Bahagian B [100 markah] [Masa dicadangkan: 1 jam 30 - TopicsExpress



          

Bahagian B [100 markah] [Masa dicadangkan: 1 jam 30 minit] Makluman : contoh karangan pendek, sila tambah ayat dan penjelasan untuk markah yang baik Pilih satu daripada soalan di bawah dan tulis sebuah karangan yang panjangnya lebih daripada 350 patah perkataan. 1. Rakan sebaya memberikan sumbangan penting dalam membantu kecemerlangan akademik dan sahsiah pelajar. Bincangkan cara yang boleh anda lakukan sebagai rakan sebaya untuk meningkatkan kecemerlangan akademik dan sahsiah masing-masing. 2. Ibu bapa berperanan menyokong minat dan kecenderungan anak-anak dalam bidang sukan. Huraikan pendapat anda tentang pernyataan di atas. 3. Negara kita telah melaksanakan dasar berjimat cermat dalam menghadapi kenaikan harga global. Tulis sebuah rencana tentang peranan semua pihak bagi memastikan negara kita dapat menghadapi kenaikan harga barangan. 4. Jenayah penipuan siber yang melibatkan warga asing semakin berleluasa. Bincangkan pernyataan tersebut. 5. “Orang memberi kita merasa, Orang berbudi kita berbahasa” Pantun di atas menerangkan amalan berbudi terhadap orang yang pernah berjasa kepada kita. Jelaskan cara membalas jasa orang yang pernah berbudi kepada kita. JAWAPAN Skema Bahagian B Soalan 1 Tema : Meningkatkan kecemerlangan akademik dan sahsiah Arah : Cara yang boleh dilakukan oleh saya sebagai rakan sebaya Pendahuluan: Dasawarsa ini, isu kecemerlangan akademik dan sahsiah kerap menjadi bualan masyarakat. Namun kita sering terlupa bahawa rakan sebaya turut berperanan meningkatkan kecemerlangan dalam diri rakan-rakan mereka. Hal ini bertepatan dengan peribahasa, ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni. Isi : Sudah terang lagi bersuluh, rakan sebaya yang baik boleh membantu rakan mereka dengan cara belajar secara berkumpulan. Mereka boleh saling membantu dan merujuk sesama mereka jika ada topik yang tidak difahami. Selain itu, rakan sebaya boleh membantu rakan mereka yang mengalami masalah pelajaran dan masalah peribadi. Hal ini sedikit sebanyak mampu mengurangkan tekanan yang dihadapi. Nasihat yang baik biasanya akan merangsang perilaku positif dalam kalangan rakan sebaya. Mari kita fokuskan horizon pemikiran kita kepada cara seterusnya yang boleh dilakukan oleh rakan sebaya dalam memacu kecemerlangan iaitu beriadah bersama-sama. Hal ini dapat membentuk tingkah laku positif terutamanya jika dilakukan pada waktu senggang bagi mengurangkan stres. Sokongan sesama rakan juga amat penting dalam meningkatkan kecemerlangan diri. Kata-kata sokongan dan motivasi daripada rakan sebaya biasanya lebih didengar daripada kata-kata ibu bapa yang mirip leteran. Oleh itu, sokongan rakan sebaya merupakan resepi penambah perisa dalam meningkatkan kecemerlangan diri. Akhir sekali, rakan sebaya mampu menjadi pakar rujuk untuk subjek yang sukar dikuasai. Umpamanya tidak semua pelajar menguasai mata pelajaran Matematik Tambahan. Oleh itu, pelajar yang mahir dalam mata pelajaran tersebut mampu menjadi “guru muda” yang membantu tatkala pelajar mungkin malu atau tidak berkesempatan berjumpa guru. Kesimpulan: Akhirulkalam , isu peranan rakan sebaya sangat signifikan dalam memacu kecemerlangan pelajar. Sesungguhnya rakan yang ibarat isi dengan kuku mampu merubah diri pelajar daripada keadaan negatif kepada keadaan yang positif. Oleh itu, hasrat melahirkan modal insan cemerlang, gemilang dan terbilang akan tercapai. Soalan 2 Tema : Minat dan kecenderungan anak-anak dalam bidang sukan. Arah : Peranan ibu bapa Pendahuluan: Akhir-akhir ini, isu minat dan kecenderungan anak-anak dalam bidang sukan kerap meniti dari bibir ke bibir dalam kalangan masyarakat di negara ini. Namun bakat dalam bidang sukan perlu dimurnikan oleh ibu bapa pada diri anak-anak mereka. Hal ini bertepatan dengan peribahasa, ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Oleh itu, ibu bapa memainkan peranan yang cukup ampuh dalam memupuk minat dan kecenderungan anak-anak dalam bidang sukan Isi: Meniti kodifikasi hujah pertama, peranan yang harus dimainkan oleh ibu bapa untuk memupuk minat anak-anak dalam bidang sukan ialah menjadi suri teladan kepada anak mereka. Hal ini demikian kerana, anak-anak akan mencontohi kehebatan ibu bapa mereka dalam bidang sukan. Umpamanya Allahyarham Datuk Sidek telah dijadikan ikon oleh anak-anaknya iaitu Misbun Sidek, Rashid Sidek, Jailani Sidek dan Razif Sidek untuk berjaya dalam sukan badminton. Selain itu, peranan ibu bapa dalam memupuk minat dan kecenderungan anak-anak dalam bidang sukan ialah memberikan sokongan moral dan kewangan pada anak-anak. Sukan golf umpamanya memerlukan belanja yang besar. Oleh itu, ibu bapa yang menyokong minat anak-anak mereka akan memperuntukkan sejumlah wang bagi menampung perbelanjaan membeli kasut dan alatan pada setiap bulan. Saidina Umar pernah berkata, didiklah anak kamu mengikut zaman mereka dan jangan didik mereka mengikut zaman kamu. Oleh itu , didikan sejak kecil bagi melahirkan bintang cukup diperlukan sebagai elemen sokongan paling asas. Jika ibu bapa berkemampuan, mereka boleh mengupah jurulatih peribadi bagi melatih dan membimbing anak mereka. Namun bagi ibu bapa yang memang berkemahiran dalam sesuatu bidang sukan, mereka boleh melatih sendiri anak-anak mereka yang menunjukkan kecenderungan dalam bidang sukan. Seterusnya, ibu bapa perlu menggalakkan anak-anak mereka menyertai pertandingan sukan. Ibu bapa perlu mendapatkan informasi berkaitan pertandingan yang diadakan bagi meningkatkan tahap kecergasan dan tahap permainan anak-anak mereka. Hasilnya , anak-anak mereka dapat didedahkan dengan skil permainan kontemporari. Akhir sekali, pemantauan yang kerap oleh ibu bapa cukup perlu bagi memastikan perkembangan positif dalam sukan yang diceburi. Mereka perlu memastikan selain jadual latihan perlu dipatuhi, pemantauan berkait soal makanan dan minuman juga perlu dititikberatkan. Hal ini demikian kerana, atlet yang baik lahir daripada cara pemakanan yang betul dan sihat. Kesimpulan: Kesimpulannya, isu minat dan kecenderungan anak-anak dalam bidang sukan kerap menjadi buah mulut masyarakat. Semoga ibu bapa terus memberikan sokongan kepada anak-anak mereka yang berminat dalam bidang sukan. Hal ini akan menjadikan Malaysia sebagai hab bagi melahirkan atlet bertaraf dunia. Soalan 3 Tema : Dasar berjimat cermat dalam menghadapi kenaikan harga global. Arah : Peranan semua pihak membantu negara Format : Rencana Peranan Semua Pihak Membantu Negara Menghadapi Kenaikan Harga Global Oleh: Ikmal Hafiz Termizi Pendahuluan: Akhir –akhir ini kita dikejutkan dengan isu kenaikan harga barang secara global. Semua pihak terasa bahang kenaikan harga sama ada pihak kerajaan, pihak swasta mahupun orang ramai. Oleh itu, langkah berjaga-jaga perlu diambil oleh semua pihak untuk memastikan kebajikan semua pihak terpelihara dan tiada pihak yang terasa teraniaya akibat kenaikan harga barang. Isi: Sudah terang lagikan bersuluh, semua membeli barangan buatan tempatan untuk menyokong usaha kerajaan bagi mengurangkan import. Barangan buatan Malaysia yang meliputi barangan keperluan isi rumah sehingga barangan industri terbukti berkualiti tinggi dan setanding dengan barangan import.Oleh itu, apabila kita membeli barangan buatan tempatan kita bukan sahaja mampu mengekang kenaikan harga barangan yang diimport malah kita turut membantu industri di negara kita berkembang. Selain itu, kita seharusnya membeli barangan perlu sahaja sebagai tindakan berkesan menangani kenaikan harga dalam pasaran. Sepatutnya tindakan ini dilakukan secara bersama-sama meliputi rakyat Malaysia yang berbilang bangsa. Hal ini bertepatan dengan peribahasa, bersatu kita teguh bercerai kita roboh. Oleh itu, kita tidaklah perlu bermewah-mewah dan menunjuk-nunjuk pada zaman gawat ini. Dari sudut kodifikasi yang berbeza, kita juga boleh mengurangkan penggunaan kenderaan persendirian dan menaiki kenderaan awam ke sekolah dan ke tempat kerja. Hal ini berlaku demikian kerana, kenaikan harga minyak sebanyak RM2.10 membebankan golongan berpendapatan rendah dan sederhana. Bagi menghadapi keadaan ini , mereka sepatutnya cuba menjimatkan perbelanjaan dengan cara menaiki kenderaan awam ke sekolah dan ke tempat kerja. Oleh itu, kita bukan sahaja dapat menjimatkan perbelanjaan malah dapat menyokong usaha kerajaan menjadikan Malaysia “Bumi Hijau”. Lao Tze dalam karya mukadimahnya ada menyatakan , perjalanan seribu batu bermula dari satu langkah. Oleh itu, langkah mengurangkan makan di luar dan memasak sendiri makanan merupakan uslub yang berkesan menghadapi kenaikan harga global. Dengan menjimatkan perbelanjaan makan di luar kita dapat menyimpan di bank bagi menghadapi saat-saat getir. Akhir sekali, sebagai rakyat Malaysia kita boleh menyimpan lebihan pendapatan dan melakukan kerja sampingan bagi membantu meningkatkan pendapatan dan menjana pendapatan negara. Hal ini demikian kerana , rakyat yang produktif mampu menjadikan negara Malaysia berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan Negara lain. Kesimpulan: Akhir kalamnya, isu kenaikan harga barang bukan sahaja dihadapi oleh rakyat Malaysia sebaliknya turut terasa bahangnya di seluruh dunia. Marilah kita bersama-sama kerajaan mengharungi badai tsunami kenaikan harga barang dengan rasa sekata dan sejiwa. Sikap bagai aur dengan tebing ini mampu menghasilkan situasi menang-menang dalam kalangan rakyat dan kerajaan. Soalan 4 Tema : Jenayah penipuan siber warga asing. Arah : Perbincangan. Pendahuluan: Muktahir ini kita sering dikejutkan dengan jenayah siber yang melibatkan sindiket warga asing dari Afrika. Warga asing yang masuk ke Malaysia dengan menggunakan Visa Ketibaan menyalahgunakan kemudahan yang diberikan oleh kerajaan Malaysia. Mereka membuat onar dan mengambil kesempatan atas kemurahan hati Kerajaan Malaysia terhadap pelancong asing. Oleh itu, marilah kita bincangkan bersama-sama jenayah penipuan siber yang dilakukan oleh warga asing di Malaysia. Isi: Uslub terbaik bagi mengatasi jenayah siber ialah menyedarkan rakyat tentang bahaya jenayah siber. Hal ini demikian kerana, hampir 90 peratus isi rumah di Malaysia mempunyai capaian internet. Hal ini sekali gus mendedahkan rakyat Malaysia kepada bahaya siber dan jika rakyat tidak disedarkan akan bahaya jenayah siber maka semakin ramai rakyat Malaysia akan terus ditipu. Komunikasi melalui laman sosial Facebook dan Twitter merupakan medium ampuh bagi menyedarkan rakyat. Selain itu, kita perlu melaporkan e-mel atau khidmat pesanan ringkas (sms) yang mencurigakan kepada pihak berkuasa. Penipuan siber sebenarnya bermula daripada e-mel dan sms yang merupakan langkah awal dalam mencari mangsa. Kita sepatutnya melaporkan kepada pihak penyedia laman carian atau pihak berkuasa sekiranya dihujani dengan surat elektronik yang mencurigakan ini. Hal ini bukan sahaja akan mengurangkan risiko kita ditipu, malah dapat menyelamatkan ribuan lagi bakal mangsa jenayah siber. Sudah terang lagi bersuluh, kerajaan seharusnya mengadakan kempen memerangi jenayah siber. Kempen yang berkesan bukan sahaja mampu menyedarkan pengguna komputer malah dapat menghalang penjenayah daripada terus mencari mangsa. Berita gadis, janda mahupun duda yang ditipu penjenayah siber makin kerap menghiasi dada-dada akhbar kita. Oleh itu, sebelum nasi menjadi bubur marilah kita sahut kempen memerangi jenayah siber yang dijalankan oleh kerajaan. Penyedia perkhidmatan telekomunikasi sepatutnya menyekat akses ke laman tertentu yang dipercayai menjalankan penipuan siber. Pihak TM, Celcom, Maxis dan P1 umpamanya boleh menyekat IP dan DNS yang disyaki menjalankan penipuan siber. Penggodam yang ingin memulakan langkah menyerang laman web dan penyamaran identiti pastinya akan tertangkap sebelum sempat mereka menekan butang papan kekunci.Langkah sebegini merupakan langkah paling berkesan seolah-olah merampas pisau daripada tangan pembunuh. Prakarsa terakhir yang boleh dilakukan ialah menyekat kemasukan warga asing dari Afrika ke negara kita.Langkah ini sebenarnya telah lama dilaksanakan di negara maju seperti Singapura dan Britain. Oleh itu, keberanian kerajaan untuk bertindak menyekat kemasukan warga asing dari Afrika sangat perlu dalam memastikan warga asing ini tidak beraja di mata bersultan di hati. Kesimpulan: Kesimpulannya, tiada penyakit yang tiada ubatnya dan dalam isu jenayah siber ini langkah yang disarankan mampu mencetuskan impak berganda yang menghapuskan penjenayah siber di negara ini. Soalan 5 Tema : Jasa orang kepada kita. Arah : Cara kita membalas jasa. Pendahuluan: Akhir-akhir ini, kita sering sering dikejutkan dengan isu anak meninggalkan ibu dan bapa yang banyak berjasa dalam kehidupan mereka. Hal ini sepatunya tidak berlaku kerana sebagai anak pastinya telah sedia tahu akan jasa dan pengorbanan ibu dan bapa membesarkan kita. Sikap bagai kacang lupakan kulit ini perlu kita kikis sebelum nasi menjadi bubur. Oleh itu, marlah sama-sama kita telusuri cara untuk membalas jasa orang yang pernah berbudi dengan kita. Isi: Sudah terang lagi bersuluh, kita sepatutnya mendoakan orang yang berjasa kepada kita. Hal ini demikian kerana, biasanya orang yang pernah berbudi kepada kita tidak mengharapkan balasan atas budi yang telah ditaburkan. Hal ini bertepatan dengan peribahasa, harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama. Selain itu, kita perlu bertutur dengan lemah lembut dan melayan mereka dengan baik. Biasanya tua mudah tergores perasaannya dan setiap kata yang dituturkan perlu diberikan perhatian agar mereka tidak tersentuh. Ibu bapa dan saudara mara kita yang telah lanjut usianya merupakan orang yang pernah berjasa kepada kita. Uslub seterusnya dalam membalas jasa dan pengorbanan orang tua ialah kita patut melawat atau menziarahi mereka. Biasanya jika mereka uzur kita seharusnya menziarahi mereka untuk menenangkan mereka sebagai tanda penghargaan kita atas jasa-jasa yang pernah dicurahkan. Seterusnya kita boleh memberikan bantuan kepada mereka ketika mereka ditimpa kesusahan. Lazimnya musibah yang melanda datang secara tiba-tiba tanpa tanda. Oleh itu, jika kita terdengar musibah yang menimpa orang yang pernah berjasa kepada kita maka sudah menjadi tanggungjawab kita untuk bersegera menghulurkan bantuan. Akhir sekali, kita seharusnya memberikan perhatian kepada orang yang pernah berjasa kepada kita tatkala mereka berada di penghujung usia. Hal ini demikian kerana, mereka inginkan perhatian dan kasih sayang daripada anak dan cucu. Apatah lagi mereka dapat mengimbau kembali kenangan lama tatkala bercerita kisah-kisah lama. Kesimpulan: Konklusinya, generasi muda sepatutnya menghargai jasa dan pengorbanan orang lain. Ibu bapa, saudara mara , guru-guru, jiran tetangga dan rakan sebaya merupakan orang yang pernah berjasa kepada kita. Jadilah insan yang tahu menghargai orang lain kerana adat kita hidup di dunia memang saling memerlukan.
Posted on: Tue, 05 Nov 2013 13:19:50 +0000

Trending Topics



esa-World-Soccer-elaboró-lo-que-para-topic-543098689061209">La reconocida revista inglesa World Soccer, elaboró lo que, para
Imperative of a Jonathan 2nd term By Egheomhanre
Venevisión realizará el tradicional operativo Sábado de la
Hip-Hop ist ein breites Konglomerat von künstlerischen Formen,

Recently Viewed Topics




© 2015