah yang gila-gila sedikit ini juga masih lagi belajar dalam jurusan kejuruteraan awam di Sarawak. Dan Sarah Nadia, kakak yang paling dekat usianya denganku, yang bukan agak gila-gila tapi sangat gila-gila. Minat muzik tapi ambil jurusan senibina di Johor. Tak ke gila jugak namanya tu? Kot la kalau nak sambung belajar di ASWARA ke boleh terima jugak. Haila kakakku yangsatu ini… Ya, kesemuanya hebat, mendapat tajaan JPA dan MARA, pulak tu belajar jauh ke utara selatan timur dan barat bak kata Sudirman Haji Arshad. Dan aku hanya berjaya memasuki tingkatan enam di sekolah tepi rumah dengan mengambil aliran sastera dan berjaya mendapat tajaan daripada ‘Yayasan Ayah Anda’. Kontra sungguh dengan kakak-kakakku yang lain sampaikan jadi bahan usikan olehanak-anak mak yang dah berjaya itu. “Kau masuk tingkatan enam je adik?” “Apasal kau ambil sastera? Kau nak jadi macam A.Samad Said eh? “Shahnon Ahmad?” “Kau bukan anak mak kot. Sebab tu kau tak ambil aliran sains.” Baik Sarah, Hanis, Zetty ataupunAlong Zarith. Semua sama je. Suka benar nak menyakat aku walaupun sebenarnya mereka tak memaksudkannya. Dan Ashmal hadir dalam hidup aku semenjak aku memasuki tingkatan enam di sini. Kolej Sultan Abdul Hamid adalah sebuah sekolah lelaki dan hanya kelas pra-U sahaja yang mempunyai pelajar perempuan. Sungguh, rasa nak lari masa mula-mula masuk sekolah ini dulu. Iyalah, kalau anda tahan makan di kantin yang di kelilingilelaki sahaja atau sanggup pusing satu sekolah hanya untuk cari tandas perempuan di sekolah lelaki, anda memang seorang wanita tabah. Bila Ashmal merapatiku dan kononnya menjadi superhero setiap kali kena mengurat dengan junior-junior, aku tak lagi segan sangat nak berjalan di sekitar kawasan sekolah. Ashmal dahulunya merupakan pelajar sekolah ini sejak di tingkatan satu lagi dan kemudian menyambung tingkatan enam di sekolah yang sama juga. Stone-cold. Ashmal sangat dingin dengan budak-budak perempuan kelasku. Kawan lelaki pun tidak banyak malah boleh dikatakan akulah satu-satunya kawan di adi sekolah. Heartbreaker. Bukan aku tidak tahu ramai budak perempuan kelasku dan kelas-kelas sebelah minat pada Ashmal. Tapi tidak satu pun yangdilayannya. Less talk. Budak Ashmal ini hanya tahu bercakap dengan aku saja. Denganbudak-budak kelas lain,dia sedingin salju dan keras membatu. Tapi sekarang semua itu hanya ada dalam lipatan kenangan. Ashmal sudah pergi jauh dariku. Ashmal jauh tapi dekat. Peristiwa itu sudah lama tapi masih segar dalam kelopak mataku sampai hari ini. Aku pasti akan kembali padanya. Aku sayang padanya. “DIA dah nak terbang,Mal.” “Bila?” “Pukul lima petang ni.” Ashmal mengepal penumbuk ke meja kerjanya. Dian merenung jamyang tergantung di dinding sebelah meja kerjanya. Dah pukul empat. Apa boleh buat dalam masa sejam begini? Sempat ke nak ke KLIA dalam masa tersebut? Ashmal memandang wanita itu lama. “Dia nak terbang ke mana, kak?” “Aberdeen.” Penerbangan antarabangsa. Mestilah dia akan ke KLIA dulu kan? “Penerbangan pukul lima dari mana, kak?” “Maaf, Mal. Flight Nabila ke Aberdeen pukul lima itu dari KLIA.Terus terang akak cakap Mal mungkin tak sempat nak jumpa Nabila dah.” Sarah Nadia yang satu tempat kerja dengan Ashmal sesungguhnya amat prihatin akan calon ‘adik ipar tidak jadi’nya itu. Sudah sekian lama Ashmal mengejar adiknya yang sering melarikan diri daripada Ashmal dan Sarahlah perantaranya. Daripada Sarah, Ashmal mengetahui semua berita tentang Nabila. Tapi Ashmal tak nak mendekati Nabila secara terus kerana khuatir Nabila akan pergi lebih jauh dari dirinya. Ashmal sangat takut kehilangan Nabila buat kali kedua. Nasib dia baik, dipertemukan dengan kakak Nabila di tempat kerja yang sama di Tanjung Malim. Nabila, insan istimewa di hatinya sejak dulu. Nabilalah satu-satunya perempuan yang pernah menjadi igauan tidurnya malah dia juga perempuan pertama yang Ashmal cintai. Semua tentang Nabila adalah istimewa di matanya. Nabila mengikut jejak Sarah belajar di selatan tanah air, jauh meninggalkan Ashmal yang hanyamelanjutkan pelajaran di politeknik Selangor. Dan setelah itu,Nabila berubah 360 darjah. Setelah mengenali usrah, Nabila yang dulunya suka memberontak dan membantah apa saja kata ibunya, kini tak akan keluar rumah walaupun ke kedai tanpa kata ‘Ya’ daripada ibu bapanya. Nabila yang dulu tak betah dudukdi rumah pada hujung minggu. Setiap kali Sabtu tiba,ada saja tempat yang ingin ditujunya. DanAshmal pasti diheret sama. Nabila berubah perlahan-perlahan sehinggalah perpisahan yang dipintanya membuatkan Ashmal terduduk. Kelu di suatu sudut tanpa bicara. “Mal, kita tak boleh terus macam ni. Kita salah. Hubungan ini salah.” “Apa maksud kau?” “Hubungan kita sebelum nikah. Aku baru tahu tiada istilah couple sebelum nikah, Mal.” “Jadi?” “Kita putus.” “Nabila!” “Atau kau sanggup kahwin denganaku sekarang?” “Nabila, kita ni masih belajar lagi.Aku belum cukup duit untuk tanggung kau nanti.” Nabila juga diam di situ,menyusun ayat yang terbaik untuk tidak membuat Ashmal tersinggung. “Aku sayang kau. Aku tak nak kita putus. Kita dah kawan lama, okey? Kau satu-satunya kawan yang aku ada.” “Aku tak nak sayang pada yang tak halal. Aku masih tak halal untuk kau. Begitu juga kau.” “Aku bukan berkawan dengan kau tanpa tujuan tahu. Aku memang nak berkahwin dengan kau, Nabila.” “Siapa boleh beri jaminan tentangitu, Mal?” Ashmal terdiam dengan hayat itu.Dan Nabila melangkahkan kakinya dari saat itu tanpa berpaling lagi. Nabila tinggalkan Ashmal untuk perhubungan yang lebih baik. Setiap hari selepas dari itu Ashmal bagai nak gila. Menunggu panggilan SMS daripada si gadis umpama menunggu bulan jatuh keriba. Terkadang bila cuti semester tiba, Ashmal sanggup naik bas pergi ke kampus Nabila hanya untuk melihatnya. Kalau nasib baik Ashmal akan terserempak Nabila di perpustakaan, di kafe dan tempat-tempat awam yang biasa Nabila kunjungi. Penat dengan hanya melihat sahaja, Ashmal turut mendekati Nabila beberapa kali untuk mengajak si gadis menyambung kembali perhubungan mereka. “Mal, kau belum faham ke?” “Aku…” “Mal, carilah seseorang. Bila kau dah faham dan datang jumpa akulagi, aku harap masa itu aku akandapat terima kau.” Ashmal terduduk lagi. “Aku dah hilang Nabila selama-lamanya.” Ashmal meraup muka beberapa kali. “Abang Ilham!” Ashmal bangun dan terus mencapai Sony Ericson di atas meja studinya. ASHMAL menunggu dengan penuh sabar di balai berlepas. Di sisinya kini ayah, mama, abang dan dua adik lelakinya yang akan turut sama menemaninya dalam penerbangan kali ini. Di suatu sudut pula, Kak Sarah dan kedua ibu bapanya sedang sibuk memeriksa barang, takut ada yangtertinggal. Kak Zetty, Kak Hanis dan Along Zarith sedari tadi tidak habis-habis bergelak ketawa. Dari jauh kedua-dua buahkeluarga ini nampak bahagia lagak hendak bercuti ke Phuket. Tak pun Krabi Island. Walhal mereka sebenarnya dalam misi menjayakan hubungan antara dua jiwa. Ashmal tersenyum sendirian. Dia sedang menuju bahagia… Isyarat mesej masuk berbunyi. Seawal membuka pesanan ringkas lagi Ashmal sudah tersenyum lebarkerana kenal benar dengan nombortelefon itu. Nabila. Tak lama lagi mak ayah aku nak datang ke tempat aku.Mak aku nak kahwinkan aku.Maaf Mal.Aku rasa aku dah tak dapat nak terima kau lagi.Harap kau dah faham apa yang aku nak sampaikan dulu tu.Harap kau dahjumpa seseorang yang boleh bimbing kau. Ashmal menyebak rambutnya yangjatuh mencecah dahi. Nafas dihembus perlahan. Nak balas apa pada Nabila ni? Ashmal menaip bait demi bait dankemudiannya menyentuh pula butang backspace pada skrin sentuhnya beberapa kali sebelum mengambil keputusan untuk membiarkan saja SMS itu sepi. Aku akan datang, Nabila. Ashmal mengerling sekilas pada bagasi-bagasi yang berisi hantaran di dalamnya sebelum tersenyum lagi. Hari ini serasakandia tidak boleh berhenti tersenyum sampai ke malam gamaknya. Dia terlalu bahagia. Nabila. Ashmal akan buat apa saja untuk memiliki gadis yang empunya nama tersebut sekalipun dia terpaksa tebalkan muka bertandang ke rumah Nabila untuk meminta restu ibu bapanya seperti yang dilakukannya tempohhari. Ashmal kenal benar dengan gadis itu. Nabila bukan menolaknya kerana benci atau tak sudi. Nabila cuma menolak perhubungan yang tidak halal. Ashmal faham tidak mudah untukseseorang itu berubah menjadi insan yang lebih baik. Dia tahu, kerana dia sendiri telah melalui fasa itu. Fasa di mana dia mula mencari sepupunya, Abang Ilham untuk mencurahkan segala masalah dan konflik yang dihadapinya. Dia juga melalui fasa menambah ilmu di dada dan juga berusaha untuk menjadi lelaki yang lebih seperti yang Robbie William pernah dendangkan, To be a better man… Akhirnya yang Ashmal ketemui ialah suatu kebenaran,ketenangandan keindahan yang sudah lama Nabila kecapi. Sekarang Ashmal ingin kongsikan berita gembira itubersama Nabila. LAPANGAN Terbang Heathrow menyambut rombongan dua buah keluarga itu dengan ceria.Hati berdebar-debar. Mungkin si gadis sudah menanti di balai ketibaan. Ashmal senyum lagi. Ayah Nabila, Encik Fadhil yang melihat, menyiku Ashmal dan turut tersenyum. Dan setelah itu, semua mata memandang Ashmal. Kantoi! Saat itu, Ashmal terpandangkan si gadis sedang melambai-lambai ke arahnya. Ashmal kalih. Dia lambai aku ke? Si gadis kemudiannya menarik balik senyuman manis yang sudahlama tidak ditatapnya sejurus Ashmal makin mendekat. Si gadisjatuh rahang. Lucu sekali mimik mukanya saat ini. Dia dah kenallah tu… “Mal…” Aku hampir hilang pertimbangan melihat senyuman lelaki itu di depan mata. Agak jauh dari kami ketika ini, aku dapat lihat mak dan abah sedang bergelak ketawa bersama kakak-kakakku. “Mal, ini bukan masanya. Keluarga aku dah sampai sini. Aku tak nak diorang nampak kau, lagipun kakak-kakakku ada sama. Diorang kenal kau siapa. Tolonglah…” “Shhhh…kau masih seperti dulu kan, banyak cakap. Kau tinggal UK ni kat mana?” Aku terkedu di situ. Mak dan abah semakin dekat. Mujur Ashmal membelakangi mereka. “Err…Aberdeen.” “Oh, jadi rumah kau dalam kampus U ke atau kau sewa rumahlain kat luar?” “Mal, kau pergilah!” marahku. “Eh, Adik dah jumpa Ashmal ke? Baguslah macam tu.” Mak bersuara sebelum aku sempat bersalaman dan memeluknya. Makkenal Ashmal? “Adik dah uruskan tempat tinggalkami semua? Anak dara dengan anak teruna sama banyak je ni. Tak boleh nak tinggal sekali,” kata abah mencelah. Aku menyambut tangan abah dan menciumnya. “Err…dah. Tadi sebelum datang sini dah tempah dua rumah tamu dalam kampus. Satu untuk keluarga kita, satu lagi untuk rombongan…” Aku tak jadi meneruskan kata-kata apabila menyedari rupa-rupanya sedari tadi budak Ashmal ini merenungku bagai nak tembus. Walaupun Ashmal bukan sesiapa lagi buatku sekarang, tapiaku masih berhati perut lagi. Aku tak nak lukakan dia dengan berita pertunanganku. “Baguslah macam tu. Kenalkan, ini mama dan ayah aku.” Ashmal bersuara. Aku menyalami ibunya. Dan rupa-rupanya inilah adik-beradiknya yang selalu aku dengar melalui penceritaannya sahaja. Selama kami berkawan dulu, aku belum pernah bertemu keluarganya. Dan mungkin keluarga inilah yang bakal menjadi menjadi keluargaku jika tidak aku yang memutuskan hubungan lama dulu. “Abah, adik sewa dua bilik je. Ashmal dengan keluarga dia nak tinggal mana? Dan macam mana abah kenal Ashmal?” Aku berbisik di telinga abah. “Ah, abah cadang nak rehat sini jetadi. Tapi memandangkan Adik dah datang, kita terus ke tempat adik jela.” “Jauh ke sini dengan tempat Nabila?” Ayah Ashmal bertanya ramah. Bapa mentua tak jadi… “Tak apalah. Jom!” Abah merangkul bahu lelaki itu dan berlalu keluar dari balai ketibaan. “Jauh.” Sepatah aku menjawab. Semua orang membuntuti abah dan Encik Johari. Semua orang tak pedulikan aku. Apa ni? Apa yang dah jadi? “Jomlah, tunggu apa lagi. Kitorangbukannya tahu jalan.” Ashmal di belakangku bersuara. Aku memandangnya tajam. “Mal, aku tak selesalah kau datang sini. Sampai hati kau angkut family kau sekali ke sini.” “Eh, mestilah. Mereka audiens penting untuk tengok drama kita.” “Mal! Drama apa?” Ashmal laju membuntuti kakak-kakakku. Sarah tak tegur aku? Hanis, Along dan Zetty pun sama. Sampainya hati. Aku selamat diijab kabulkan petang semalam di sini. Tak pernah aku bayangkan akan bernikah di Tanah Ratu, sebuah tempat asing bagiku. Pulak tu aku bernikah dengan orang yang tak pernah aku bayangkan selamaini. Baik, sebenarnya bukanlah tak pernah bayangkan langsung. Cuma takdir yang memandu hidupku sebelum ini memang nyata tidak ke arah lelaki ini. Tapi, hakikatnya… Kalau jodoh tidak ke mana. Jodohyang diredhai, yang halal buat kami berdua. Majlis kenduri kesyukuran hanya dibuat ala kadar dengan menjemput rakan-rakan kelas Masterku dan beberapa orang budak Malaysia yang belajar di sini. Benarlah, UK memang lubuk rakyat Malaysia. Aku baru tahu apabila yang bertandang ke kolej kediamanku bukan sedikit, palingkurang pun 100 orang jugalah. Pada sebelah malam, barulah akuada masa untuk berbual dengan lelaki yang kini suamiku. “Mal!” Aku memanggil dari jauh Ashmal yang sedang khusyuk membaca buku yang aku tidak nampak sangat tajuknya. Yang pentingnya berbunyi begini, ‘Me…gerbang perkahwinan’. “Mal!” Ashmal masih tidak kalih. Aku membaling bantal padanya sekuat hati. Ashmal kalih dan memandangku tunak. “Ai, hari pertama kahwin aktivitinya baling bantal pada suami ke?” Ashmal mendekatiku yang berura-ura mahu keluar bilik. “Part mana yang Nabila nak Abang jelaskan?” “Apa?” “Yela, Nabila macam tak puas hati je dengan Abang. Ke Nabila tunggu orang lain masa kat airport dulu? “Jangan merepek.” “Abang dah faham.” “Bukan macam tu…” “Abang dah faham. Nabila sayang Abang. Cuma Nabila tak nak kita tersasar dari landasan yang betul, kan?Seronok jugak usrah tu ya.” Aku jatuh rahang. “Kau join usrah.” ujarku merumuskan. Ashmal angguk cuma. “Bukan senang nak dapat anak orang, kan? Syukurlah kita kahwin sekarang bila semua dah ada. Duit dah banyak, gaji dah tebal, ilmu agama pun dah ada dah sikit…pengalaman dah banyak. Hmm, dah bolehlah ni.” Ashmal ketawa kecil. “Kenapa kau tak beritahu aku tentang MoU keluarga kita?” Ashmal ketawa lagi. “Mesti takut kan? Nabila bayangkan Nabila tak dapat kahwin dengan Abang dah, kan? Mesti menyesal buat keputusan macam tu dulu, kan?” “Tak.” “Nabila, kita sama-sama jaga syariat. Terima kasih, sedarkan abang, buatkan abang cari seseorang untuk berubah pada takuk yang lebih baik. Dulu tu, Abang ingat Nabila tak sudi berkawan dengan Abang. Rupa-rupanya niat Nabila baik, hati Nabila besar.” Aku senyum semata. “Bukan aku tak sudi…”
Posted on: Wed, 14 Aug 2013 15:37:36 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015