Adunan sarung iPad RM1.8 juta Sepang: Cubaan seorang lelaki - TopicsExpress



          

Adunan sarung iPad RM1.8 juta Sepang: Cubaan seorang lelaki menyeludup dadah dipercayai Methamphetamine atau syabu di dalam sarung atau casing iPad gagal selepas taktiknya dikesan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT), minggu lalu. Dalam rampasan jam 1 pagi pada 25 Jun lalu, suspek warga India dikesan cuba menyeludup syabu dianggarkan seberat 9.55 kilogram (kg) dengan nilai RM1.8 juta yang disorokkan dalam 29 ‘casing’ iPad di LCCT. Pengarah Kastam Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Datuk Chik Omar Chik Lim berkata, semua ‘casing’ iPad itu yang diletakkan dalam sebuah bagasi dikesan selepas melalui mesin pengimbas yang mendapati ada imej mencurigakan. Menurutnya, hasil pemeriksaan rapi menemui semua ‘casing’ itu diisi dengan serbuk putih disyaki dadah jenis syabu. “Berikutan itu suspek yang tiba dari Kolkata, India ditahan dan dia kini direman selama 10 hari bagi membantu siasatan. “Jika sabit kesalahan boleh membawa kepada hukuman mati mandatori mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya, semalam. Beliau berkata, kes kedua membabitkan penyeludupan dadah dipercayai syabu yang diisi dalam peket santan pada bungkusan dari India di Pusat Pos Laju (PMK) KLIA pada Sabtu lalu. “Selepas bungkusan itu diperiksa, ia mengandungi 40 peket santan dengan 19 daripadanya dipercayai mengandungi dadah disyaki syabu. “Pemeriksaan mendapati berat dadah berkenaan dianggarkan 6.6 kg serta dianggarkan bernilai RM1.25 juta. Siasatan masih dijalankan untuk mengesan pemilik dagangan ini dan jika sabit kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. Sementara itu, Chik Omar berkata, pada 9 Jun lalu, dua suspek masing-masing lelaki warga India menaiki pesawat dari Colombo, Sri Lanka ditahan di KLIA pada waktu berasingan. “Suspek pertama berusia 25 tahun ditahan pada jam 7.35 pagi selepas kastam menemui empat bungkusan dadah diikat pada bahagian betis serta dua bungkus lagi diikat di bahagian pinggang.“Pemeriksaan mendapati dadah berkenaan dipercayai Ketamine dengan anggaran kasar 3.6 kg dan bernilai RM126,000,” katanya. Beliau berkata, suspek kedua berusia 31 tahun ditahan pada jam 7.40 pagi selepas pihaknya menemui lima bungkusan dadah dengan tiga bungkusan diikat pada bahagian betis manakala selebihnya diikat pada bahagian pinggang. “Berat semua dadah 3.25 kg dan dianggarkan bernilai RM113,750. Kedua-dua suspek dihadapkan ke mahkamah pada 20 Jun lalu mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Posted on: Tue, 02 Jul 2013 20:38:42 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015